NAMA dan muzik Yuna atau nama sebenar Yunalis Zarai, 23, sememangnya telah memberi impak terhadap industri muzik tempatan.
Alunan melodi indah dan segar diserikan lagi dengan lontaran vokal jazzy persis Norah Jones membuatkan nama penyanyi dan komposer ini melonjak begitu pantas.
Laluan karier seni anak gadis dari Subang Jaya ini dikatakan makin berkembang apabila dia mengakui dilamar oleh sebuah syarikat rakaman dari Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut pelajar tahun akhir jurusan Undang-undang dari UiTM, Shah Alam ini, dia dan wakil syarikat rakaman tersebut sedang berbincang dengan lebih terperinci mengenai butiran tawaran itu.
"Memang benar ada sebuah syarikat rakaman dari Amerika Syarikat telah menemui saya untuk dijadikan artis rakaman mereka.
"Tapi, ia masih dalam peringkat awal dan kami masih lagi berbincang mengenai syarat-syarat yang boleh memuaskan hati kedua-dua belah pihak.
"Buat masa ini, saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai lamaran tersebut. Saya takut untuk maklumkan apa-apa kerana saya belum bersedia lagi.
"Tunggulah bila segala urusan perbincangan sudah selesai, pasti saya akan umumkan. Setakat ini, saya masih berbincang dengan mereka dan masih mempertimbangkan syarat-syarat.
"Insya-Allah, kalau sudah rezeki tidak akan ke mana, akan ada peluang menanti saya di sana," katanya yang enggan mengumumkan nama syarikat rakaman yang melamarnya itu.
Oleh WAHI AZIZ
wooowWwwwww!!!!!love u yuna...mmmuuuaahhh~~~
BalasPadam