Sembilan tahun pengalaman bertugas di ERA, bermula dari ‘budak’ skuad Perodua ERA sehinggalah ke detik akhir selaku penyampai segmen Pagi Di ERA, Kieran akhirnya menamatkan kontraknya bersama stesen itu pada 31 Oktober lepas.
Meski berat hatinya untuk meninggalkan ERA yang dianggapnya sebagai ‘lubuk’ menimba ilmu, segala apa yang diperolehinya kini dicurahkan pula ke tempat baru iaitu Hot FM.
Daripada sebuah stesen yang secara terus unggul di takhta nombor satu, pastinya Kieran tidak kekok untuk bertugas di tempat baru yang menunjukkan persaingan sengit dalam mengejar stesen nombor satu negara.
Dalam erti kata lain, semuanya bukanlah sukar atau asing dalam hidup Kieran memandangkan pengalamannya sebelum ini.
Namun, bagi Kieran, itu semua bukanlah satu kerja mudah kerana berada di Hot FM, segalanya perlu berubah.
“Memang kekok kerana budaya kerja dan persekitaran di Hot FM amat berbeza berbanding tempat lama.
“Lihatlah bagaimana saya mengendalikan segmen Hot FM AM Krew Isnin lalu. Walaupun sudah lama mengenali Fara dan Faizal sewaktu di ERA, saya tetap gugup dan gementar.
“Semua percakapan saya perlu dijaga, takut tersasul menyebut perkataan yang ada kaitan dengan tempat kerja saya sebelum ini,’’ katanya kepada Hits.
Ujar Kieran, bagi mengelak kesilapan, dirinya terpaksa meletakkan perkataan Hot FM dan beberapa perkara penting mengenai stesen itu di hadapannya sepanjang bersiaran di udara.
“Bukannya mudah untuk membiasakan diri menyebut perkataan Hot FM. Asyik teringat tempat kerja lama sahaja.
“Ini adalah lumrah dan lama kelamaan, saya pasti dapat membiasakan diri,’’ katanya.
Kepada satu persoalan mengenai dakwaan yang mengatakan dirinya membelakangkan ERA kerana menyertai Hot FM, Kieran bagaimanapun meminta pendengar agar dapat menerimanya di tempat baru.
“Pendengar yang meminati semasa saya di ERA sudah tahu dan dapat menerima dengan baik segala keputusan.
“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang komen negatif,’’ jelasnya.
Tidak kisah bermula dari bawah
Dalam pada itu, sebagai ‘budak baru’, Kieran tidak terlepas diajukan soalan mengenai pendiriannya yang terpaksa bermula dari bawah saat menyertai Hot FM.
Masakan tidak, dirinya kini berada di bawah penyampai radio bertaraf senior di Hot FM iaitu Fara Fauzana serta Anida Mohd. Tahrim yang dahulunya merupakan anak didiknya di ERA.
“Saya tidak kisah malah berbangga kerana mereka kini sudah pergi lebih jauh,’’ kata Kieran yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.
Kieran menamatkan kontrak perkhidmatan di ERA pada 31 Oktober lalu dan kemudiannya sah menyertai Hot FM, keesokan harinya.
Bagaimanapun, Kieran memulakan tugas di Hot FM Isnin lalu dan jadual tugasannya masih belum ditentukan.
Dengan itu, Kieran bakal ditempatkan di pelbagai segmen baik pagi, petang atau malam secara bergilir-gilir selama dua minggu.
Sebagai jalan penyelesaian, Hot FM mengambil langkah membuka peluang kepada pendengar untuk mengundi segmen kendalian Kieran yang paling digemari mereka melalui laman web stesen radio itu.
Sebaik tamat dua minggu, pihak pengurusan Rangkaian Radio Media Prima akan membuat keputusan berdasarkan kepada undian berkenaan.
Saya suka etika kerja
Kieran - Seelan
Sementara itu, Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, apa yang membuatkan pihaknya memanggil Keiran memasuki Hot FM adalah kerana etika kerja penyampai radio berkenaan.
“Dia (Kieran) amat penyabar dan kuat bekerja. Saya secara peribadi amat menyukai etika kerja Kieran.
“Sebenarnya, sejak 2005 lagi saya sudah mengajak Kieran untuk menyertai Hot FM tetapi dia pada saat itu agak keberatan.
“Saya percaya dengan adanya Kieran di Hot FM, dia mampu menaikkan rating stesen radio ini,’’ jelasnya.
Ujar Seelan, kontrak perkhidmatan Kieran di Hot FM adalah selama dua tahun dan penetapan segmen yang bakal dikendalikannya bakal diketahui tidak lama lagi.
“Dia cukup berbakat dan mana pun kita letak, dia mampu mengendalikannya dengan baik,’’ tambahnya.
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
Utusan 7 Nov
0 ulasan:
Catat Ulasan