Jika anda menonton Konsert Tirai AF8 dan konsert pertama Akademi Fantasia semalam, anda akan menyedari kehadiran Paknil sebagai pengkritik tetap Akademi Fantasia musim kali ini bersama Adlin Aman Ramli (juga pengkritik tetap).

Ada yang bertanya kenapa Paknil tidak jadi pengacara. Ada yang kata mereka mahu lihat Paknil mengacara, bukan mengkritik. Banyak kali Paknil tegaskan tidak akan kembali sebagai pengacara. Biar pengacara lain kendalikan AF mengikut cara mereka. Lagipun rating AF tak pernah jatuh biarpun bertukar pengacara.

Ada yang kata, habislah Sarimah dan Jimmy kerana Paknil jadi pengkritik mereka. Eh! Siapalah Paknil nak kritik mereka, sedangkan kerja Paknil pun orang masih bebas mengkritik dan ini bermakna Paknil belum layak mengkritik mana-mana pengacara.

Walaupun pernah menjadi pengacara AF, Paknil tidak akan campur tangan dalam kerja Sarimah dan Jimmy. Mereka tidak perlu runsing sebab Paknil lebih berminat memberi komen kepada persembahan pelajar AF8.

Apabila duduk di kerusi pengkritik, baru Paknil tahu bagaimana rupanya pengacara AF di mata penonton. Orang ramai menunggu pengacara buat lawak kerana kadangkala mereka tidak terhibur dengan persembahan pelajar.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa Paknil terima tawaran jadi pengkritik AF. Mereka berasa pengkritik kerja sukar kerana harus bercakap, terutama membetulkan kesilapan orang. Kata mereka, silap-silap Paknil dibenci seperti mana orang membenci Simon Cowell dalam American Idol.

Pada pandangan Paknil, seandainya meletakkan diri sebagai pengkritik, Paknil mungkin terpaksa memenuhi tuntutan kerja untuk mengkritik pelajar, tetapi di kerusi itu Paknil sentiasa mengingatkan diri Paknil sebenarnya pembimbing.

Apabila Paknil berfikiran begitu, mungkin nada teguran berbeza sedikit ketika mengkritik. Begitu juga pilihan perkataan sebab membimbing seakan-akan membantu daripada menjatuhkan.


Pun begitu, ada juga berpendapat jika bahasa digunakan tidak pedas, rancangan itu tampak kurang menyengat. Entahlah, Paknil tak suka rancang perkara seperti ini, sebaliknya lebih suka ia berlaku secara semula jadi. Nama pun rancangan realiti. Kita tengok saja macam mana perjalanan konsert AF8.

Paknil juga tidak terasa hati jika ada yang mempersoal kredibiliti Paknil sehingga layak duduk di kerusi pengkritik. Apa sebenarnya kelebihan Paknil, sedangkan Paknil bukan penyanyi yang hebat pun.

Paknil sedar, tetapi tetap sahut cabaran ini kerana mahu mewakili penonton di rumah. Mereka pun bukan tahu soal teknik nyanyian. Kadangkala mereka terpinga-pinga dengan terma digunakan golongan bijak pandai dalam bidang itu. Bukan kata penonton, kadangkala pelajar sendiri tidak faham apa pengkritik katakan.

Dek kerana itu, Paknil biarkan soal nyanyian dan persembahan dikritik oleh pengkritik jemputan dan Adlin yang lebih arif. Paknil akan beri komen jujur sama ada terhibur atau tidak dengan apa yang pelajar persembahkan.

Kalau tak terhibur, Paknil yakin ramai penonton berasakan perkara sama. Di telinga penonton biasa, nyanyian seseorang itu cuma ada dua, sama ada merdu atau sumbang. Adakah menghiburkan atau membosankan. Di mata penonton pula persembahan pelajar nampak hebat atau jelek.

Faktor itu yang sebenarnya digunakan penonton ketika mengundi pelajar yang beraksi. Pendek kata, kritikan Paknil akan berkisar sama ada Paknil terhibur atau tidak.


Ikutkan, kaedah menghibur ada pelbagai cara. Walaupun lagu sedih, jika penonton dapat merasai nyanyian penyanyi, ia sudah cukup berkesan.

