Sejak diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 2003, rancangan pertandingan realiti berkonsepkan nyanyian, Akademi Fantasia (AF) sehingga kini bertali arus menerima ribuan penyertaan di peringkat ujibakat.

Dan setelah tujuh tahun berturut-turut dihidangkan kepada penonton, nama-nama seperti Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7) adalah nama-nama yang berjaya diangkat sebagai juara.

Benar, populariti rancangan yang membuka ruang kepada peserta dalam lingkungan usia 18 hingga 45 tahun itu sukar digugat.

Berbeza dengan pertandingan realiti lain, peruntukan masa selama tiga bulan, AF menyediakan platform buat pesertanya dari pelbagai aspek, bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai penghibur serba boleh.

Daripada aspek pengetua, tenaga pengajar malah, pengisian pembelajarannya jika diperhatikan ada sahaja pembaharuan yang dilakukan saban tahun.

Biarpun impak rancangan itu dikatakan semakin suram, namun, pihak Astro masih lagi menaruh kepercayaan terhadap rancangan yang menjadi kegemaran generasi muda itu.

Untuk ke sekian kalinya, Astro meneruskan tradisi penganjuran pertandingan itu untuk musim kelapan dan tanggal 9 Januari ini bermulalah sesi jelajah dalam menjejaki sang juara untuk musim kali ini.

Lima lokasi pencarian yang telah ditetapkan ialah Stadium Nasional Bukit Jalil (9 dan 10 Januari); The Zon, Johor Bahru (16 dan 17 Januari); Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari); Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22 hingga 24 Januari); Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (23 dan 24 Januari) dan bakal kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 dan 31 Januari ini.


Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi pada sidang media permulaan ujibakat AF8 baru-baru ini memberitahu, selain menyemarakkan lagi industri seni tanah air, ia turut memberi ruang kepada bakat-bakat baru menyerlahkan lagi kebolehan mereka sebagai penghibur.

"Fokus pencarian kali ini ialah kami mencari penghibur di mana kita melihat Akademi Fantasia sendiri sebenarnya bukanlah hanya pertandingan nyanyian," katanya.

Tambah Azlin, artis tanah air masih juga terbuka untuk menyertai rancangan tersebut selagi tidak terikat dengan mana-mana kontrak mahupun perjanjian dengan mana-mana syarikat rakaman.

Masih lagi terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun, seperti tahun lalu, penyertaan diperluaskan lagi kepada mereka yang berasal daripada Kota Singa.

Lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta wanita termasuklah Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datuk Siti Nurhaliza) dan sebuah lagu Inggeris, When You're Gone (Avril Lavigne).

Sementara lagu-lagu yang di senaraikan untuk peserta lelaki ialah Situasi yang dipopularkan oleh Bunkface, Hujan (Allahyarham Sudirman Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I'm Yours oleh Jason Mraz.

Kaunter pendaftaran dibuka daripada pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Azlin turut mengingatkan agar para peserta ujibakat melayari laman sesawang www.astro.com.my/akademifantasia untuk mengetahui maklumat lanjut tentang ujibakat yang diadakan.

Peserta ujibakat juga diingatkan supaya menyediakan dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta salinan kad pengenalan.

Pada peringkat ujibakat, para peserta perlu melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek.

Tiga juri berpengalaman, Syafizawati Shariff (Cikgu Syafie), Fairus Hussin dan Deja Moss bakal bergilir-gilir dalam menilai mutu vokal dan kebolehan peserta melantun suara sepanjang berlangsung sesi ujibakat yang diadakan.

Tidak ketinggalan, juri lain yang terlibat sepanjang berlangsungnya sesi ujibakat ialah Lah VE, Ahmad Fadzli Yaakob (Dr. Fazley), Azahari Othman (Dr. Luv), Shaiful Rizal Kamarudin dan Shahrul Bahari.

Sementara itu, Cikgu Syafie ketika ditemui pada majlis yang sama memberitahu, selain vokal kesedaran sivik di kalangan peserta turut dinilai dalam memperlihatkan kesungguhan peserta untuk mengasah bakat mereka sebagai penghibur yang disegani.

Empat tahun terlibat sebagai tenaga pengajar AF, malah seringkali menggalas tanggungjawab besar sebagai juri pada sesi ujibakat, Syafie tentu sahaja menyimpan pengalaman tersendiri sepanjang sesi ujibakat berlangsung.

"Apa yang boleh saya katakan, selalunya hampir setiap kali sesi ujibakat diadakan, muka-muka yang sama sahaja yang hadir untuk mencuba nasib.

"Kalau boleh tahun ini saya mahu melihat wajah-wajah baru yang betul-betul mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang nyanyian termasuk lepasan SPM.

"Apa yang boleh saya nasihatkan agar para peserta hadir dengan pakaian yang bersesuaian dengan imej yang ingin ditonjolkan serta bersesuaian dengan lagu.

"Kita tidak mahu mencari peserta yang berimej sama seperti Mawi ataupun Stacy pada ujibakat itu nanti.

"Jika peserta mempunyai kemampuan atau kebolehan tersendiri seperti bermain muzik dan sebagainya boleh dipersembahkan pada sesi ujibakat itu nanti," kata Syafie.

Tambah Syafie, peserta juga perlu bersedia dengan lima lagu pelbagai genre termasuk lagu Inggeris untuk dinyanyikan secara acapella sebagai persediaan.

Sebuah persembahan pentas istimewa akan diadakan bagi menghangatkan lagi sesi ujibakat yang berlangsung di Johor pada 16 dan 17 Januari nanti.

Antara artis yang terlibat termasuklah Mawi, Hafiz, Aishah, Yazid dan Isma.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top