Mengimbas kembali rancangan realiti yang mencari penyanyi serba boleh terbitan Astro ini, Akademi Fantasia (AF) telah melahirkan ramai bintang dalam industri seni kita.

Bermula dengan musim pertama pada tahun 2003 yang menobatkan Vince sebagai juara sulungnya diikuti dengan Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7).

Malah ada beberapa nama yang walaupun tidak menjadi juara namun berjaya dalam dunia hiburan hasil daripada rancangan realiti ini seperti Aizat, Reza, Nana, Nubhan dan lain-lain.

Namun, ada yang mula mengatakan AF sudah tidak relevan memandangkan sudah tujuh musim diterbitkan. Ada juga yang mula bosan untuk mengambil tahu rancangan yang mencari pemenang berdasarkan undian SMS itu.

Realitinya, rakyat Malaysia masih inginkan AF. Masih ramai yang datang mencuba nasib apabila uji bakat AF8 yang pertama diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hampir 1,000 orang peserta yang menghadiri sesi uji bakat AF8 yang pertama baru-baru ini. Sambutannya sama hangat seperti tahun-tahun sebelum ini.

Orang ramai berpusu-pusu datang seawal 9 pagi untuk mendaftar. Pelbagai gelagat dapat dilihat, ada yang masih berlatih menyanyi ketika menunggu giliran, ada yang datang dengan alat muzik, malah ada yang membawa anak bersama-sama!

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, sambutan hari pertama sesi uji bakat AF8 ini membuktikan AF masih belum hilang taringnya kerana ia setanding dengan kehadiran pada uji bakat sebelum ini.

"Ada beberapa peserta uji bakat walaupun tidak melepasi syarat yang ditetapkan seperti tidak cukup umur tetapi sanggup beratur panjang kerana masih ingin mencuba nasib.

"Malah ada juga wajah-wajah yang dapat dilihat pada sesi uji bakat sebelum ini masih mencuba nasib untuk melayakkan diri ke pentas AF kali ini.

"Ia sekali gus menyangkal khabar angin yang mengatakan AF sudah tidak relevan kerana masih ramai yang suka menonton dan ingin menyertainya," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat AF8 itu.

Seperti tahun lalu, uji bakat kali ini turut menyaksikan beberapa wajah yang agak tidak asing lagi bagi rancangan-rancangan realiti lain sebelum ini.

Kelihatan Afif atau nama sebenarnya Ahmad Aliff Afif Tirmizie, peserta dari Mystarz LG musim pertama dan Noor Shahida Jamaluddin atau Sha, peserta Mystarz LG 3 dan naib juara Oo La La turut beratur menunggu giliran untuk diuji bakat.

Menurut Azlin, AF masih mengekalkan matlamatnya, mencari seorang penghibur yang serba boleh iaitu berbakat dalam bidang nyanyian dan tarian serta mempunyai identiti sendiri, bukannya klon kepada bakat yang sudah sedia ada.

Antara kelainan yang ditonjolkan pada sesi uji bakat ini ialah uji bakat pusingan ketiga dimana peserta yang melepasi pusingan sebelumnya akan menjalani ujian personaliti yang akan dikendalikan oleh Ahmad Fadzli Yaakob (Dr. Fazley), Azahari Othman (Dr. Luv).

Pusingan ini bagi mencari peserta yang bukan sahaja berbakat, tetapi mempunyai identiti dan kualiti tersendiri yang boleh menjadikan dia seorang bintang.

Pada peringkat uji bakat, para peserta perlu melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek.

Tiga juri berpengalaman, Syafizawati Shariff (Cikgu Syafie), Fairus Hussin dan Deja Moss bakal bergilir-gilir dalam menilai mutu vokal dan kebolehan peserta melantun suara sepanjang berlangsung sesi uji bakat yang diadakan.

Tidak ketinggalan, juri lain yang terlibat sepanjang berlangsungnya sesi uji bakat ialah Lah VE, Shaiful Rizal Kamarudin dan Shahrul Bahari.

Selepas Stadium Nasional Bukit Jalil, uji bakat seterusnya akan diadakan di The Zon, Johor Bahru (16 dan 17 Januari); Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari); Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22 hingga 24 Januari) dan Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (23 dan 24 Januari).

Sesi itu akan kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 dan 31 Januari ini.

Masih lagi terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun, seperti tahun lalu, penyertaan diperluaskan lagi kepada mereka yang berasal dari kota Singa.

Lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta wanita termasuklah Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datuk Siti Nurhaliza) dan sebuah lagu Inggeris, When You're Gone (Avril Lavigne).

Sementara lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta lelaki ialah Situasi yang dipopularkan oleh Bunkface, Hujan (Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I'm Yours oleh Jason Mraz.

Peserta uji bakat juga diingatkan supaya menyediakan dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta salinan kad pengenalan.

Kaunter pendaftaran dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Azlin turut mengingatkan agar peserta uji bakat melayari laman web www.astro.com.my/akademifantasia untuk maklumat lanjut mengenai uji bakat yang diadakan.

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top