Contohnya dalam menyanyikan lagu berirama perlahan, jika penyanyi dapat menyampaikan lagu dengan rasa yang tepat, Paknil pasti penonton terpaku.

Mungkin daripada riak wajahnya saja, kita di bahagian penonton akan turut dibuai masuk dalam penceritaan si penyanyi.

Jika rasanya betul, pasti dalam sebutan patah perkataan itu ada tafsiran nada yang betul. Ada bisiknya, ada esaknya dan ada rayuannya. Pendek kata, ia umpama berlakon dalam pengucapan dialog kerana tidak semua perkataan diucapkan pada nada sama.

Begitu juga jika menyanyikan lagu rancak. Pergerakan di pentas harus seiring dengan rentak lagu. Kawalan pentas dengan cara seseorang penyanyi itu bergerak pasti menyerlahkan si penyanyi supaya tidak kelihatan kaku atau teragak-agak.


Penyanyi akan tampak berjaya jika dia menghafal rentak lagu seiring dengan pergerakannya. Maksudnya jika ingin memusingkan badan pun, ia seharusnya mengikut irama dan dilakukan dengan bersahaja.

Bagi Paknil, penyanyi yang baik bukan saja perlu menghafal lirik tetapi juga rentak lagu dan susunannya. Ia lebih kurang sama jika kita menonton filem. Selalunya, dalam menjadikan sesebuah babak itu lebih berkesan, akan diselitkan muzik latar yang sepadan dengan jalan cerita.

Begitulah logik yang Paknil gunakan dalam menilai persembahan mereka. Pergerakan pelajar di pentas kelihatan lebih yakin jika mereka mengenali lagu dengan mendalam. Mustahil itu sukar dilakukan kerana mereka mempunyai guru terbaik di akademi.

Mungkin selepas membaca ini, ramai mula faham kenapa guru lakonan diwujudkan dalam AF seperti Cikgu Fatimah, Cikgu Marlia, Cikgu Fauziah dan Cikgu Ida. Ia bertujuan membentuk penyanyi supaya mentafsir dan menterjemahkan lagu dengan nada dan pergerakan betul.

Sebenarnya banyak lagi faktor lain dapat menjadikan seorang penyanyi itu penghibur yang hebat apabila di pentas. Walaupun dengan hanya berdiri tegak berseorangan di pentas besar, seorang penyanyi yang baik pasti dapat menzahirkan persembahan yang bagus jika dia dapat seiringkan tubuhnya, pengucapan lirik, raut wajah dan rasa dalam jiwanya tepat dengan irama serta mesej lagu.

Ini antara rahsia kawalan pentas yang harus dipelajari selain belajar menyanyi menggunakan teknik betul. Hanya dengan teknik yang baik dan betul seseorang itu dapat membuat pengucapan lirik lagu dengan jelas.

Bila jelas dan penonton dapat memahami apa yang diucapkan dalam lagu, lagu itu lebih difahami dan penceritaan. Inilah tugas Cikgu Siti Hajar dan Shafi dalam AF.


Cara ‘projection’ suara penting supaya sebutan perkataan tidak tenggelam dan dapat didengar dengan jelas. Ini termasuk cara ‘phrasing’ dan teknik bernafas yang betul.

Bila seseorang penyanyi tahu teknik bernafas dalam lagu, helaan nafas dan sebutan perkataan akan berselisih dengan baik tanpa berlaga yang boleh menyebabkan gangguan dalam nyanyian.

Lebih hebat lagi jika pelajar tahu menggunakan teknik esakan, bisikan, tebal nipis dan naik turun suara dalam persembahan. Sebenarnya bila teknik ini diletakkan pada tempat yang betul dalam lagu, penceritaan dalam lagu lebih berkesan dan nyanyiannya dapat dirasai penonton. Ini yang diajarkan Cikgu Adnan dan Cikgu Ajai.

Bayangkan jika pelajar dapat mempelajari sekali gus menguasai semua elemen ini ketika membuat persembahan, Paknil yakin kita dapat melahirkan penghibur yang total. Namun, kita perlu pantau perubahan pelajar ini sama ada mereka dapat mempraktikkannya di pentas konsert.

Wassalam.

~ Pak Nil

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top