Namun pengalaman raya sebelum menyandang gelaran ‘bintang’ pastinya tetap bermain di fikiran. Ikuti kenangan raya bersama bintang-bintang baru ini;
SH: Shahir teringat kemalangan malam raya tahun lepas
Tahun lalu Shahir terlibat dalam kemalangan jalan raya dua hari sebelum umat Islam meraikan hari Lebaran. Kemalangan itu terjadi selepas Shahir menjemput kawan baiknya di Kuala Lumpur.
“Dua hari sebelum hari raya kawan saya menelefon memberitahu dia tidak dapat membeli tiket bas untuk balik ke kampung. Dia minta saya menjemputnya di Kuala Lumpur,”
“Semasa dalam perjalanan pulang, saya mengantuk sangat sehingga melanggar kereta di hadapan. Nasib baiklah saya tak cedera. Kereta pula masih boleh dipandu walaupun kemek akibat kemalangan itu,”
“Tetapi kemalangan itu menyebabkan saya hilang ‘mood’ untuk berhari raya. Akhirnya saya hanya beraya seorang diri di rumah. Tahun ini saya akan pastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi,” katanya yang pulang berhari raya ke Kampar dan ke rumah neneknya di Gopeng.
Bercerita mengenai sambutan hari raya tahun ini, Shahir dan keluarganya sepakat untuk mengayakan warna biru sedondon sama seperti warna kelab peminat Shahir.
“Mengenai juadah pula, Shahir pasti akan mencari ketupat, nasi impit dan lemang. Manakala kuih kegemaran Shahir ialah Tart Nenas,” katanya yang berharap dapat bercuti lebih lama untuk bersama keluarga.
SH : Adira dan Ema teruja beraya sebagai artis
Mereka bukan sahaja pasangan adik-beradik yang bernasib baik dapat menyertai Akademi Fantasia dalam musim yang sama, bahkan mereka juga dapat mengacapi populariti bersama-sama.
Pasti Lebaran kali ini membawa banyak perbezaan buat mereka.
“Aidilfitri kali ini pasti banyak bezanya dengan sambutan tahun-tahun lalu. Persiapan raya kali ini pastinya lebih meriah. Tahun ini dapatlah buat baju lebih, dan masak makanan lebih.
“Dulu kami hanya terima duit raya, tahun ini pula kami yang akan memberi duit raya. Malah persiapan untuk keluarga pun kami akan kongsi keluar duit,” ujar Ema mengenai persiapan raya mereka tahun ini.
Bercerita mengenai pengalaman raya yang pernah mereka lalui, Ema berkata dia pernah tidak dapat pulang berhari raya selama dua tahun berturut-turut.
“Masa itu Ema belajar di Cheras, oleh kerana cuti pendek dan ada peperiksaan semester, Ema terpaksa ambil keputusan tidak pulang ke Kota Kinabalu dan menyambut raya seorang diri dalam bilik,” katanya yang menggemari kuih semprit.
Sementara Adira pula pernah melalui pengalaman sakit perut pada raya pertama gara-gara salah makan.
“Adira ingat lagi, Adira pernah beraya di rumah sahaja gara-gara salah makan pada hari raya pertama. Sudahnya Adira hanya beraya di rumah dan tidak ke mana-mana,” katanya yang berpakaian sedondon ungu dengan seluruh ahli keluarganya.
SH : Mohd peruntukan RM5,000 untuk raya tahun ini
Dek kerana telah bergelar juara Mentor musim ke-4 dan juga bergelar artis, Mohd mengakui memperuntukkan RM5,000 untuk Lebaran tahun ini.
RM5,000 itu digunakan Mohd untuk menyediakan persiapan raya serta membuat rumah terbuka di Johor Bharu.
“Mohd sedar kejayaan yang Mohd dapat pada hari ini bukan atas usaha Mohd seorang. Ia juga atas sokongan peminat-peminat Mohd. Jadi tahun ini Mohd menyediakan peruntukkan lebih sedikit untuk tetamu yang datang beraya.
“Mohd telah menyediakan tiga pasang baju Melayu berwarna biru, ungu dan hijau. Manakala makanan kesukaan Mohd adalah ketupat, serunding daging dan rendang,” katanya yang turut menggemari kuih batang buruk dan tart nenas.
Menyingkap tentang pengalaman raya yang tidak dapat dilupakan, Mohd mengakui pernah tidur di sebelah pintu gara-gara kesemua adik-beradiknya pulang dan berkumpul di rumah untuk menyambut hari raya bersama.
