Senario uji bakat untuk musim terbaru program realiti popular, Akademi Fantasia 8 (AF8) masih sama. Kebanyakan peserta hadir tanpa persediaan rapi membangkitkan sedikit perasaan kecewa di hati dua juri profesional, Deja Moss dan Syafizawati Shariff atau Syafi.

Tatkala ditemui pada sesi uji bakat di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah hujung minggu lalu, Deja berkata, kebanyakan yang hadir kurang menitikberatkan persediaan untuk berdepan dengan juri profesional.

Hal yang sama terpaksa mereka tempuhi di hampir semua lokasi uji bakat AF8 membuatkan penyanyi bersuara lantang itu terkilan dengan kealpaan peserta. Katanya, selepas tujuh musim AF berlangsung, peserta seharusnya peka dengan keperluan dan kehendak ketika sesi uji bakat dibuat. Bagaimanapun, perubahan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Disebabkan sikap tidak serius mereka, jumlah yang layak untuk melepasi peringkat seterusnya agak kecil. Sedangkan peserta yang mendaftar untuk dinilai bakat mereka mencecah 1,865 orang.

“Kebanyakan peserta datang tanpa asas pengetahuan mengenai uji bakat, malah malas membuat persediaan rapi. Bukan segelintir kecil sebaliknya hampir 90 peratus peserta bersikap demikian. Mereka hanya memberi tumpuan kepada lagu wajib. Tetapi apabila diuji untuk menyanyikan lagu lain, kebanyakan mereka gagal memberi persembahan meyakinkan. Lebih mengecewakan apabila ada di antara peserta tidak menitikberatkan penampilan. Bagaimana mahu membuat juri tertarik dan yakin dengan personaliti serta kredibiliti mereka jika perkara asas seperti itu tidak diberi perhatian,” kata Deja sedikit kecewa.

Pandangan yang sama turut dikongsi Syafi yang berpengalaman sebagai Guru Persembahan Vokal untuk program realiti itu bermula AF4.

Syafi berkata, kebanyakan peserta yang menghadiri uji bakat datang bersandarkan kepada tuah atau sekadar ingin mencuba nasib tanpa meletakkan sepenuh kesungguhan untuk dipilih.

“Nasib hanya menyumbang peratusan kecil kerana apa yang lebih penting adalah kesungguhan. Malangnya aspek penting itu tidak kami temui pada kebanyakan sesi uji bakat kerana ada di antara peserta kurang pasti apa yang mereka inginkan,” katanya.

Tidak meletakkan keseluruhan kesalahan kepada peserta, pemilik Syafi Vocal School ini berkata, sistem pendidikan di negara ini harus berubah jika ingin melihat seni persembahan berkembang. Akuinya, pelajar cuma didedahkan dengan pengetahuan muzik sehingga darjah enam dan kebanyakan yang ingin mendalami seni persembahan terpaksa mengikuti kelas tambahan menggunakan bajet sendiri.

Masalah lain yang turut dikenal pasti kata Deja lagi, adalah kecenderungan peserta yang cuma menguasai genre muzik tertentu menyebabkan bakat mereka terbatas. Peralihan teknologi yang menyaksikan era digital menguasai pasaran muzik menyebabkan bakat baru kehilangan idola untuk dicontohi.

Aspek lain yang turut menimbulkan kerisauan apabila kebanyakan bakat baru cuma meniru penyanyi sedia ada sehingga menghilangkan identiti mereka. Kata Syafi, seandainya meniru rujukan yang salah ia akan menyekat langkah bakat baru ini untuk pantas belajar serta memahami selok belok erti nyanyian.

Ujian personaliti jadi syarat ketat

Berbeza musim terdahulu, AF8 membawa sedikit pembaharuan apabila sesi uji bakat dijalankan lebih terperinci termasuk latihan pendengaran dan ujian personaliti. Selepas melepasi dua peringkat saringan, peserta yang layak perlu melalui satu lagi sesi ujian di mana karektor, personaliti serta keyakinan diri akan diuji.

Di bawah kendalian pakar motivasi, Dr Fazley Yaakob, peserta akan melalui satu set ujian bertulis yang menyerlahkan peratusan besar karektor sebenar mereka.

“AF8 adalah sebuah akademi untuk melatih peserta dalam membuat persediaan bergelar penghibur. Justeru, mereka harus bersikap positif serta mempunyai keinginan besar untuk belajar dan memperbaiki kekurangan diri. Ada antara peserta sudah bersedia untuk bergelar penyanyi tetapi dari segi sikap mereka belum bersedia untuk menempuh cabaran sebagai anak seni.

“Peserta begini terpaksa ditolak kerana AF8 mencari bakat baru yang mempunyai personaliti serta menjadi diri sendiri. Mungkin jumlah yang melepasi semua ujian ini kecil namun ia melepasi jangkaan yang disasarkan. Saya yakin mereka yang terpilih mempunyai kualiti untuk membesar sebagai anak seni berwibawa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, mereka sudah bersedia untuk menggalas cabaran baru serta memastikan AF8 kekal relevan kepada penonton tempatan. Berdasarkan jumlah itu, Azlin berharap mereka dapat mencungkil bakat baru berkualiti untuk diketengahkan dalam industri hiburan.

Merancakkan lagi sesi uji bakat, turut diadakan persembahan showcase oleh bintang AF yang dijayakan bersama Akim, Noni, Nadia, Ebi dan Yazid di Kompleks Asia City bersama pengacara popular, Zainal Alam Kadir.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

1 ulasan:

  1. iwan............
    all thE besT for u...........
    i lurvE u cyGGGGGGGGG..

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top