Selepas diumumkan protegenya terkeluar daripada persaigan Mentor 5, Rahim Maarof tiba-tiba bertindak mencabar juri tetap program realiti ini, Datuk Haji Ramli MS supaya selepas ini dia menjadi Mentor pula. Bahkan, penyanyi itu turut mencadangkan kepada pihak produksi untuk melantik biduanita Sharifah Aini sebagai juri tetap.


Tindakan Rahim Maarof memang tidak disaksikan oleh penonton yang berada di rumah, tetapi mereka yang berada di Auditorium MBSA boleh melihat dan mendengar cabaran ini dengan jelas. Persoalannya, mengapa Mentor kepada Aiman ini bertindak sebegitu? Adakah kerana tidak puas hati dengan kritikan-kritikan yang diberikan oleh Ramli MS atau dia punya sebab lain?

“Saya cakap tadi dalam nada berseloroh, bukan hendak buat kontroversi. Selain itu, niat saya hanya mahu Ramli rasa sendiri bagaimana sukar dan mencabarnya hendak melatih seorang protégé yang bermula daripada kosong. Saya tidak ada niat untuk mengaibkan atau menjatuhkan sesiapa. Harap perkara ini tidak dipandang serius. Saya cakap begitu bukan kerana tidak puas hati Aiman selalu dikritik,” ulas Rahim yang menafikan dia mencabar Ramli MS kerana tertekan.

Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan pencapaian Aiman , Rahim memberitahu dia bangga dengan protegenya itu walaupun markah selalu tidak berpihak kepadanya.

“Sejujurnya saya bangga dengan pencapaian Aiman. Saya juga tidak kecewa apabila dia tidak dapat mara ke separuh akhir. Bagi saya Aiman telah menunjukkan kemajuan dalam persembahannya dari minggu ke minggu,” ujar Rahim lagi.

Sementara itu, Ramli MS turut mengulas tentang cabaran yang dibuat oleh Rahim Maarof itu. Jelas bekas pengetua Akademi Fantasia ini, dia tidak mengambil serius dengan cabaran itu memandangkan Rahim hanya sekadar berseloroh. Bagaimanapun, juri tetap ini sempat mengingatkan Rahim bahawa Mentor ini adalah sebuah pertandingan realiti.

“Pertama, saya memang tidak memandangkan serius perkara ini kerana Rahim kata dia hanya berseloroh. Tetapi saya mahu ingatkan dia, Mentor ini adalah sebuah pertandingan. Jadi, sesiapa yang berusaha keras akan mendapat habuan. Tugas saya mengkritik bukan hendak menjatuhkan sesiapa, sebaliknya mahu melahirkan penyanyi yang bijak dan berkualiti.

Saya memang tidak boleh menyanyi. Tetapi saya ada ilmu untuk membantu mereka untuk menjadi lebih baik. Jadi, saya tidak pernah terfikir untuk mencari protégé bagi menyertai mana-mana pertandingan nyanyian. Namun begitu, saya ada perancangan untuk mencari remaja berusia 15 hingga ke 18 tahun untuk turunkan ilmu yang saya ada,” ujar Ramli berterus-terang.

~ Gua

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top