“Memang saya akan menamatkan zaman bujang, tapi yang pasti, bukan dengan dia (Fasha Sandha).”

Demikian pengakuan atlet ekuin kebangsaan, Qabil Ambak Mahamad Fathil yang sebelum ini beria-ia memberitahu akan membuat pengumuman mengenai pertunangan dan pernikahannya dengan pelakon dan model iklan itu selewat-lewatnya bulan ini.

Hubungan mereka heboh diperkatakan sebelum ini kononnya Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan menjadi pilihan Qabil selepas mereka dilihat begitu mesra pada satu majlis.

“Ada sebab mengapa saya tak jadi berkahwin dengannya. Memang kami ada perancangan (untuk berkahwin) sebelum ini, tapi semuanya tak menjadi kenyataan.





“Saya sendiri yang membuat keputusan ini dan ia tiada kaitan dengan keluarga saya atau Fasha. Apabila saya membuat pengumuman ini, ia bukanlah cubaan untuk memburukkan sesiapa, tapi ramai bertanyakan mengenai perkara itu.

“Jadi, saya ingin jelaskan kami sudah tidak bersama lagi. Kenapa saya buat keputusan ini, saya tidak dapat jelaskan dan yakin Fasha sendiri tahu mengapa hubungan kami tak kekal,” katanya.

Menurutnya, selepas berita berkaitan hubungannya dengan Fasha heboh diperkatakan, seluruh negara tertumpu kepadanya dan dia terpaksa memberi penjelasan kerana tidak mahu pihak lain tersalah anggap.

Menghangatkan hubungan pasangan itu apabila sehari selepas Qabil mengakui menjalin hubungan istimewa dengan Fasha, pelakon itu teruk ‘diserang’ apabila beberapa gambarnya dalam pos istimewa bersama bekas suami pelakon Nora Danish iaitu Rizal Ashram Ramli, tersebar di Internet.

Satu blog selebriti menyiarkan gambar pelakon dan model iklan itu bersama Rizal dengan berpakaian serba putih yang agak seksi.

Enam keping gambar yang dipercayai dirakam pada majlis sambutan hari jadi seseorang, dikirim kepada Harian Metro menerusi e-mel selain dipaparkan di beberapa laman web hiburan tanah air.

Beberapa gambar artis jelita itu bersama Rizal ketika berada di trek lumba kereta turut berlegar di Internet

Harian Metro ada melaporkan mengenai hubungan Fasha dengan Qabil yang sudah terjalin sejak setahun lalu dan difahamkan mereka bakal disatukan awal Januari depan.

Ketika itu, Qabil, 29, dilaporkan berkata, dia tidak mahu perkara itu diperbesarkan, sebaliknya akan membuat pengumuman bulan depan (bulan ini).

Difahamkan, hubungan itu gagal menyatukan mereka kerana dipercayai ada kaitan berkenaan satu majlis rumah terbuka baru-baru ini yang turut dihadiri Fasha.

“Saya sudah tidak berhubung dengannya sejak dua bulan lalu. Semua dapat melihat apa yang berlaku pada majlis itu. Kalau sesiapa bertanyakan hubungan saya dengannya selepas ini, saya boleh katakan kami sekadar kawan dan ia tidak lebih daripada itu,” katanya.

Oleh Alias Abd Rani

Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top