Berita kesihatan ibunya terganggu itu menyebabkan Mawi serta isteri, Ekin sudah dua kali pulang ke kampung sejak seminggu lalu.
Pasangan itu dijangka pulang ke Felda Taib Andak di sini dalam sehari dua lagi.
Jelas, Mawi sangat mengambil berat terhadap kesihatan ibunya dan sanggup mengenepikan jadual persembahannya, apatah lagi selepas bapanya, Ani Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Atan, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan buah pinggang di Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada 1 Julai 2006.
“Kerana rindukan abang (Mawi), kesihatan ibu sering terganggu kebelakangan ini...ibu menghidap darah tinggi dan bergantung kepada ubat.
“Cuma sejak kebelakangan ini dia sering cepat letih, paling teruk minggu lalu apabila dia hanya mampu terbaring,” kata adik perempuan Mawi, Asmidah Ani, 22, ketika ditemui di rumah mereka, semalam.
Kumpulan wartawan bergegas ke ke Felda Taib Andak selepas mendengar khabar angin berhubung kesihatan ibu Mawi yang dikatakan semakin teruk, bagaimanapun ketika ditemui, dia semakin pulih walaupun masih perlu dipimpin Asmidah ketika berjalan.
Menurut Asmidah, tahap kesihatan ibunya merosot sejak seminggu lalu hingga menyebabkan tekanan darahnya naik dan menghalangnya melakukan aktiviti harian.
“Kami sudah membawanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kulai semalam (kelmarin) dan sejak itu, dia semakin stabil, malah selera makannya juga bertambah,” katanya.
Dia berkata, Mawi dan Ekin bergegas pulang ke Felda Taib Andak minggu lalu sebaik diberitahu keadaan kesihatan Ramlah.
“Sejak seminggu lalu, abang dan isteri pulang dua kali untuk menjenguk ibu, malah dia mungkin akan pulang beberapa hari lagi walaupun diberitahu keadaan ibu sudah stabil.
“Ibu memberitahu dia rindukan abang, tapi mungkin faktor cuaca tidak menentu kebelakangan ini menyumbang kepada kemerosotan kesihatannya,” katanya.
Meskipun keadaan kesihatan ibunya lebih baik berbanding minggu sebelumnya, namun Asmidah dan kakaknya, Rashidah, 37, bergilir-gilir menjaganya.
“Saya dan kakak yang tinggal berdekatan dengan ibu berjanji dengan Mawi untuk menjaganya sebaik mungkin kerana tidak mahu dia risau sehingga menjejaskan urusannya.
“Sebagai satu-satunya anak yang menjadi tempat keluarga bergantung, saya faham Mawi sangat risaukan keadaan ibu apatah lagi mereka berdua sungguh rapat,” katanya.
Mawi, juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) melangsungkan perkahwinan dengan Ekin pada 20 Disember lalu.
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
0 ulasan:
Catat Ulasan