Saban hari, sejak Ops Sikap ke-22 dilancarkan lebih seminggu lalu, ada saja laporan nahas jalan raya termasuk yang membabitkan nyawa terkorban dilaporkan media. Siapa tidak sedih jika kepulangan insan yang dinanti sempena Aidilfitri, disambut ratapan keluarga atau sekujur tubuh tidak bernyawa yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya.



Wartawan Berita Minggu, ZAIDI MOHAMAD menemuramah artis dan pelawak, Nabil Ahmad mengenai sikap pemandu selain berkongsi tip menjadi pemandu berhemah. Nabil juga mengulas apakah perlu hukuman lebih keras dikenakan terhadap pesalah jalan raya.

Apa reaksi anda melihat catatan maut yang meningkat setiap kali tiba musim perayaan dan jalan raya bukan lagi sekadar penghubung tetapi bertukar menjadi sungai maut?
Setiap kali tibanya musim perayaan, saya selalu menggeleng kepala mengenangkan jumlah kemalangan yang terus meningkat. Ia makin menjadi-jadi. Kegembiraan akhirnya bertukar menjadi tragedi.

Memang orang selalu cakap malang tidak berbau. Namun kita sebagai pemandu perlu ada tanggungjawab terhadap jalan raya, pemandu lain dan orang yang bersama kita di dalam kenderaan.

Di mana silapnya kerana nahas tetap berlaku biarpun pelbagai kempen diadakan baik sebelum dan ketika musim cuti perayaan?

Tak perlu cari silap orang. Saya lebih suka menuding diri sendiri berhubung soalan ini. Hakikatnya ia bergantung kepada diri kita. Tapi kalau kita saja yang mengamalkan sikap berhati-hati di atas jalan raya tetapi pemandu lain tidak, tiada gunanya juga. Memang kita tidak boleh melawan takdir.

Tapi kita boleh berusaha untuk mengelak kemalangan dengan memandu dalam keadaan yang baik. Saya tegaskan sekali lagi bahawa sikap sambil lewa pemandu sendiri antara faktor utama yang menjadi penyumbang kepada kemalangan yang drastik. Sama-samalah kita memandu dengan berhemah.

Apakah kempen keselamatan jalan raya ini perlu diperluaskan dan tidak hanya membabitkan pemandu sebagai sasaran utama?

Ya, memang kempen sebegini perlu terus diperluaskan dari semasa ke semasa. Ia perlu dilaksanakan sepanjang masa dan bukan hanya untuk tempoh perayaan tertentu. Saban tahun, ramai pemandu baru yang memenuhi jalan raya.

Saya sendiri baru lima tahun memandu. Keterujaan pemandu baru ini boleh dikatakan luar biasa daripada pemandu yang sedia ada. Darah mudalah katakan. Jadi penyebaran maklumat dan pengetahuan mengenai pemanduan yang betul perlu dilakukan secara menyeluruh.

Malah, penumpang juga perlu dididik supaya mengambil peranan masing-masing. Penumpang juga perlu ada tanggungjawab terhadap pemandu. Sebagai contohnya, jika pemandu mengantuk, mereka perlu menasihatkan kepada pemandu untuk berehat seketika di kawasan rehat & rawat (R&R).

Bagaimana dengan aspek undang-undang ketika ini? Apakah hukuman lebih keras perlu dikuat kuasakan bagi menghukum pesalah jalan raya yang menjadi punca nahas?

Ia bergantung kepada keadaan. Mungkin jika pemandu masih ‘tidak makan saman’ dan masih lalai ketika berada di atas jalan raya, hukuman sebatan barangkali perlu dipertimbangkan setimpal dengan kesalahan berat yang dilakukan terutama yang membabitkan kematian orang lain.

Kebanyakan orang di Malaysia ini banyak duit dan bila kena saman saja, mereka mampu membayarnya. Itu pun ada yang liat nak bayar saman. Tapi kalau kena sebat, tak dapatlah mengelak.

Mungkinkah benar situasi di mana sikap pemandu iaitu ibu atau bapa yang juga pemandu bermasalah mempengaruhi si anak mengamalkan tabiat buruk di jalan raya?

Selalu kita akan cakap pendidikan bermula dari rumah. Ia memang ada kebenarannya. Ibu bapa antara contoh dan teladan paling dekat dengan si anak. Kalau ibu bapa menunjukkan contoh pemanduan yang tidak baik, si anak mudah mencontohinya.

Malah kebanyakan anak mula memandu dengan menggunakan kenderaan ibu bapa. Jadi secara tidak langsung, pengamatan anak terhadap pemanduan ibu bapa cenderung terjadi.

Bagi anda sendiri, apakah perkara utama yang dilakukan sebaik masuk serta memandu kereta.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah memakai tali pinggang keledar.
Tapi ada juga orang yang selalu melihat tali pinggang itu sebagai perkara remeh. Saya pernah ada pengalaman kawan sendiri yang disahkan menjadi tidak waras hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Semuanya terjadi apabila kepalanya terhentak di depan cermin kereta. Cuba bayangkan kalau kita memakai tali pinggang keledar, takkan jadi perkara sebegitu. Selain itu, periksa perkara asas lain yang menjadi antara kemestian, contohnya, cermin kiri dan kanan supaya berada dalam keadaan yang sepatutnya.

Apakah petua anda bagi memastikan diri sentiasa menjadi pemandu berhemah di jalan raya?

Pandulah dalam keadaan waras. Tidur secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Rancang perjalanan anda dan kalau boleh mulakan perjalanan pada waktu yang boleh mengelak kesesakan lalu-lintas.

Saya sendiri suka memandu pada waktu pagi selepas bersahur. Elak memandu dalam keadaan tergesa-gesa atau marah. Patuhilah undang-undang jalan raya. Berehat seketika jika mengantuk.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top