Oleh kerana lebih selesa menghilangkan diri, anak aktres popular Khatijah Tan ini terus dikaitkan dengan pelbagai spekulasi liar.
Paling nakal, pastinya dakwaan kononnya dia bercinta dengan gadis bunian, bersembunyi, dibomohkan, enggan memberi kerjasama dengan krew produksi serta lain-lain lagi.
Bagaimanapun, persembunyian Pierre sebetulnya dijelaskan sutradara muda itu semata-mata untuk mencari ketenangan dan kedamaian sebelum tampil membuat sebarang penjelasan.
Pada majlis preview filem terbaru lakonannya Selamat Pagi Cinta kelmarin, Pierre muncul menemui media tanpa sedikit pun terpancar riak ketakutan pada wajahnya.
“Saya tak sakit dan tak pernah sakit. Semua cerita buruk pasal saya semuanya fitnah semata-mata.
“Saya tidak bersembunyi di mana-mana. Saya masih keluar tengok wayang, balik rumah mak saya berkali-kali. Cuma kalau ada yang menghubungi saya agak sukar nak dapat kerana saya tak gemar untuk menggunakan telefon. Dari dulu lagi memang saya tak guna telefon,” kata Pierre menjelaskan keadaan sebenar.
Seperkara yang mengguris hati Pierre ialah, cerita-cerita tidak benar seperti yang dilaporkan segelintir media menyebabkan ibunya khuatir.
Bahkan, Pierre mengakui, ibunya pernah berusaha membawanya berubat secara tradisional.
“Saya tak sakit apa pun, tapi ada beberapa perkara dapat dikesan apabila ibu bawa saya berjumpa dengan orang arif bahawa ada yang dengki dan iri hati pada saya,” katanya lagi.
Menurut Pierre, dia sangat kesal dengan apa yang telah berlaku dan tidak mengerti mengapa situasi sebegini boleh singgah ke dalam hidupnya.
Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak seandainya mahu menjatuhkan imej serta mencalarkan reputasi dirinya, namun Pierre berharap segala omongan kosong itu segera berakhir.
“Saya ada hak yang boleh disentuh atau tak boleh. Jika disentuh ruang yang tidak boleh diusik itu akan mendatangkan masalah.
“Saya ada hak nak bercerita atau mendiamkan diri sahaja. Bagi saya artis bukan hak masyarakat, hak masyarakat seperti polis, bomba. Seperti kata orang tua berdiam diri lebih baik daripada bercakap. Saya malas nak layan cerita yang karut,” terang anak kelahiran kota metropolitan ini lagi.
Apa yang pasti terang pemilik nama sebenar Mohd Pierre Andre Nazarul Andre jika ada yang cuba mengatakan dia cuba melarikan diri atau bersembunyi pastinya dia tidak akan hadir pada majlis preview itu.
Tidak wujud wanita tersebut
Dari riak wajah yang tenang, pelakon, penulis skrip ini juga memberitahu, wanita yang acap kali dikaitkan dengan dirinya itu bukanlah kekasih hatinya.
Malah Pierre mendedahkan, dia sendiri tidak pernah bertemu dengan wanita misteri tersebut.
“Sebenarnya saya diperkenalkan dengan wanita tersebut menerusi Elly, bekas pekerja MIG Production yang kenalkan saya dengan wanita tersebut.
“Menerusi perkenalan itu, dia bercadang seolah-olah nak buat filem dan sangat berminat dengan filem.
“Tapi saya tak pernah jumpa dia pun kami hanya berhubung menerusi telefon sahaja. Abang dan kakak dia sahaja saya pernah jumpa. Tak tahulah kalau dia tak normal sekejap menjadi lelaki atau sekejap dia boleh menjadi perempuan,” katanya bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya.
Pierre juga menjelaskan, kini dia dan gadis tersebut tidak lagi berhubungan.
Di kesempatan yang ada, anak muda berusia 23 tahun ini juga jujur meluahkan isi hatinya membicarakan tentang cinta.
Mengakui masih bersendiri dan hatinya masih belum dimiliki setelah beberapa kali cintanya kecundang di tengah jalan.
“Saya masih bersendiri dan masih mencari wanita yang benar-benar sesuai dengan saya. Dan saya berharap saya akan dapat seorang wanita yang benar-benar secocok dengan jiwa saya.
“Cukuplah sudah beberapa kali hubungan cinta saya tewas dan saya tak mahu lagi bercinta dengan artis. Penat sangat bercinta dengan artis ini dan serik dipermainkan,” terang Pierre dalam nada sedih.
Seperkara yang mengusik hati anak muda ini lagi, dia menyesal kerana cinta sucinya dengan pengarah muda Nor Liana Samsudin tidak kesampaian.
“Ketika itu kami masih muda dan mengambil keputusan untuk putus. Tapi ada hikmah di sebalik perkara tersebut kerana kami masing-masing kini sudah berjaya. Dan kami masih menyokong karier masing-masing,” luahnya menyesali perkara tersebut namun dengan pantas menjelaskan tidak mungkin akan terbit cinta untuk kali kedua antara mereka.
Hasil kerja diganggu
Jejaka yang dilahirkan pada 17 Mac 1985 ini juga menjelaskan amat kesal dengan tindakan krew-krew produksi filem arahan terbarunya Jangan Tegur yang ‘berani’ meneruskan penggambaran tanpa keizinannya.
Perkara tersebut berlaku setelah kreativiti Pierre terganggu dek serbuan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan jiwanya tertekan pada malam kejadian.
Dek kerana itu, Pierre menyuruh seluruh produksi berehat dahulu. Namun dia kecewa apabila diberitahu bahawa ada pihak yang memandai-mandai meneruskan penggambaran tanpa dirinya.
“Saya diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab satu hal. Kemudian saya balik rumah mak saya mencari ketenangan dan menyuruh semua krew berehat dahulu.
“Apabila saya mahu kembali ke lokasi dan memulakan penggambaran saya dapat tahu mereka meneruskan penggambaran.
“Itu yang membuatkan saya marah, kerana mereka tidak menghormati saya. Itu babak penting iaitu babak terakhir tapi tak mendapat sentuhan saya sebagai pengarah,” luah peminat sutradara Roberto Bernini ini.
Mengakui sudah tawar hati dengan apa yang berlaku terhadap filem Jangan Tegur tetapi tegas Pierre, dia akan tetap turun padang bagi mempromosikan filem tersebut kelak.
Ditebak persoalan benarkan hubungannya dengan David Teo semakin berantakan jelas Pierre: “Kami tidak bergaduh kerana saya masih menghormati dia sebagai orang yang lebih tua dan individu yang bertanggungjawab memberi peluang kepada saya untuk mengembang bakat seni saya.”
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDINUtusan 7 November 2008
0 ulasan:
Catat Ulasan