SH : Adi dan Ila hilang nenek raya tahun lepas
Tahun ini merupakan tahun kedua-dua pasangan adik-beradik Adi dan Ila beraya tanpa kehadiran nenek di sisi. Apa yang jelas mereka tidak dapat berkongsi kejayaan manis mereka bergelar artis selepas menyertai program Mentor musim ke-4.
“Raya tahun lalu kami beraya tanpa nenek di sisi, memang sedih. Tahun ini pun tidak dapatlah kami kongsi kejayaan Adi dengan nenek,” ujar Ila yang juga adik kepada Adi.
Tambah Ila lagi persiapan raya tahun ini dibuat seperti biasa dan Ila menyediakan tiga pasang baju raya untuk digayakan pada hari raya nanti. Mereka sekeluarga akan memakai baju berwarna perak sedondon pada raya pertama nanti.
Sementara itu, Adi juga mempunyai kenangan raya yang tidak dapat dilupakan gara-gara terlibat dengan kemalangan pada raya ketiga dua tahun lalu.
“Mujur Adi tidak mengalami kecederaan serius, tetapi selepas itu Adi lebih berhati-hati bila memandu,” katanya yang menggemari kek lapis India.
SH : Daus terbakar kening kerana main mercun
“Ketika saya masih bersekolah rendah, bulu kening saya terbakar dek kerana asyik sangat bermain mercun bersama kawan-kawan,” kata Daus mengimbau kenangan berhari raya yang tidak dapat dilupakannya.
Walaupun kejadian itu meninggalkan tanda di kening Daus sehingga kini, namun ia tidak membuatkan Daus serik untuk bermain mercun.
“Cuma sekarang ini Daus sudah besar, jadi tidaklah segila dulu bermain mercun. Lagipun mercunkan sudah diharamkan di negara ini, jadi Cuma itulah kenangan yang Daus simpan sampai sekarang,” katanya yang menyukai rendang, ketupat dan kek lapis.
SH : Nad pernah tidak tidur semalam kerana kemas rumah
“Nad pernah tidak tidur semalam kerana asyik sangat mengemas rumah bersama ahli keluarga yang lain. Bila bekerjasama beramai-ramai macam itu, memang tidak terasa letih, sedar-sedar hari dah pagi dan kami terus bersiap seperti biasa,” cerita Nad mengenai pengalaman raya yang tidak dapat dilupakannya.
Nad berkata dia hanya menyediakan empat pasang baju raya dan akan cuba meluangkan masa menziarahi teman-teman seangkatan di AF.
SH : Shah teringatkan nenek
Jika Adi dan Ila kehilangan nenek pada raya tahun lalu, Shah juga melalui pengalaman sama kehilangan nenek pada Lebaran tahun lepas.
“Shah sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan Shah bergelar artis tahun ini dengan nenek tercinta. Nenek adalah salah seorang ali keluarga Shah yang banyak memberi sokongan pada Shah untuk berjaya,” katanya yang akan pulang ke Kuala Selangor.
SH : Polis datang ke rumah gara-gara main mercun-Alif
“Kejadian ini berlaku ketika Alif berada di tingkatan dua, dek kerana asyik bermain mercun bersama kawan-kawan, rumah kami didatangi polis.
“Nasib baik mereka tidak menangkap kami dan hanya memberi amaran. Kalau tidak, tak tahulah bagaimana nasib kami ketika itu,” kata Alif yang akan berhari raya di Kuala Lumpur saja.
SH : Nani pernah tertinggal kapal terbang
Mengimbau kenangan raya sebelum bergelar artis, pemenang tempat ketiga Mentor musim ke-4, Nani pantas teringat kenangannya yang pernah tertinggal kapal terbang gara-gara terlewat dan tersalah membaca maklumat di tiket kapal terbang.
“Kejadian itu berlaku tiga tahun lepas, semasa Nani ingin pulang beraya di Sarawak dari Johor. Emak Nani tersalah memberi maklumat penerbangan menyebabkan Nani terlepas kapal terbang.
“Memandangkan tiada penerbangan tambahan pada hari itu, kesudahannya Nani hanya pulang keesokannya pada pagi raya. Mujur ada tiket, kalau tidak terpaksalah Nani berhari raya seorang diri di Johor Baharu,” katanya yang pulang beraya ke Sibu, Sarawak tahun ini.
Bercerita mengenai sambutan hari raya pula, Nani berkata dia hanya menyediakan empat pasang baju raya untuk dirinya dan memakai baju sedondon hijau pada raya pertama.
0 ulasan:
Catat Ulasan