Selepas lebih lapan tahun menghilangkan diri, bekas ratu dangdut, Amelina, akhirnya muncul pada upacara pengebumian bapanya di Kampung Lambar, Labu di sini, semalam
Amelina atau nama sebenarnya Norazlina, 35, yang memakai tudung dan berbaju kurung biru kelihatan sebak dan menangis ketika menatap jenazah bapanya di rumah mereka.
Bapanya, Amir Sharipuddin Abdul Rauf, 61, meninggal dunia pada jam 6.10 pagi akibat sakit jantung di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.
Dia bagaimanapun enggan ditemuramah media dan beberapa kali cuba mengelak gambarnya dirakam jurugambar sepanjang pengebumian itu berlangsung.
Beberapa ahli keluarga Amelina memberitahu, suami kepada bekas penyanyi berkenaan, Reduan Mahamood, 45, turut kelihatan di rumah bapa mentuanya.
Adik penyanyi itu, Amir Hanaffy, 31, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir selepas lima hari dirawat di HTJS.
“Abah dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas ketika menonton televisyen di rumah, Isnin lalu,” katanya.
Menurutnya, tiga hari sebelum itu, bapanya mampu mendengar dan bertindak balas apabila anggota keluarga bertutur dengannya, namun tidak boleh bercakap.
“Kami sekeluarga sedih, namun reda dengan pemergiannya,” katanya.
Jenazah Amir Sharipuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau di sini, selepas solat Jumaat, semalam.
Amelina menghilangkan diri dalam industri hiburan selepas perkahwinannya di Songkla, selatan Thailand pada Mei 1999 tersebar dan hanya muncul di Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) di Kangar pada Februari 2000 bagi memohon pendaftaran perkahwinan.
Kontroversi tercetus apabila perkahwinan itu tidak diketahui ibu bapa Amelina hingga beberapa kali ibunya, Hasmah Ramli meluahkan kekecewaan kerana hanya mengetahui pendaftaran perkahwinan anaknya menerusi akhbar.
Pasangan itu dibicarakan secara tertutup dalam kamar Kadi Besar Perlis ketika itu, Othman Ismail, masing-masing didenda RM500 kerana kesalahan bernikah di luar negara tanpa izin.
Sejak itu, Amelina terus menyepikan diri dan mengelak ditemui media, malah rakannya tidak tahu perkembangan penyanyi itu.
Bagaimanapun, difahamkan dia kerap menghubungi dan pulang ke pangkuan keluarganya sejak beberapa tahun lalu.
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Nor Azmelia Azahari
0 ulasan:
Catat Ulasan