Kelembapan industri muzik tempatan tidak menjadi penghalang kepada kelahiran penyanyi baru. Walaupun ada yang takut untuk mencuba, kumpulan Fly yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 2008 tidak beranggapan sedemikian.



Dianggotai oleh Naz (vokalis), Zack (bass), Yuz (drum), Arel (gitar) dan Farock (gitar), mereka yakin dengan bakat yang ada, kumpulan Fly mampu bergerak jauh walaupun dengan pasaran yang kurang memberangsangkan.

"Keadaan pasaran tidak menjadi masalah kepada kami. Kalau lebih ramai pemuzik, maka saya percaya pasaran kita akan bertambah baik. Lagipun kami percaya dengan bakat dan semangat kami, kumpulan Fly tidak akan tidur," kata ketua kumpulannya, Yuz ketika ditemui di studio Utusan.

Menariknya mereka berlima bukan orang baru dalam industri seni suara. Masing-masing merupakan anggota kumpulan berlainan, Zack memberitahu mereka mempunyai kelebihan kerana sudah berpengalaman.

Zack pernah menganggotai kumpulan New Boyz, Yuz (Alamband), Farock (Fenomena), Arel (Akai E-Bara) dan Naz bersama kumpulan Big Boss.


Bersama kumpulan lama, mereka berlima pernah menyertai pertandingan Battle Of The Bands serta membuat persembahan di Indonesia dan Singapura. Kini dengan tanggungjawab baru, kumpulan Fly kerap membuat persembahan terutama untuk majlis makan malam korporat.

"Kami mungkin baru sebagai kumpulan Fly tetapi tidak susah bagi kami untuk mendapatkan pendengar. Ini kerana kami mempunyai peminat lama yang masih menyokong kami. Lagipun kami sering mempromosikan diri semasa membuat persembahan dan kami mempunyai akaun di laman web sosial, MySpace," ujar Arel.

Memilih nama Fly kerana ia senang diingati, Fly juga membawa erti lain kepada kelima-lima jejaka itu. Ibarat bebas, mereka sukakan konsep kebebasan berkarya dan bergerak.

"Bukan itu sahaja kerana apa yang utama adalah setiap anggota mempunyai kebebasan untuk berkarya. Semua orang berpeluang untuk meluahkan ideologi masing-masing," kata Yuz lagi.

Memandangkan semua anggota kumpulan mempunyai pengalaman dan sejarah tersendiri, adakah mereka berlima pernah bercanggah idea dalam menghasilkan muzik? "Mula-mula memang susah sikit sebab masing-masing ada cara berlainan semasa bersama bekas kumpulan.

"Tapi selepas bersama untuk membuat persembahan serta banyak berbincang, kami semakin serasi. Lagipun cabaran kami sekarang adalah untuk menguruskan diri sendiri. Dulu kami ada pengurus tetapi sekarang semua kena buat sendiri. Maka, setiap orang diberikan tugas berlainan bagi memastikan kelancaran kumpulan kami," tambah Farock.

Sudah berkawan selama lapan tahun, EP pertama dijangka dipasarkan pada Januari depan. Merangkumi lima atau enam buah lagu, satu daripadanya sudah siap dirakamkan. Selebihnya akan dirakamkan dalam masa terdekat.

"Single pertama kami, Waktu Ku Terhenti sudah dimainkan di radio. Single kedua, Dunia masih dalam proses rakaman. Lagu-lagu lain juga sudah siap tetapi hanya tunggu untuk masuk studio untuk rakaman," kata Yuz.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top