Selepas tiga musim bersiaran, kini Sehati Berdansa digantikan Mari Menari yang disertai orang biasa sama ada suami isteri, adik-beradik atau anak dan bapa berbeza Sehati Berdansa memaparkan pasangan selebriti.



Dua belas pasangan sudah bersedia untuk menyusun rentak di lantai tari Mari Menari sekali gus memeriahkan industri seni tari yang semakin rancak membangun. Mereka terdiri daripada 10 pasangan suami isteri iaitu pasangan Ariz, Dita, Fahmi, Masri, Razif, Rosdi, Shai, Yat, Zarin, Zul serta satu pasangan anak beranak (Jaya) dan satu pasangan adik- beradik (Nita).

Ia program realiti mencari pasangan berpotensi bagi diketengahkan dalam bidang seni tari. Kebolehan dan bakat seni tari yang terpendam dalam diri setiap peserta akan diuji dengan pelbagai cabaran yang disusun selama 10 minggu bersiaran.

Menariknya, setiap pasangan yang dipilih mempunyai pertalian darah ataupun mahram di antara satu sama lain. Pasangan juara juga akan menerima kondominium The Haven di Ipoh, Perak bernilai RM358,000.

Bagi merancakkan lagi kemeriahan program itu, 12 jurureka tari profesional dipilih berdasarkan pengalaman dan kecekapan mereka menerusi sesi uji bakat tertutup. Mereka sudah bersedia untuk membimbing setiap pasangan sebelum mengadakan persembahan mingguan. Bekas jurureka tarian AF, Adam Corrie turut dilantik sebagai perunding tarian.

Selain itu, empat selebriti terkenal tanah air diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai tenaga penasihat apabila setiap selebriti akan menjadi penasihat untuk tiga pasangan di bawah pemerhatian mereka.

Kehadiran selebriti ini bukan sekadar untuk berkongsi nasihat dan memberikan galakkan motivasi serta tunjuk ajar kepada pasangan di bawah jagaan masing-masing, tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka.

Empat selebriti itu - Fazira Wan Chik atau Erra Fazira, Lisdawati Nazaruddin, Ferhad Ibrahim dan Zulhuzaimy Marzuki. Barisan tenaga penasihat ini juga akan bertindak sebagai juri untuk mengadili di akhir persembahan setiap pasangan. Bagaimanapun, setiap penasihat tidak boleh menjadi juri untuk mana-mana pasangan yang berada di bawah jagaan mereka.

Zulhuzaimy mengakui terkejut apabila pihak produksi program itu menjemputnya menyertai barisan selebriti lain sebagai tenaga penasihat kerana dia seorang pelakon.

"Saya tanya mereka kenapa pilih saya antara tenaga pengajarnya kerana saya bukan penari. Menurut Khairul Mizan (Naib Presiden Unit Pembangunan Kandungan Astro Entertainment Sdn Bhd), mungkin ramai peminat di luar sana tidak tahu yang saya berbakat dalam pergerakan atas pentas muzikal dan saya layak sebagai tenaga pengajar.

"Tetapi bidang tugas saya bukan mengajar menari sebaliknya mengajar peserta mengenai pengurusan pentas dan ruang pentas. Ia amat penting kerana untuk membuat persembahan terbaik, mereka perlu tahu bagaimana hendak menguasai pentas dan saya juga memberi tip menghilangkan gementar membuat persembahan depan penonton.

"Ia bukan sekadar boleh menari, tetapi mereka perlu tahu mengawal diri apabila berada di pentas dan mengatasi perasaan malu. Samalah juga dengan pelakon yang terpaksa menghilangkan rasa malu dan gugup apabila kali pertama beraksi depan kamera.

"Untuk menjadi penari yang baik, mereka juga kena tahu sejarah pelbagai jenis tarian seperti tarian tradisional, moden dan pelbagai lagi tarian lain di dunia. Persiapan seorang peserta membabitkan semua aspek tarian, nyanyian dan lakonan.

"Saya menggunakan segala pengalaman yang ada dalam bidang seni untuk memberi panduan kepada peserta. Saya pernah menyertai pesta Tari 1998 dan cikgu saya pernah berpesan segala apa yang kita belajar jangan dibuang, tetapi simpan dan tambah lagi ilmu yang ada," katanya.

Sementara itu Khairul Mizan berkata, Astro Ria amat teruja dan tidak sabar untuk membuka lantai tari Mari Menari yang dikendalikan dua pengacara, Awal Ashaari dan Lisa Surihani. Ia akan mula bersiaran pada malam ini dan esok, jam 9 malam.

Ia akan dipaparkan juga program mingguan seperti Langkah Mari Menari yang akan menyiarkan sorotan penting harian pasangan, sesi latihan dan rakaman di sebalik tabir selama 30 minit, malam persembahan Mari Menari dan Penentuan Mari Menari yang akan memaparkan keputusan secara langsung di televisyen.

"Persembahan setiap pasangan akan diadili dengan sistem pemarkahan 50 peratus juri dan 50 peratus lagi daripada undian penonton. Setiap minggu, empat juri yang terdiri daripada tiga penasihat selebriti dan seorang juri profesional yang tidak asing lagi iaitu Joseph Gonzalez akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan teknikaliti persembahan.

"Manakala kuasa penonton adalah melalui SMS dan pasangan yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan," katanya.

Katanya, ketika pemilihan pasangan peserta dibuat, Astro Ria menyelidik dengan teliti hubungan mereka yang mesti mahram.

"Ada juga yang cuba menipu mengenai hubungan mereka. Kami terpaksa memastikan yang mereka benar-benar muhrim kerana tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari," katanya.

1 ulasan:

  1. saya akan terus berdoa supaya mm ariz akan menjadi juara di dalam mari menari .itu lah janji saya kepada mm ariz .

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top