Ada yang berbisik menceritakan perihal juara berusia 22 tahun ini yang kekal mengawal intonasi ketika bersembang, gemar tersenyum dan punya pesona lelaki Melayu terakhir.
"Alhamdulillah, peminat masih setia menyokong dan itu sudah memadai bagi membakar semangat saya untuk terus ke depan memperjuangkan apa yang diimpikan selama ini. Sandaran juara memang banyak membantu dan sekarang apa yang menjadi keutamaan adalah usaha sendiri bagi menguatkan lagi jalur kerjaya.
"Ada yang kata saya pemalu dan kurang berinteraksi namun sebagai pendatang baru, ini cabaran pertama untuk saya membiasakan diri dengan persekitaran dunia seni hiburan. Saya akui masih dalam proses pembelajaran dan pastinya dalam sedikit masa lagi jika diberikan peluang, saya akan tampil dengan peningkatan. Mungkin sebelum ini tidak pernah pula saya terfikir akan menjadi selebriti dan itu yang sedikit memberi tekanan. Namun ia bukan masalah besar dan saya berjanji ia tidak lagi menjadi beban kepada saya.
"Belum pun lagi setahun bergelar penyanyi, banyak perkara saya pelajari. Baik yang positif mahupun yang ada kalanya menakutkan saya, namun itu semua rencah hidup. Saya simpulkan semua pengalaman itu sebagai penawar setiap kali berdepan dgan apa saja halangan mendatang.
"Kini saya semakin menerima yang hidup sebagai selebriti, kebebasan selama ini akan tersekat. Saya pasrah dan melihat perkara itu satu pengorbanan dan transformasi dalam diri Shahir," katanya yang sebelum ini pernah menyertai kumpulan nasyid, Saujana.
Bersembang dengan bintang yang kini melakar nama menerusi melodi berhantu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini ketika majlis berbuka puasa bersama Astro, Meriahnya Raya baru-baru ini memberi peluang kepada Shahir untuk menceritakan perasaan gementar bercampur gembiranya menjelang Aidilfitri ini. Pertama kali meraikannya sebagai bintang memberi seribu satu cerita kepadanya. Baik pada aspek persiapan mahupun rancangan rayanya, Ikon Belia Perak 2010 ini merencana sejak awal lagi supaya segala-galanya berjalan lancar.
"Memang berbeza sambutan Aidilfitri tahun ini memandangkan logikal dan hakikatnya jelas yang kehidupan saya sudah berubah. Saya perlu memikirkan banyak perkara, terutama peminat kerana ada yang merancang untuk beraya di kampung saya nanti. Namun cuti seminggu yang diberi sepanjang raya ingin saya sumbatkan dengan masa untuk berehat sepuas-puasnya. Mungkin masa raya ini juga saya berpeluang mendekati peminat.
"Bagaimanapun, memang sedihlah tahun ini kerana saya tidak lagi punya masa untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Malah saya tidak lagi sempat berkunjung ke bazar Ramadan kerana jadual kerjaya terlalu ketat dan membataskan saya untuk berbuat demikian. Bayangkan, sepanjang bulan puasa saya sibuk dengan rangka promosi dan aktiviti seni lain seperti undangan nyanyian dan rakaman program raya.
"Itulah pengorbanan saya. Ini keputusan saya dan tidak sesekali saya menyesal. Setidak-tidaknya tercapai juga impian saya untuk membantu keluarga. Inilah masa untuk saya meraikan mereka selepas berjaya hingga tahap sekarang. Walaupun perjalanan masih jauh, saya percaya rezeki itu tetap ada jika kita berusaha dan ikhlas melakukannya. Insya-Allah," katanya yang menggemari kuih tart nanas.
Bintang yang menjadikan penyanyi tersohor, M Nasir dan Jamal Abdillah sebagai inspirasi dan paksi ilhamnya ini sekarang mula meninjau arah kerjayanya untuk terus sampai ke destinasi yang dituju. Walaupun pihak pengurusannya menyarankan untuk mencuba pelbagai lapangan lain termasuk lakonan dan pengacaraan, Shahir tetap memandang dunia nyanyian sebagai keutamaannya.
"Orang baru macam saya mana boleh terlalu cerewet. Apa yang dirasakan baik oleh pihak pengurusan, itulah juga baik buat saya. Setakat ini memang ada juga pembabitan saya yang cenderung pada lapangan lakonan dan pengacaraan, namun itu semua bukan satu cabang yang terpaksa dilakukan, sebaliknya saya menyifatkan ia pemangkin kepada kerjaya nyanyian juga.
"Kadangkala saya tidak sedar rupa-rupanya boleh juga saya mengacarakan program televisyen seperti Duniaku Shahir dan boleh juga saya mendalami skrip drama atau filem. Itu adalah sisi bakat yang tersembunyi dan memerlukan sesetengah pihak untuk menyelongkar. Namun tidak pernah pula saya memikirkan soal itu secara serius kerana saya utamakan nyanyian.
"Saya idamkan untuk memiliki sebuah album sendiri dan bekerjasama dengan beberapa komposer yang benar-benar berbakat dan mampu memberi saya sebuah lagu yang boleh menguji kemampuan saya.
"Semuanya masih dalam rancangan dan saya akan berusaha keras bagi merealisasikan pelan peribadi itu," katanya.
Bintang muda ini bakal muncul bergandingan dengan penyanyi kegemarannya sempena Aidilfitri ini iaitu Konsert Lebaran Diva Datuk Siti pada 11 September jam 4 petang. Malah lakonan Shahir juga boleh ditonton menerusi telefilem Lawaknya Fantasia Raya di samping Rozita Che Wan pada 12 September jam 9 malam serta Lemang, Lebaran dan Labuci! bakal menemukannya dengan dua pengacara popular, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley pada 10 hingga 12 September jam 8.30 malam. Semuanya di Astro Ria.
0 ulasan:
Catat Ulasan