Penyanyi dan pelakon,Awie banyak kali ditimpa masalah kesihatan yang sedikit sebanyak mempengaruhi sikapnya.
“Saya pernah murung, pendiam dan suka termenung kosong, macam orang bodoh. Hubungan dengan isteri (Rozana Misbun) dan anak-anak pun kacau. Pantang silap sedikit, pasti melenting.
“Saya jadi malas nak pergi kerja, mudah penat dan ada ketikanya susah nak bernafas. Paling teruk masa latihan Konsert Awie & Ella - Raja & Ratu Rock Malaysia, dua bulan lalu.
“Saya tak boleh menyanyi, suara tak keluar dan tekak ini gatal sangat. Batuk tak payah cakaplah, memang teruk. Bila doktor pakar periksa, tak jumpa apa-apa punca pun.
“Dengan kuasa Allah pada hujung November lalu, masa saya batuk-batuk tu terus keluar bulu halus dari kerongkong. Memang terperanjat,” imbasnya.
Adakah itu petanda Awie disihir oleh pihak tertentu? Lelaki berusia 44 tahun ini sekadar tersenyum.
“Susah nak cakap sebab memang benda ini wujud tapi kita tak lihat kewujudannya. Kalau kita mengesyaki orang lain, umpama menganiaya orang lain,” katanya yang enggan menafikan atau mengiyakan perkara tersebut.
Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ini mengakui pernah mengalami penyakit misteri sejak awal tahun 2000 sehingga Awie terpaksa bertongkat kerana sendi kakinya semakin membengkak.
Awie menyangka dia terkena penyakit angin atau gout, bagaimanapun pakar perubatan mengesahkan dia sihat.
“Mungkin juga santau sebab sebelum ini saya pernah nampak kelibat dan alami situasi pelik macam bilik tidur berombak dan berbuai-buai,” katanya.
Adakah Awie pernah mendapatkan rawatan tradisional bagi mengubati penyakit misteri tersebut?
“Saya pernah buat rawatan tradisional di beberapa tempat. Tahun lepas, saya merawat dengan seorang pakar buang bisa di Perak. Dia buang jarum dari kaki saya ini secara tak sedar, tapi sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.
“Dia juga siap pesan ada benda lain macam benang hitam, paku, tali tangsi dan tanah kubur ditanam di rumah saya. Saya nak bawa dia balik rumah tapi tak bolehlah sebab dia bukan Islam,” dedahnya yang pernah makan ubat penahan sakit selama empat bulan.
Kesilapan diri
MENGAJUKAN signifikan kejadian aneh yang dialaminya itu berkait dengan perbuatan Awie sebelum ini yang pernah mengundang rasa kurang berpuas hati sesetengah pihak dengannya, lelaki ini kembali tersenyum.
“Musibah berpunca daripada pembalasan dosa dan kesilapan lalu sama ada disengajakan atau tidak. Manusia mana yang tak terlepas daripada melakukan kesilapan bukan?
“Hukum karma balasan Tuhan boleh berlaku di mana-mana sahaja mungkin berpunca dari sikap kita yang lalai. Ia adalah cara penyucian agar kita lebih tenang.
“Mungkin juga semua ini adalah peringatan. Kita boleh tengok sekarang ini ada banyak cara kematian berlaku perlu diinsafi. Sebab Tuhan bayar dalam bentuk tunai dimuka bumi ini,” katanya.
Ditanya adakah dia mengesyaki sesiapa yang ingin melihat dia sakit dan jatuh terduduk, bapa kepada lima anak ini menggelengkan kepala.
“Saya tidak syak sesiapa pun. Kalau kita cari punca, memang buang masa sebab saya tak yakin boleh tepat 100 peratus. Sebab di hadapan kita muka baik, tak tahulah apa dilakukan di belakang kita.
“Jadi tak payah bersusah payah berusaha nak tahu siapa pedajal kita. Kalau saya tak tahu, dia sendiri akan dapat balasan,” katanya penuh makna di penghujung pertemuan selama dua jam itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan