Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali menerima masuk pasangan adik-beradik sebagai pelajar program realiti nombor satu itu.

Pasangan bertuah itu adalah Erma Suhaimi, 21, (Ema) dan Siti Adira Suhaimi, 19, (Adira) dari Ranau, Sabah.


Sebelum ini pasangan kembar seiras Zuzafrini Zulkifli (Rini) dan Zuzafrina Zulkifli, 25, (Rina) mencuba nasib, namun rezeki lebih berpihak kepada Rini yang menempatkan diri dalam kelompok pelajar AF musim ke-7.

Norman Abdul Halim selaku Pengetua AF8, berkata, kedua-dua beradik itu memiliki bakat serta keunikan tersendiri sehingga sukar pihak juri mengenepikan seorang daripada mereka.

“Ema dan Adira punya keistimewaan masing-masing. Walaupun adik-beradik, cara serta vokal mereka berbeza. “Sewaktu peringkat uji bakat Ema sanggup berkorban jika juri perlu memilih salah seorang daripada mereka. Namun, kemampuan pasangan adik-beradik ini memang hebat menyebabkan kami tidak mampu membuat pilihan selain bersetuju menyerapkan mereka sebagai pelajar,” katanya.

Sebagaimana tahun sebelumnya, musim terbaru AF ini sekali lagi menyaksikan dominasi peserta dari Sabah dan Sarawak apabila lima pelajar perempuan terpilih. Selain Erma dan Adira, Nadiawaty Ainul Basir atau Ain, 23, dan Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19, juga dari Sabah.

Seorang lagi peserta, Zafarina Jamhari atau Farina, 28, mewakili Sarawak. Perjuangan kelima-lima gadis ini diperlengkapkan lagi dengan kehadiran Nadia Emilia Roselan, 22, dari Klang, Selangor.

Sementara itu, enam peserta lelaki yang berjaya adalah Muhd Shahril Firdaus El atau Daus, 22, dari Sarawak, Emirza Awan Zulazrin Chew/ Iwan, 20, (Negeri Sembilan), Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22, (Johor), Muhammad Alif Kadim/Alif, 18, (Kuala Lumpur) dan Ahmad Shahir Zawawi/Shahir, 21, (Perak).

Gelagat serta aksi 12 peserta ini akan dipertontonkan kepada umum bermula Sabtu ini (13 Mac) menerusi Tirai AF dikendalikan Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley, jam 9 malam di Astro Ria.

Cabaran kehidupan seharian mereka pula boleh ditatap dalam diari mulai 15 Mac, jam 7.30 malam bersama Jimmy Shanley. Jika tujuh musim sebelum ini syarikat telekomunikasi bertindak sebagai penaja utama, penajaan AF8 berganti tangan kepada jenama produk kesihatan, Brand's selain Modenas serta Maybelline.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top