Namun apa yang nyata, musim kedua ini tetap menarik perhatian peserta daripada kalangan pelakon, penyanyi dan selebriti. Mereka ialah pelakon Amyza Aznan dan suami, Kharil Izhar Mohd Nazir, penyanyi Ani Mayuni atau Aishah An-Nur Osman dan suami, Zairi Azmi, Mohd Ashid Ahmad (Ashed Def Gab C)/Sharifah Noor Shima Syed Masnu, Abdul Jamal Jamaluddin/Noor Faridah Mohd Noor, Mazin Ameen Siraj/Ida Charrunisa P, Sabrina Ali Dad Khan (Sabrina)/Mohamad Shahrin Abdul Halim, Shasha Mohamad Saidin/ Salyo Priyanto Notosoemarsono dan Noraini Morat/Shahril Arsat.
Lebih meriah apabila turut dijayakan pasangan artis Mohd Kharulnizam Mohammad Wahi atau Khai dan Rosmayati Sidik (Rosma) serta Mohd Fauzi Mohd Nawawi/Lis Dawati.
Mereka bakal mendapat bimbingan koreografer Nizam Zakaria, 35, Muhammad Akmal Ayob, 25, Suriati Osman, 26, Noor Azrinar Abdul Ghani, 30, Norashid Abdul Latip, 31, Norhayati Yusof (Why), 35, Rey Redzuan Awang, 31, Joshua Anak Jaralson Linang, 35, Shafirul Azmi Suhaimi, 30, dan Mohd Fairuz Mohd Tauhid, 26.
Sejauh mana pengalaman koreografer ini dapat melatih pasangan Sehati Berdansa bertanding daripada tidak tahu menari hingga boleh melakukannya. Namun, paling utama peluang mengumpul dana untuk persatuan dan badan kebajikan memerlukan.
Antara persatuan dan badan kebajikan dibantu ialah Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Pusat Kebangsaan Autism Malaysia, Persatuan Orang Pekak Malaysia, Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia, Rumah Nur Salam, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Diabetis Malaysia serta Yayasan Jantung Negara.
Bagi Amyza yang juga ibu dua anak, Mikhail, 3, dan Andrian Adam, tujuh bulan, dia berminat menyertai Sehati Berdansa kerana menonton program itu tahun lalu dan tidak menyangka penganjur memberikan tawaran itu kepadanya.
"Pada mulanya suami saya tidak menunjukkan minat untuk turut serta. Hinggalah pada malam meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan kami Ogos lalu, saya meminta suami berjanji tunaikan apa saja permintaan saya.
"Apabila dia sudah berjanji, saya minta supaya setuju menyertai Sehati Berdansa. Jadi, kenalah tunaikan. Dalam hati, saya tidak fikirkan soal menang kerana menyertainya sekadar suka-suka dan untuk amal. Lagipun, saya memang tidak tahu menari," katanya.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Shahril pula berkata, persaingan antara peserta memang sengit lebih-lebih lagi, kebanyakannya terdiri daripada golongan artis.
Katanya, dia dan isteri akan membuat yang terbaik dengan berlatih bersungguh-sungguh dengan koreografer disediakan.
"Selebihnya, bergantung kepada juri dan penonton untuk menilai. Tetapi, saya yakin kami boleh memberi saingan kepada peserta lain dalam program ini nanti," katanya.
Katanya, walaupun tahun lalu rakannya, Azman Adnan dan isteri, As Feminin pernah menyertai Sehati Berdansa tetapi sejak meninggalkan sukan bola sepak mereka tidak pernah bersua. Oleh itu, tiada kesempatan bertanya lanjut pada Azman.
Pelakon Sabrina Ali pula berkata, dia sangat meminati bidang tarian. Justeru, kesempatan menyertai Sehati Berdansa dianggap peluang merealisasi dan melepas rindu pada minat itu. Malah Sabrina bersyukur suaminya sanggup membabitkan diri.
"Saya ada latar belakang dalam bidang tarian, cuma tidak aktif saja. Bahkan, banyak juga langkah tari yang perlu diingatkan semula. Apapun, saya harap penonton boleh menilai dengan baik dan tidak terlalu memandang pada populariti artis.
