Menurutnya, gambar itu diambil secara ‘posing’ bersama ramai pelakon dan kru produksi Spa Q ketika berehat selepas menjalani penggambaran di Langkawi, tahun lalu.
“Ketika seorang rakan hendak mengambil gambar, Kak Azizah duduk di atas riba saya hanya beberapa saat sebelum kami bergambar dengan orang lain.
“Tapi kini saya terkejut apabila gambar itu tersebar di Internet dan orang mengata macam-macam terhadap saya dan Kak Azizah. Memang kami akrab, tapi umpama adik dan kakak, saya pun tahu batas pergaulan,” katanya yang dihubungi semalam.
Dia berkata, gambar itu mungkin disiarkan di laman web sosial milik seorang rakan hingga tersebar.
Menurutnya, dia menerima gambar itu daripada rakannya, tetapi memadamkannya.
Namun, kata Zafrul, dia tidak mengetahui rakan terbabit memasukkan gambar itu dalam Facebook.
Di sebalik kekecohan itu, Zafrul bersyukur kerana isteri dan tiga anaknya memahami situasi sebenar.
“Mereka mengenali rapat Kak Azizah dan anaknya, malah kami bercuti bersama. Cuma saya kesal kerana tidak menyangka gambar itu menjadi bualan ramai sedangkan tidak ada apa-apa pun,” katanya yang bersiap menjalani penggambaran sebuah telemovie untuk RTM.
Mengenai botol arak di meja ketika gambar itu diambil, Zafrul berkata, arak itu kepunyaan orang lain.
“Selain botol itu, ada banyak lagi minuman ringan lain di atas meja, saya tidak akan sama sekali minum minuman keras,” katanya.
Menurutnya, keakrabannya dengan Azizah hanya sekadar rakan dan menganggap pelakon itu sebagai kakak.
“Kalau saya hendak buat hal, lebih baik saya cari wanita lebih muda. Dia lebih tua daripada saya dan saya hormatnya sebagai kakak,” katanya.
Zafrul berkata, dia juga akan memberi penjelasan mengenai perkara itu dalam program Galaksi di TV9.
Oleh Muhd Izawan Baharin
0 ulasan:
Catat Ulasan