Juara Gegar Vaganza milik Ayai (Illusi) 

Penyanyi Ayai (Illusi) diumumkan sebagai juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini pada Ahad.

Ayai berjaya menewaskan lima peserta akhir lain iaitu Ifa Raziah, Fazli Zainal, Haleeda, Rahmad (Mega) dan Mamat Exist sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah trofi.

Ayai memberikan persembahan mantap membawakan lagu Jangan Kau Rayu (Rahim Maarof) dan Semangat Lamina (Lefthanded) serta Kalau Aku Kaya berduet dengan Rahmad.

"Berada di peringkat akhir sudah membuatkan saya berasa syukur kerana mampu berada  sehingga ke tahap ini.

"Saya pun tidak sangka boleh menang kerana saingannya hebat-hebat belaka. Moga kejayaan ini membuka ruang untuk kembali lebih aktif dalam industri muzik tempatan," katanya.

Sementara itu tempat kedua dimenangi oleh Haleeda dengan mendapat wang tunai sebanyak RM30,000 manakala Mamat (Exist) mendapat tempat ketiga, menerima wang tunai RM15,000.

Penyanyi Rahmad pula mendapat tempat keempat menerima wang tunai sebanyak RM10,000 dan tempat kelima dimenangi Ifa Raziah, membawa pulang RM5,000.

Walaupun berada di tempat akhir, Fazli Zainal tetap membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Dalam pada itu persembahan terbaik pilihan penonton dimenangi oleh Mamat (Exist) menerima wang tunai RM5,000.

Kesemua peserta turut menerima trofi masing-masing.

Sepanjang tujuh minggu Gegar Vaganza bersiaran, enam penyanyi lain yang turut terlibat dengan pertandingan itu ialah menyertai pertandingan tersebut iaitu Hasnol, Sam (Innuendo),  Shima, Sharifah Zarina, Nadia dan Adilla.

~ mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top