Bila tibanya Ramadan pasti hati akan terkenang kampung halaman apatah lagi keluarga yang jauh di seberang. Kenangan bersahur dan berbuka bersama pasti akan sentiasa bermain di kotak fikiran.



Bagi bintang realiti, Adi Hamiz Johar, atau lebih popular dengan panggilan Adi Mentor 4, hasrat untuk berkumpul bersama keluarga dibulan yang mulia ini terpaksa dipendam kerana terikat dengan komitmen seni.

Namun, jauh di sudut hati, dia tidak pernah melupakan keluarga tersayang di Kuching, Sarawak.

Walaupun dapat bertanya khabar menerusi telefon dan khidmat pesana ringkas (SMS), ia tidak cukup mengubat hati yang rindu, apatah lagi bila mengenangkan masakan ibunya sepanjang ramadan ini.

“Daging masak kicap memang menjadi kegemaran Adi ketika berbuka puasa dan ibu Adi selalu masak untuk Adi. Walaupun hari-hari makan benda yang sama, Adi tak pernah jemu.

“Ibu pula sukakan masakan ayam masak merah dan sudah jadi hidangan yang wajib ketika berbuka. Malah adik-beradik yang lain juga ada selera masing-masing. Walaupun ibu terpaksa masak lauk yang berbeza untuk memenuhi selera keluarga kami, namun dia tak pernah merungut” kata anak sulung dari lima beradik ini.

Tanpa keluarga tercinta, penyanyi berusia 23 tahun ini bagaimanapun tetap menyambut ramadan dengan penuh kesyukuran. Malah Adi mengaku, situasi itu membuatkannya lebih berdikari.

“Kalau dulu, semuanya disediakan oleh ibu, tapi sekarang Adi kena buat sendiri.

“Kalau tidak ada undangan berbuka puasa, biasanya Adi akan keluar berbuka di kedai atau beli bungkus sahaja di bazar Ramadan yang berdekatan.

“Bila pergi bazar, teringat pula kenangan bersama adik-adik Adi. Seawal jam 4 petang lagi kami dah pergi bazar dan mulalah rambang mata bila lihat bermacam juadah yang terhidang,” kata naib juara Mentor 4 ini.

Dalam pada itu, anak didik kepada penyanyi Dayang Nurfaizah ini juga turut menceritakan pengalaman yang mencuit hati ketika menjalani Ramadan di sini.

“Pernah Ibu telefon bertanyakan sama ada Adi sudah berbuka puasa atau belum kerana di sana mereka sudah pun berbuka lebih awal berbanding di sini.Mereka semua sudah kenyang dan meja sudah pun dibersihkan, tapi kita di sini masih belum berbuka. Ibu lupa kerana masa berbuka tidak sama,” katanya sambil ketawa bila mengenangkan gelagat ibunya.

Di saat hatinya rindukan keluarga, kata Adi, kehadiran adiknya Ila Damian Johar atau Ila yang juga merupakan finalis Mentor 4, sedikit sebanyak membuatkannya tidak berasa asing.

“Adi bersyukur dan bernasib baik ada adik di sini dan Ila juga bernasib baik kerana ada abang di sini, sekurang-kurangnya ada orang yang rapat dengan kita, tidaklah Adi rasa sedih sangat berpuasa di sini,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top