Dapatapat berdiri di atas platform yang tepat bukan bermaksud ia satu jaminan dalam kerjaya yang baru hendak dikemudi. Paling penting adalah sanggup menempuh pelayaran yang panjang dan bergelora dengan kapal yang utuh dan sesuai dengan jiwa pengemudinya.




Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, masih berada pada awal pelayarannya. Dia yang merupakan bintang Akademi Fantasia musim kelapan baru sahaja dititiskan air daripada lautan yang bakal diterjahnya.

Usaha gigih wanita klahiran Sarawak ini mencuba setiap uji bakat AF sejak musim kedua dijadikan azimat mengharungi perjalanan seninya.

Berbekalkan wajah yang cantik sahaja bukan tiket mudah untuk dia masuk ke dalam dunia hiburan.

Sebaliknya memilih pihak pengurusan yang tepat dan perancangan yang teliti juga penting.

Farina sudah mendapat aura itu. Ibu tunggal berusia 25 tahun ini sedang berada di bawah payung syarikat Best Malaysia Entertainment (BME Entertainment) untuk membantunya bergelar penghibur sebenar.

Farina membawa bekal pertama, sebuah single bertajuk Hujung Minggu yang telah dihadiahkan sebagai halwa telinga umum.

Kini, strategi seterusnya dia muncul dengan sebuah single khas sempena Aidilfitri yang bertajuk Syukur Di Aidilfitri.

"Tujuan single raya ini dikeluarkan adalah untuk memperkenalkan lagi nama saya sebagai penyanyi begitu juga rekod label BME," ujarnya yang pulang ke Sarawak untuk menyambut lebaran.

Usai lagu lebaran diperdengarkannya kepada khalayak, pihak BME dan Farina sedang merangka untuk menyiapkan lagu-lagu buat albumnya kelak.

"Semuanya masih bergantung kepada masa tetapi saya sangat berharap agar dapat melancarkan sebuah album penuh pada tahun hadapan.

"Sebagai perancangan awal, saya keluar dengan sebuah single biasa dan sebuah single raya memandangkan single merupakan tuntutan artis sekarang."

Turut mengikuti kelas vokal daripada seorang pensyarah UiTM, Farina yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia lapan tahun, Dayang Hasya Yasmin semakin bersemangat untuk bergelar penyanyi.

"Saya tahu bukan mudah untuk masuk dan berada dalam dunia hiburan sementelah penyanyi juga semakin ramai. Saya mahu membuktikan kepada umum yang saya boleh menyanyi dan berjaya dengan kerjaya ini," ujarnya yang turut membuat persediaan untuk Konsert Re-Union AF 8 pada Oktober kelak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top