"Ini kerana dari segi popular, saya memang tidak tersenarai. Berlakon pun, selalu watak antagonis (jahat), jadi macam manalah agaknya orang hendak undi. Namun, apa yang boleh dikatakan kami cubalah setakat termampu," katanya.
Menurut vokalis utama Def Gab C, Ashed, dia teruja menyertai Sehati Berdansa. Katanya, ia pengalaman baru dia dan isteri. Dalam waktu sama, ia dilihat sangat baik untuk mengeratkan hubungan serta kasih sayang yang dibina apabila dapat menari bersama.
"Kami suami isteri masing-masing bekerja. Oleh itu, jarang ada masa hendak berjumpa. Menerusi Sehati Berdansa ini, secara tidak langsung kami melihat ia dapat mengeratkan hubungan kami apabila sentiasa bersama pada sesi latihan dijayakan.
"Setakat ini, persediaan kami dimulakan dengan menonton video cakera padat (VCD) filem Hindi kerana ada lagu dan tarian. Memang kami tidak minat Hindustan, tetapi demi komitmen pada Sehati Berdansa langkah perlu diambil untuk maju," katanya.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, atas sambutan hebat tahun lalu menyebabkan penyertaan musim kedua ditambah kepada 10 pasangan. Katanya, banyak pertanyaan diterima mengenai Sehati Berdansa kerana ramai mahu menyertai.
"Jadi, tahun ini tentunya menjanjikan yang terbaik daripada peserta termasuk penajaan rasmi turut diperolehi daripada Silky Girl dan Silky For Men. Apapun, soal hadiah yang menanti peserta takkan diumum sekarang disebabkan masih berbincang.
"Kemungkinan akan diberitahu pada malam Sehati Berdansa nanti. Bagaimanapun, apa yang penting adalah penyertaan selebriti dan pasangan mereka yang sanggup berkorban masa, kerja dan meninggalkan anak untuk hadir pada sesi latihan disediakan.
"Terus-terang, ia nampak seakan mudah tetapi pernahkah terfikir bahawa kesanggupan mereka mengikuti latihan selama 18 jam seminggu itu amat besar. Dalam soal ini, sudah tentu peserta perlu tahu bagaimana hendak mengimbanginya," katanya.
Tambah Khairul Mizan, memanglah program Sehati Berdansa menjanjikan pengalaman hebat dan peserta menjadi 'duta' kepada badan kebajikan diwakili. Namun, kesanggupan menghadiri latihan itu yang akan menunjukkan betapa pasangan ini sedia memberi komitmen.
Sehubungan itu, 50 peratus pemarkahan peserta daripada juri profesional seperti Linda Jasmine manakala 50 peratus lagi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton. Peserta akan diuji menari mengikut konsep ditetapkan setiap minggu.
Mengenai pemilihan gandingan Linda Onn dan Fahrin Ahmad di pentas Sehati Berdansa walaupun kisah sensasi hubungan mereka yang berakhir hangat diperkatakan, Khairul Mizan berkata, kedua-duanya nyata sangat profesional.
"Oleh itu, tidak kira apa sebabnya dan asalkan orang hendak tengok tiada masalah. Lagipun, soal peribadi pihak produksi tidak campur tangan," katanya yang juga enggan memaklumkan minggu ke berapa peserta Sehati Berdansa mula disingkirkan.
Khairul turut ditanya apakah hak penyiaran perkahwinan Mawi dan Ekin yang dikatakan diterima Astro membawa kepada penundaan Anugerah Era tahun ini dan pembatalan Ikon Malaysia, beliau berkata ia tiada kena-mengena dengan perkahwinan itu.
Sehati Berdansa akan dimulakan dengan dua episod pengenalan, Kenali Sehati Berdansa menerusi Astro Ria esok (Sabtu) dan Ahad, jam 9 malam. Diikuti Detik Sehati Berdansa setiap Isnin dan Khamis, jam 9 malam, Di Sebalik Sehati Berdansa (Jumaat, 9 malam), Malam Sehati Berdansa (Sabtu, 9 malam) serta Debaran Sehati Berdansa (Ahad, 9 malam).
Oleh Norhayati Nordin
0 ulasan:
Catat Ulasan