HANYA mereka yang mengalaminya saja tahu pahit dan manisnya hidup bermadu. Namun, bukan semua hidup bermadu itu pahit kerana ada juga yang bahagia jika melaksanakannya mengikut sunah Rasulullah dan seperti dituntut agama Islam.
Kisah suka duka hidup bermadu yang dipaparkan dalam drama bersiri 14 episod, Bait Cinta arahan Haris Fadzilah untuk TV9. Lebih menarik, drama ini menggandingkan pelakon wanita berbakat iaitu Natasha Hudson, Eira Syazira dan Ratu Cantik Malaysia 2005, Chermaine Poo melakonkan watak tiga isteri yang hidup bermadu. Watak suami dilakonkan pelakon filem Janin, Risz Ainuddin.
Pada sesi fotografi eksklusif yang diatur Rap di Studio Balai Berita, baru-baru ini, tiga pelakon jelita itu berkongsi pengalaman membawa watak isteri yang dimadukan. Eira bawa watak isteri pertama, Ustazah Kirana, Chermaine menjadi isteri kedua, (Syuhada) dan Natasha pula watak isteri ketiga, Sharnaz.
Ketika ditemui, Natasha mengakui tertarik bila ditawarkan watak isteri ketiga, Sharnaz.
Katanya, Sharnaz adalah wanita berkerjaya yang jatuh cinta dengan suami orang serta bosnya sendiri, Hazri.
"Apa yang menarik, isteri pertama bosnya, Ustazah Kirana mengizinkan Sharnaz berkahwin dengan suaminya kerana simpati dengannya yang bertarung melawan kanser.
"Saya tertarik terima tawaran ini kerana ceritanya bukan pergaduhan antara madu sebaliknya hidup bermadu mengikut tuntutan agama Islam. Ia juga kali pertama saya melakonkan watak sedemikian," katanya.
Natasha berkata, dia juga tidak ada masalah bergandingan dengan Eira dan Chermaine.
Katanya, dia pernah berlakon drama dengan Eira tapi tidak digandingkan bersama seperti dalam Bait Cinta. Ini juga kali pertama Natasha berlakon dengan Chermaine dan memujinya sebagai pelakon baru yang suka belajar.
"Kami juga tidak ada masalah dari segi keserasian kerana masing-masing menutup kelemahan antara satu sama lain. Saya seronok bekerjasama dengan Chermaine kerana memang 'satu kepala' dan memudahkan kerja penggambaran.
"Tidak timbul soal cemburu atau ingin tunjuk siapa yang lebih bagus kerana kami cukup profesional di lokasi penggambaran," katanya.
Ditanya sama ada dia boleh menerima hidup bermadu, Natasha lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.
"Saya memang tidak tahu bagaimana rasanya hidup bermadu tapi kalau ditakdirkan dan ada persefahaman wujud dalam hidup bermadu, alhamdulillah.
"Sebenarnya, ada kawan saya yang hidup bermadu dan mereka boleh terima dan menjadi kawan baik antara satu sama lain. Ada juga isteri pertama yang mendidik isteri kedua ajaran agama dan kalau ada orang lain didik kita ke arah kebaikan, ia adalah satu perkara yang bagus," katanya.
Eira yang membawa watak isteri pertama, Ustazah Kirana mengakui wataknya itu mungkin klise kerana dia isteri yang setia dan penyabar. Demi kebahagiaan suaminya Hazri, Ustazah Kirana membenarkan suaminya berkahwin dengan dua wanita lain kerana dia tidak mampu melahirkan anak.
"Kami bermadu kerana ada sebab yang kukuh. Ustazah Kirana berkahwin dengan Hazri juga atas pilihan keluarga. Berbeza dengan Ustazah Kirana yang bertudung, suaminya pula suka bersosial dan pemabuk. Ustazah Kirana mula mengenali Syuhada yang juga jururawat yang merawatnya di hospital ketika dia mengalami keguguran," katanya.
Eira yang pernah berlakon watak bertudung dalam drama Ustaz Amirul sebelum ini berkata, watak kali ini ada kelainan kerana dia ustazah yang mengajar kanak-kanak mengaji di surau.
