Menerima anak angkatnya, Nur Aishah Aminah dalam dirinya banyak mengubah cara kehidupan aktres dan pengacara popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy). Walaupun Ogy kini perlu banyak berkorban terutama dari segi masa, dia melihat semua itu amat berbaloi kerana baginya kehadiran si kecil itu merupakan satu anugerah yang terindah.
Mungkin dulu Ogy pernah menyatakan dirinya belum bersedia untuk bergelar ibu tetapi apabila wanita berusia 46 tahun itu mula memeluk dan menjaga Aminah sejak dia berusia 2 hari, Ogy tidak mahu berpatah balik.
Ditambah dengan Aminah yang semakin seiras dengan wajahnya, Ogy mengaku dirinya dalam atmosfera amat bahagia. Cuma dia berharap Aminah tidak akan mengikut perangai dan telatahnya. Katanya dengan senyuman pada rakaman program Kecoh Petang Raya...Lagi!!!, "Muka Aminah sekarang sudah mula mengikut muka saya.
"Memang benar apa yang dikatakan orang. Apabila kita menjaga seseorang anak angkat itu, muka dia akan mengikut muka kita. Sekarang, bukan sahaja muka tetapi perangai dia pun hampir sama. Saya cuma berharap di tidak 'laser' seperti saya kerana Aminah sekarang rajin bercakap," gurau Ogy.
Namun, kebahagiaan yang dikecapi Ogy kini bukannya bermaksud dia tidak lagi berfikir mengenai suami. Sebagai seorang wanita solo, Ogy ada kalanya juga memerlukan sokongan dan bimbingan daripada lelaki bergelar suami.
"Biarlah Allah yang menentukan soal itu. Apa yang penting jika lelaki itu ingin menjadi teman hidup saya, dia perlu memiliki sifat bertanggungjawab dan menerima saya serta Aminah seadanya.
"Ini kerana hidup saya dengan Aminah amat bahagia sekarang. Jadi saya tidak mahu ada benda-benda yang tidak diperlukan untuk merenggang hubungan kami. Saya faham bukan semua lelaki boleh menerima wanita yang mempunyai anak," jelas Ogy lagi.
Tidak kisah jika lelaki itu tua atau muda, Ogy cuma tidak mahu menidakkan perkahwinan sambil memberitahu bahawa dia tidak pernah mengelakkan diri daripada pernikahan walaupun selepas bercerai dengan aktor, Eman Manan.
"Takdir perkahwinan tidak terletak di tangan saya. Dulu memang ada lelaki yang ingin mendekati saya tetapi waktu itu hati saya belum terbuka. Sekarang ini pun ada yang masih mencuba. Walaupun ada kalanya saya hendak berkahwin, hati saya sebenarnya belum terbuka sepenuhnya. Hati saya masih was-was, 50-50," tutur Ogy.
Mahu anak jadi doktor
Cerita Ogy lagi, Aminah yang kini berusia 1 tahun 8 bulan gemar berlakon dan menari apabila menonton filem P.Ramlee. Malah apabila dia menyaksikan lakonan ibu Ogy, Allahyarham Datin Saadiah, Aminah akan menyebut 'nenek'. Namun, Ogy tidak berapa gembira melihat gelagat anaknya yang semakin meminati dunia seni.
"Saya jarang membawa dia ke lokasi penggambaran seperti apa yang dilakukan oleh ibu saya sewaktu saya kecil. Saya tak mahu dia jadi artis dan saya takut dia akan mengharungi apa yang saya lalui.
"Tapi kalau dia berminat juga, dia perlu menghabiskan pengajiannya dahulu sekurang-kurangnya mendapatkan ijazah sarjana.
0 ulasan:
Catat Ulasan