SETELAH dua musim terdahulu menyaksikan kemunculan Modread dan Avidity sebagai juara, kini pencarian hangat Twisties Bingit diteruskan untuk musim ketiga.

Jika dua musim sebelum ini, program realiti pencarian bakat pemuzik ini secara spesifik mencari sebuah kumpulan pemuzik yang boleh bermain genre rock, tidak lagi kali ini.

Twisties Bingit 3 yang dianjurkan oleh stesen radio Hot FM dan Syarikat Kraft kini memberi peluang yang lebih luas kepada pemuzik dan penyanyi tidak kira genre apa yang dibawa untuk mencuba nasib.

Tidak kira apa genre sekalipun sama ada rock, pop, r&b, hip hop, malah kumpulan vokal harmoni, mereka semua berpeluang untuk bertanding dalam program ini.

Lainnya lagi, kali ini Twisties Bingit 3 turut membuka laluan kepada bukan sahaja individu, malah peluang diberi sama rata kepada kumpulan yang telah sedia ada untuk menghadiri uji bakat.

Tidak kira sama ada mereka datang menghadiri uji bakat secara solo mahupun berkumpulan, mereka pasti diberi peluang yang sana untuk diterima.

Pengurus Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Anida Tahrim berkata, usaha ini demi memberi platform yang lebih menyeluruh kepada kepada kumpulan pemuzik selain rock.

“Setelah mengadakan perbincangan, kami bersetuju untuk menukar format kerana kumpulan pemuzik genre lain patut diberi peluang sama rata bagi platform yang disediakan.

“Lagipun kadang-kadang ada kumpulan pemuzik yang boleh memainkan pelbagai genre lagu dan inilah peluang mereka untuk menonjolkan bakat mereka itu.

“Seperti musim lalu, individu yang datang dengan bakat masin-gmasing akan dipilih dan digabungkan menjadi sebuah kumpulan.

“Kumpulan indie turut berpeluang untuk mencuba nasib asalkan tidak terikat dengan kontrak mana-mana syarikat rakaman.

“Bagi yang datang berkumpulan pula, kami akan perhati setiap ahli dan jika ada yang kurang bagus, kami akan menasihatkan mereka untuk menukar ahli mereka jika mahu terus bertanding.

“Kami harap dengan format baru ini akan memberikan peluang yang lebih luas kepada semua pemuzik di negara kita,” ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar musim ketiga Twisties Bingit di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, tawaran hadiah kali ini lebih hebat dimana wang tunai RM100,000 bakal ditawarkan kepada para pemenang pencarian tersebut, selain kontrak rakaman album bersama Warner Music Sdn. Bhd.

Selain itu, sebuah konsert akan diadakan pada malam kemuncak yang dibarisi oleh Wings, Faizal Tahir, Bunkface, Azlan & The Typewriter, Aizat, Bittersweet, Black, Pesawat dan Mizz Nina.

Sesi uji bakat akan diadakan di Hotel Pan Pacific, Johor Bahru, Johor pada 10 Oktober manakala di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pula pada minggu seterusnya iaitu 16 Oktober.

Juri-juri yang terlibat ialah Ketua A&R Warner Music, Mokhtaza Ahmad, penerbit album, Edrie Hashim dan pemuzik terkenal, Gernevie Kam.

Mereka yang berkebolehan memainkan instrumen drum, gitar atau bass atau boleh menyanyi dengan baik dijemput hadir untuk menyertai uji bakat ini dengan syarat usia tidak melebihi 30 tahun.

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top