Maut adalah karya Bade yang diperam hampir dua tahun kerana menantikan kelulusan untuk tayangan. Selain judulnya yang terpaksa dirombak, beberapa babak di dalam filem terbitan Tayangan Unggul itu turut melalui beberapa proses potongan.
Ketika ditanya pada sidang media sejurus selesai pratonton filem itu, Bade enggan mendedahkan jumlah babak yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF). Bagaimanapun beliau menjelaskan, potongan itu tidak memberi kesan besar kepada jalan cerita tetapi gangguan hanya dihadapi dari sudut teknikal.
“Proses potongan tidak menjejaskan jalan cerita Maut, penonton juga tidak akan keliru kerana ceritanya mudah untuk difahami serta tidak memerlukan penonton terlalu berfikir. Saya sudah menjangka filem ini akan berhadapan dengan potongan. Jadi ketika penggambaran saya sengaja melebihkan beberapa babak kerana tahu proses itu akan berlaku.
“Saya tidak mempertikaikan tugas mereka kerana bagi saya memang patut mereka potong babak tertentu, mungkin untuk orang yang beragama Islam tidak banyak benda yang boleh dijelaskan secara visual. Banyak juga perkara yang kita tidak perlu tahu dengan mendalam contohnya mengenai roh, malaikat dan rahsia lain. Cuma potongan ini menjejaskan sistem bunyi sehingga menyebabkan audio kedengaran sedikit terganggu,” katanya.
Kata Bade lagi, idea menghasilkan Maut datang setelah menyaksikan kebanjiran terlalu banyak filem hantu dua tahun lalu. Dari situ dia mula terfikir untuk menghasilkan sebuah filem berbeza bagaimanapun diisi dengan cerita yang mampu memberi pengajaran kepada khalayak yang menontonnya.
Dalam usianya sekarang, Bade berpendapat sudah tiba waktu untuknya menghasilkan filem lebih serius. Bagaimanapun, bukan bermakna filem yang dihasilkan tidak mempunyai unsur humor sehingga menimbulkan kebosanan penonton. Sebaliknya Bade akan cuba menseimbangkan jalan ceritanya supaya penonton terhibur.
Bade bagaimanapun berkata, pertukaran judul itu dari Malaikat Maut kepada Muat tidak dijangka. Katanya ketika menghantar judul filem itu kepada pihak LPF, dia tidak mendapat maklumat balas mereka.
“Ketika bertemu dengan mereka, pihak LPF tidak memberi sebarang jawapan. Saya buat juga tetapi suruh mereka menilai sesuai atau tidak. Mereka kemudian mencadangkan supaya judul itu ditukar. Pertukaran itu cukup membosankan kerana ia membabitkan pertukaran berkali-kali. Akhirnya saya memilih Maut kerana jurangnya tidak banyak beza dengan judul asal,” katanya.
Maut membariskan pelakon seperti Que Haider, Liyana Jasmay, Fauziah Nawi, Siti Shahreza, Awal Ashaari, Emy Nadia, Nana, Reza, Sabrina Hassan serta ramai lagi.
Sabrina Hassan yang pertama kali beraksi di layar perak menyebabkan dia gembira kerana filem yang dua tahun diperam akhirnya menemui penonton. Sabrina yang juga pertama kali bekerja di bawah Bade berkata, sutradara itu seorang yang sentiasa menyokong pelakonnya.
“Bade bukanlah seorang pengarah yang hanya tahu mengarah tetapi dia akan menurunkan ilmunya kepada kami. Daripada kekok dan tidak yakin untuk melakukan babak yang boleh menimbulkan pertikaian, saya jadi lebih berkeyakinan setelah mendapat tunjuk ajar dia,” katanya.
Sementara bagi Nana pula, pengalaman ditendang dan diraba ketika menjalani penggambaran di dalam kelab menyaksikan gig adalah pengalaman paling tidak boleh dilupakan. Selain itu, melakonkan babak kereta yang dinaiki terhumban ke dalam sungai juga adalah pengalaman menakutkan tetapi dalam waktu sama menyeronokkan kerana dapat melakukan sendiri aksi ngeri itu.
“Pengalaman diraba dan ditendang memang tak boleh dilupakan hingga lebam-lebam kaki saya sehingga Sherry menangis selepas babak itu berlalu. Bagaimanapun, inilah pengalaman yang paling tidak boleh saya lupakan,” katanya.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0 ulasan:
Catat Ulasan