Magnet muzik Switchfoot
Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR
SWTCHFOOT sudah ditubuhkan sejak 15 tahun lalu.
GRUP Switchfoot yang berasal dari San Diego, California bukan lagi asing di kalangan peminat muzik tempatan yang menggemari genre rock alternatif.
Selepas berjaya membentuk kelompok peminat tersendiri di serata dunia termasuk Malaysia, tidak sukar bagi Switchfoot memukau peminat-peminat tempatan menerusi konsert yang diadakan 1 Mei lalu.
Konsert Up Close with Switchfoot itu dibawakan khas oleh Jupiter Projects, Warner Music Malaysia dan beberapa agensi lain.
Seawal pukul 5 petang, ruang legar Dewan Mutiara, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur telah sesak dengan peminat-peminat mereka yang ternyata tidak sabar untuk menyaksikan persembahan grup kesayangan mereka itu.
Walaupun ruang dewan tidak begitu luas seperti konsert-konsert artis antarabangsa lain, ia bukanlah ukuran populariti yang dimiliki Switchfoot. Dewan bersaiz sederhana itu diisi tenaga menakjubkan peminat-peminat mereka membuktikan Switchfoot berada di kelas yang tersendiri.
Apabila dewan digelapkan, teriakan orang ramai menyebabkan suasana yang sebelum itu sunyi bertukar riuh seperti tahu Switchfoot bakal beraksi dalam tempoh beberapa saat sahaja lagi.
Petikan gitar oleh vokal utama grup itu, Jon Foreman serentak menghidupkan lampu-lampu pentas utama menandakan persembahan telah bermula.
Membuka tirai persembahan dengan lagu The Sound daripada album ketujuh, Hello Hurricane, grup yang telah bertapak selama 15 tahun itu tidak mengambil masa lama memukau peminat-peminat mereka.
Switchfoot yang turut dianggotai empat ahli lain iaitu Tim Foreman, Chad Butler, Jerome Fontamillas, dan Drew Shirley terus menghiburkan peminat-peminat mereka dengan mempersembahkan 10 lagu tanpa henti.
Lagu seperti Stars, Gone, Your Love Is A Song, dan Always jelas membuai perasaan orang ramai yang turut sama menyanyi bait-bait lirik lagu-lagu tersebut.
Dewan menjadi gamat apabila Switchfoot mendendangkan single pertama daripada album Hello Hurricane, Mess Of Me. Peminat-peminat bagai diserang histeria apabila Jon menghampiri kelompok penonton di hadapan pentas dan membenarkan mereka menggenggam tangannya.
Tamat slot pertama, pemenang Album Rock Terbaik di Anugerah Grammy 2011 itu menyatakan rasa cinta mereka terhadap muzik begitu tinggi kerana muzik merupakan medium penyatuan manusia tanpa mengira bangsa, agama serta negara.
Seperti kebiasaan yang dilihat di konsert-konsert artis antarabangsa lain, tidak sah jika mereka tidak mencuba berbahasa beberapa patah perkataan Melayu sebagai tanda penghargaan mereka terhadap peminat-peminat tempatan.
Ayat mudah seperti 'Saya Cinta Padamu' sudah cukup membuatkan orang ramai berteriak dan gembira menunjukkan betapa prihatin grup itu dalam menyemai komunikasi bersama orang ramai.
Mengisi slot kedua, Switchfoot mendendangkan beberapa buah lagu hit mereka seperti Hello Hurricane serta lagu tema filem A Walk To Remember yang pernah dinyanyikan semula Mandy Moore berjudul Only Hope.
Seperti menjadi kemestian di setiap konsert mereka, lagu Dare You To Move wajib didendangkan kerana ia antara lagu yang telah melonjakkan nama Switchfoot di persada antarabangsa.
Gimik Switchfoot mengucapkan terima kasih kepada orang ramai serta berlalu meninggalkan pentas tanda persembahan telah berakhir seperti telah diramal penonton yang meminta agar persembahan diteruskan.
Benar seperti yang disangka, grup itu kembali ke pentas dan menghadiahkan peminat-peminat mereka dengan lagu terakhir, We Are One Tonight yang dipetik daripada album Nothing Is Sound.
Persembahan selama satu jam setengah itu terasa begitu pantas berlalu dan riak ceria pada setiap wajah penonton jelas memberitahu mereka berpuas hati dan terhibur dengan aksi bertenaga Switchfoot.
0 ulasan:
Catat Ulasan