Anak pelakon veteran, Norlia Ghani, Edi Rizal Ramli, 32, maut apabila terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Jalan Gurney di sini selepas bertindak nekad memanjat balkoni bagi membantu menangkap pencuri yang dipercayai memecah masuk rumah jirannya, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Edi yang juga adik pelakon Rusdi Ramli, bergegas ke tingkat tujuh Pangsapuri Pangsa Murni Titiwangsa sebaik diberitahu seorang pencuri bersembunyi dalam sebuah rumah kosong di situ selepas memecah masuk kediaman lain di tingkat lapan.

Menurut saksi kejadian itu, Edi sambil memegang kayu hoki memanjat balkoni rumah itu apabila mendapati pintunya berkunci, tetapi tergelincir sebelum terjatuh. Dalam keadaan kelam kabut itu, pencuri itu pula dikatakan melarikan diri.



Edi yang cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan dikejarkan beberapa jirannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi meninggal dunia tidak lama selepas mendapat rawatan.

Norlia, 61, ketika dihubungi Berita Harian, menganggap kematian anak ketiganya daripada empat beradik itu tragedi besar buat keluarganya kerana ia berlaku dalam suasana Aidilfitri.

“Arwah meninggal dunia genap seminggu Hari Raya. Yang membuatkan saya terkilan, niatnya cukup baik... mahu menangkap pencuri yang menceroboh rumah jiran tetapi dia sendiri yang kehilangan nyawa,” katanya.

Norlia berkata, kes kecurian dan pecah rumah memang sering berlaku di pangsapuri itu kerana banyak rumah belum didiami.

“Sebab itu, arwah dan beberapa jiran selalu melakukan rondaan di kawasan sekitar. Ketika itulah, arwah diberitahu ada rumah kena pecah masuk di tingkat lapan dan pencurinya bersembunyi di tingkat tujuh,” katanya.

Rusdi, 39, pula ketika ditemui di perkarangan bilik mayat HKL, berkata beliau sedang bersiap untuk ke rumah ibunya apabila menerima panggilan telefon daripada adik bongsunya yang memaklumkan Edi terjatuh bangunan ketika mengejar pencuri.

“Ketika bergegas keluar rumah, adik saya sekali lagi menelefon memberitahu Edi sudah tiada dan meminta kami terus ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat sebaik urusan bedah siasat selesai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi berkata kematian Edi diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, tetapi tiada laporan polis dibuat mengenai kes pecah rumah di pangsapuri itu.

Oleh Hardi Effendi Yaacob

~ Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top