Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Akim yang cukup popular dengan lagu Bengang boleh dikatakan antara pelajar AF7 yang bertuah. Meskipun masih baru, namanya sudah berdiri sama tinggi dengan barisan penyanyi popular yang lain.


Namun begitu sudah menjadi adat, bukan semua orang suka dengan pencapaian anak kelahiran Johor Bharu itu sehingga timbul isu kononnya disebabkan populariti yang melimpah ruah, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad sudah mula lupa diri.

Dia juga dikatakan mula perasan bagus dengan pencapaian diri dan disebabkan sikapnya itu ada sesetengah rakan artis yang mula menjauhkan diri daripadanya. Benarkah segala khabar angin itu?

Akim yang ditemui pada majlis pelancaran Konsert Wall's Cornetto, Take A Chance Show Your Love baru-baru ini dilihat cukup tenang menjawab segala soalan panas yang diajukan kepadanya.

"Saya rasa saya tidak perasan bagus, mungkin ada orang yang tidak senang dengan saya. Kalau ikutkan dalam masyarakat pun memang ada orang berhati busuk dan iri hati terhadap kejayaan seseorang.

"Sebagai artis saya tidak boleh ubah semua perkara mengikut kehendak saya. Andai benarlah sikap saya sebegitu sudah tentu peminat akan cepat menjauhkan diri daripada saya," tuturnya.

Jelas Akim, dia mempunyai cara tersendiri untuk para peminat menyukai dan merestui setiap perkara yang dilakukan agar kejayaan yang bakal dikecapi dikongsi bersama peminat.

"Setiap apa yang saya lakukan contohnya dalam penciptaan lagu, saya akan beri peminat saya dengar lagu itu sebelum dikeluarkan di radio. Saya akan tanya pendapat mereka, apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka supaya lagu yang dikeluarkan benar-benar menepati selera peminat.

"Kalau saya berangan yang saya bagus, saya tidak akan tanya pendapat mereka. Saya buat lagu pun ikut suka hati saya sahaja tetapi saya masih lagi pertimbangan orang sekeliling kerana kejayaan tidak akan datang bergolek dengan usaha saya seorang sahaja," tegasnya.

Disoal lagi, sudahkah Akim berasa dirinya sudah cukup bagus sebagai seorang penyanyi baru? Katanya dalam nada serius: "Pencapaian tidak akan habis, apa yang saya lakukan adalah menghiburkan orang supaya mereka gembira. Selepas itu, baru pencapaian akan datang."

Impian

Jejaka berusia 19 tahun itu sedar, popularitinya sebagai penyanyi remaja tidak akan kekal lama. Sampai masanya, peminat pasti akan melupakannya apabila muncul penyanyi-penyanyi baru yang lebih muda dan tampil dengan muzik yang lebih segar.

Oleh sebab itu, Akim tahu dia harus menyediakan payung sebelum hujan. Selain menyanyi dan berlakon, Akim juga berkebolehan dalam mencipta lagu dan lirik dengan baik.

Buktinya, setelah keluar daripada AF, dia telah menghasilkan tiga buah lagu iaitu Inilah Cinta yang kini cukup hangat di corong-corong radio manakala dua buah lagu baru, Janji dan Menunggu yang baru sahaja selesai menjalani rakaman di studio.

"Setakat ini baru tiga buah lagu, mungkin selepas ini lebih banyak lagu yang akan saya hasilkan. Kalau boleh semua lagu itu mahu saya muatkan dalam album penuh yang akan keluar hujung tahun ini atau awal tahun depan," ujarnya.

Tambah Akim, menjelang tahun depan dia akan mendaftar sebagai pelajar dalam bidang kejuruteraan bunyi di sebuah institusi pengajian kerana matlamatnya adalah untuk bergelar seorang komposer dan penerbit album pada masa depan.

"Itu memang saya sudah rancang sejak awal lagi Cuma sekarang ini saya masih dalam proses mencari kolej yang sesuai.

"Sekurang-kurangnya bila saya tidak popular nanti, saya ada pekerjaan yang dapat menjamin masa depan saya," tegasnya penuh semangat.

Menurutnya lagi buat masa ini, apa yang dia mampu lakukan adalah menghasilkan karya terbaik demi peminat supaya mereka tidak jemu menyokongnya.

"Saya tidak kejar populariti, apa yang saya lakukan adalah menghiburkan peminat dengan hati yang ikhlas. Saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas orang akan nampak kesungguhan itu," ungkapnya.

Konsert atas bumbung

Akim yang baharu sahaja selesai menjalani proses memasukkan suara untuk filem animasi, Monster House yang bakal disiarkan di Astro Ceria juga bakal menghiburkan peminat bersama Shila, Dafi, Mila, Aizat dan Bunkface pada Konsert Wall's Cornetto, Take A Chance Show Your Love pada 19 Jun depan, pukul 7.30 malam di tingkat atas bumbung Bukit Bintang Plaza.

Akuinya, dia sungguh bertuah apabila terpilih bersama-sama rakan artis remaja yang lain untuk sama-sama meriahkan lagi konsert itu.

"Saya teruja apabila ditawarkan untuk terlibat dalam konsert ini. Rakan-rakan artis yang lain semuanya memiliki nama besar jadi ini satu penghormatan buat saya," jelasnya.

Beritahunya lagi, pada malam konsert itu, dia akan menyanyikan tiga buah lagu khas untuk peminat yang hadir dan mengharapkan ramai peminat muzik akan hadir sebagai tanda sokongan bukan sahaja buat dirinya tetapi juga artis yang lain.

"Rasanya seronok dan agak berbeza sebab lokasi konsert adalah atas bumbung Bukit Bintang Plaza. Bagi sesiapa yang tidak pernah rasai konsert atas bumbung inilah masanya untuk mereka beramai-ramai memeriahkan Konsert Wall's Cornetto," ujarnya.

Buat peminat yang ingin mendapatkan tiket Konsert Wall's Cornetto, Take A Chance Show Your Love, anda boleh mendapatkan tiket di semua kedai 7-Eleven serta stesen Petronas dan Shell. Bagi pembelian dua ais krim Wall's Cornetto, peminat akan dapat satu tiket percuma untuk menonton konsert.

Oleh HARYATI KARIM

2 ulasan:

  1. akem perangai diew tk seperti yg ditulis kt atas...sape yg rapat ngan diew bru tau mcm mane care diew...

    BalasPadam
  2. ehem2..
    jgn nk jugde org sesuke haty..
    ingat sket,diri kite pon ta sempurna...
    semua manusia lemah harap maklum...
    jgn cakap org klu diri kita lagi terok...
    dan jgn berbangga dgn kehebatan kita kerana allah boley tarik bile2 masa...

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top