1 Syawal bakal disambut beberapa hari saja lagi. Pastinya tatkala ini masih ramai yang membuat persiapan saat akhir, begitu juga yang sudah tidak sabar-sabar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.



Berbeza dengan Kat, fikiran dan hatinya berat memikirkan persiapan ke Chengdu, Sichuan, China sempena Asia Music Festival Charity yang berlangsung pada 18 hingga 22 September ini.

Acara berkenaan membabitkan penyanyi solo dan berkumpulan dari rantau Asia.

"Saya mulanya tidak percaya apabila pengurus memaklumkan saya mengenai penyertaan saya ke festival antarabangsa itu.

"Masakan tidak, saya tidak ada lagu baru, jadi siapalah yang sudi memberikan peluang seperti itu.

"Paling kelakar, saya sampai bertekak kerana masih tidak percaya. Sehinggalah wakil penganjur meminta pasport dan menunjukkan tiket penerbangan ke sana, barulah saya percaya.

"Sekarang ini otak saya sudah tidak fikirkan pasal raya lagi sebab fokus utama adalah untuk membuat persiapan untuk acara itu.

"Walaupun saya sekadar membuat persembahan dan bukan bertanding, saya kena buat bersungguh-sungguh. Saya satu-satunya sebagai wakil Malaysia, jadi saya kena beri yang terbaik setaraf peserta dari negara lain.

"Tanggungjawab yang digalas memang besar kerana saya membawa nama Malaysia dan saya harap dapat memberikan persembahan yang hebat nanti," kata Kat kepada Rap, baru-baru ini.

Pengurus Kat, Christina Koh (Chris), berkata ketika mengunjungi Singapura baru-baru ini seorang rakan pihak penganjur sempat bertanya kepadanya, siapa artis tempatan yang menyerlah di Malaysia.

"Mereka mahukan yang muda, berbakat dan cantik. Apabila saya mengirimkan profil Kat, mereka terus setuju.

"Asia Music Festival Charity adalah acara tahunan. Kalau tahun lalu ia dilangsungkan di Singapura, kali ini ia diadakan di Chengdu, China pula," jelasnya.

Chris berkata, Kat juga ditawarkan membintangi filem Bollywood arahan Deva Jit namun persetujuan hitam putih belum dibuat kerana perlu mengambil kira kesediaan Kat yang kurang yakin dengan bakat lakonannya.

"Selain, pihak berkenaan perlu mematuhi beberapa syarat-syarat yang ditetapkan bagi menghormati imej Kat sebagai rakyat Malaysia dan seorang Muslim sekiranya mereka mahu mengambil beliau," katanya.

Kat akui, jalan cerita filem itu cukup menarik kerana menceritakan seorang bintang pop yang diculik dan akhirnya dibunuh, tetapi dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

Baginya banyak perkara yang perlu dipertimbangkan lagi.

"Saya bimbang tidak mampu mencapai prestasi yang dikehendaki kerana kurang pandai hal selok-belok lakonan tambahan pula belum pernah ada pengalaman bekerja dengan produksi luar.

"Berlakon juga bukan perkara yang mahu saya fokuskan tahun ini kerana sasaran saya untuk mengeluarkan single baru," kata gadis tinggi lampai yang diperkenalkan menerusi program realiti TV, Mentor 2 ini.

Menyingkap karier nyanyiannya, nyata Kat belum puas kerana selagi tiada hasil yang mampu dibanggakannya. Justeru, dia amat berharap dengan kemunculan single terbaru ciptaan Edrie Hashim berjudul Hilang, namanya kembali menyinar.

"Hilang sebuah lagu berentak balada dan saya sudah pun merakamkannya. Saya sendiri yang mahukan Edrie mencipta lagu sentimental untuk saya.

"Lagu ini menceritakan hubungan cinta yang tidak kesampaian. Selama bekerja dengan Edrie saya berasakan ini adalah lagu terbaik pernah dihasilkannya untuk saya.

"Saya suka pada muziknya walaupun idea untuk menghasilkan lagu ini berlaku secara spontan dan singkat.

"Oleh kerana muzik dan liriknya membawa maksud yang mendalam. Lagu ini terpaksa saya rakamkan sebanyak dua kali. Saya mahukan penghayatan terbaik. Insya-Allah ia akan diedarkan selepas hari raya nanti," katanya.

Ditanya, mengapa Hilang dipilih sebagai judul sedangkan sebelum ini timbul kontroversi membabitkan Diddy AF dan Dayang Nurfaizah apabila lagu mereka tajuknya sama, Kat menjawab dia tidak khuatir.

"Saya yakin lagu saya, Hilang berbeza dengan lagu Diddy mahupun Dayang. Cuma yang sama hanya pada judulnya saja.

"Mengapa Hilang dipilih sebagai judul single Kat? Ia macam ada kena-mengena dengan diri saya yang selalu tenggelam timbul, malah lirik lagu ini ada kaitan dengan pengalaman hidup saya.

"Pun begitu, saya bertekad untuk tidak main-main lagi dan mahu fokus kepada nyanyian kerana mahu mencapai segala yang saya dicita-citakan sejak dulu," katanya bersungguh-sungguh.

Kat turut membuat penampilan khas bagi single penyanyi baru, Ariz berjudul Untukmu yang diharapkan dapat menceriakan lagi dunia hiburan.

>Profil

NAMA SEBENAR: Siti Khatijah Hassan

NAMA KOMERSIAL: Kat

TARIKH LAHIR: 14 Mei 1987

USIA: 23 tahun

TEMPAT LAHIR: Melaka

ASAL: Pulau Pinang

BINTANG: Taurus

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

PROFESION: Penyanyi

STATUS: Bujang

SINGLE: Chiki, Hilang

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top