"Babak yang paling susah ialah watak Ustazah Kirana yang banyak menangis dan dia wanita lemah yang mengizinkan suami untuk berkahwin lagi.
"Saya akui susahnya hidup bermadu dan tidak terfikir untuk bermadu dalam kehidupan realiti. Terus terang, saya memang tidak boleh terima untuk hidup bermadu kerana saya tahu susahnya hidup bermadu bila berlakon watak dimadukan dalam cerita ini.
"Watak dilakonkan ini memang jauh berbeza dari diri saya yang sebenar kerana Ustazah Kirana wanita yang terlalu baik bagi saya," katanya.
Manakala Chermaine yang membawa watak isteri kedua, Syuhada yang juga mualaf berkata, selepas Tudung Ekspres, ini drama kedua dilakonkannya.
"Saya masih baru dalam bidang lakonan dan masih banyak ilmu yang perlu ditimba dalam bidang ini. Saya bertuah kerana mendapat bimbingan dari pelakon lebih senior iaitu Eira dan Natasha yang banyak membantu saya menjiwai watak di lokasi penggambaran.
"Saya terima tawaran buat cerita ini kerana tertarik dengan watak wanita mualaf, Syuhada yang banyak bermain emosi dalaman kerana didera bekas suaminya dulu. Watak Syuhada mencabar kerana saya perlu bercakap bahasa Melayu dan menjayakan babak menangis dalam cerita ini," katanya. Kata Chermaine yang bercita-cita menempa nama dalam drama Melayu, dia juga mendapat kerjasama terbaik dari semua pelakon sepanjang penggambaran itu.
"Sebelum penggambaran bermula, kami bertiga akan berbincang antara satu sama lain dan memudahkan menjiwai watak diserahkan," katanya. Drama bersiri 14 episod Bait Cinta menemui penonton di TV9 mulai 17 Mei ini.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Syazira Shuhaimi
NAMA KOMERSIAL: Eira Syazira
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
DRAMA: Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Ku Milik Mu dan Melukut Tepian Gantang
FILEM: Bisikan Remaja, Ngangkung
PROFIL
NAMA SEBENAR: Chermaine Poo
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 1 Oktober
KERJAYA: Model iklan, pengacara TV, pelakon dan pemilik Chermaine Poo Productions
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Ijazah Perakaunan dan Kewangan dari United Kingdom
TELEFILEM/DRAMA: The Beginning (Media Corp), Anak Pontianak, Malaysian Talents.Com (Popiah Pictures), Drama bersiri 13 episod, Tudung Ekspres, Bait Cinta (14 episod)
FILEM: Lust, Caution; Dukun; Orange For Mama
TEATER: The Odd Couple
PROGRAM: Tourism Singapore, Travelling Show to Marina Tioman dan Dapur Nyonya di TV3
PENCAPAIAN: Miss Malaysia 2005
PROFIL
NAMA SEBENAR: Natasha Liana Hudson
TARIKH LAHIR: 9 September 1982
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Nessa Helena, 3 tahun
PENDIDIKAN: Sarjana rekaan grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago
PROFESION: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku
IKLAN: Nesquick, McDonald's, Pantene, Ambi Pur dan L'Oreal
PROGRAM TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman
ANTARA DRAMA: Pei Pan, Rahsia Cemara, Duyong Aridinata, Emily, Cinta dan Pengantin Untuk Dijual
TEATER: Teater Muzikal Ibu Zain, Gamat
FILEM: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.
Penata gaya rambut Chermaine : Jeremy dari Albert Nico, Fahrenheit 88
Solekan Chermaine : Stev Chong dari MAC
Wardrobe (gaun moden) : Nila Palacios 6012 923 6822
Wardrobe (Baju Kurung): De Zaine Boutique & Bridal, F33, Tingkat 2, Ampang Point
Aksesori jam tangan : Toy Watch
Solekan Natasha : Ezad Ibrahim 019 3604410
0 ulasan:
Catat Ulasan