Sebelum itu, kehangatan AF8 terus memuncak apabila hari ini akan berlangsungnya sidang akhbar untuk memperkenalkan barisan pelajar yang akan menghuni AF8.
Buat masa ini segala-galanya masih lagi rahsia tentang bilangan pelajar yang sudah pun dipilih oleh pihak Astro.
Daripada desas-desus yang diperkatakan, Hits difahamkan jumlah kali ini akan kembali kepada bilangan asalnya iaitu 12 orang pelajar sahaja.
Sudah pasti individu paling sibuk dan tidak duduk diam ketika ini adalah pengetuanya, Norman Abdul Halim yang juga merupakan mereka yang berada dalam panel penilaian untuk memilih pelajar-pelajarnya.
Ketika bertemu dengan Norman di pejabatnya, Wisma KRU yang terletak di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur minggu lalu, dia begitu optimis dengan bakat baru yang akan menghiasi layar kaca pengikut setia AF setiap minggu nanti.
Apa yang pasti katanya, mereka yang terpilih kali ini memiliki bakat yang tersendiri malah Norman sendiri mengakui bayangan hala tuju mereka dalam industri seni khususnya bidang muzik.
Bukan itu sahaja, daripada bicaranya sendiri, dapat disimpulkan Norman bakal memperlihatkan ketegasannya dalam memimpin AF8 khususnya terhadap para pelajarnya.
Dalam masa yang sama juga, dia mahu mengubah stigma lapuk masyarakat yang menganggap semua bintang realiti seperti mee segera.
"Saya mahu pelajar-pelajar ini sedar bahawa perjalanan mereka untuk berada dalam AF8 bukan satu perkara yang mudah.
"Saya menjelaskan kepada mereka dan memberi gambaran kepada mereka bahawa apabila berada dalam akademi ia umpama menikmati satu hidangan yang sungguh enak.
"Tetapi, bagaimana cara untuk mereka menghabiskan hidangan dan mengenyangkan perut mereka sekali gus merasa puas dengan santapan itu, semuanya bergantung kepada diri masing-masing," ujarnya yang enggan mendedahkan jumlah pelajar sebenar untuk musim ini dan hanya memberitahu semuanya akan terjawab hari ini.
Bukan itu sahaja, Norman turut menjelaskan dia mahu semua anak-anak buahnya sentiasa bersikap optimistik dalam setiap langkah mereka selain cuba memikat hati masyarakat dalam menilai bakat mereka.
"Saya juga tidak mahu mereka mengamalkan sikap tidak apa dan hanya bersyukur apabila dapat berada dalam akademi.
"Apa yang saya mahukan daripada mereka ialah untuk memiliki semangat dan fokus kepada pembelajaran dalam mengejar impian mereka untuk menjadi juara AF8.
"Setiap daripada mereka harus ada sikap itu biarpun kita tahu ini semua adalah pertandingan realiti televisyen di mana segala kemungkinan boleh berlaku.
Elemen merit
"Tetapi, apa yang penting adalah sikap mereka sendiri yang harus diubah dan jika mereka melakukannya dari sekarang, ia akan menjadi mudah apabila mereka keluar nanti," kata Norman lagi.
Sudah 18 tahun berkecimpung dalam industri seni, memang kredibiliti Norman tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sebagai seorang anak seni dan juga ahli perniagaan yang berjaya, anak sulung daripada empat beradik ini mempunyai misi serta visinya tersendiri.
Jika tidak, mana mungkin dia dan dua adiknya, Yusry dan Edry mampu bertahan sehingga kini dan mengecapi kegemilangan yang terus memperkukuhkan nama serta jenama mereka di persada seni tanah air.
Maka itu, untuk AF8 ini, Norman juga menerapkan elemen merit apabila dia mensasarkan 50 peratus daripada jumlah pelajar untuk musim ini akan dapat menjadi seorang penghibur sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga lima tahun.
Mengambil contoh formula yang digunakan oleh KRU untuk alumni AF lain seperti Adam dan Dafi misalnya, Norman yakin sasarannya itu dapat direalisasikan seperti mana dia dan tenaga pengajar lain mahukan.
Adam katanya, biarpun sudah enam tahun menjadi seorang artis, dia masih lagi diminati sehingga berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu dan juga Anugerah Bintang Popular.
"Saya gembira kerana cadangan saya ini diterima dengan baik oleh tenaga pengajar sendiri dan mereka berikrar akan berganding bahu dan bekerjasama dengan saya untuk mencapai sasaran itu.
"Tetapi, sekali lagi, semuanya berbalik kepada pelajar itu sendiri yang harus berusaha gigih untuk menjadi seorang penghibur yang baik.
"Jujurnya, bagi saya AF merupakan platform terbaik dalam mencungkil bakat-bakat baru kerana bukan mudah untuk menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman biarpun dalam tempoh tiga bulan sahaja," ujar Norman yang juga meminta bantuan Yusry dan Edry bagi membantunya mengesan pelajar-pelajar yang berpotensi untuk menjadi seorang penghibur dengan menonton AF8.
Apabila menyertai pertandingan realiti TV seperti AF, tidak dinafikan ada kalanya tuah juga memainkan peranan besar dalam mencorak perjalanan seni mereka apabila keluar kelak.
Malah, ada juga mereka yang tersingkir awal daripada program tersebut lebih berjaya daripada sang juara yang dipilih oleh masyarakat sendiri.
Dalam konteks ini, contoh terbaik ialah Aizat yang merupakan bekas pelajar AF5 apabila dia berjaya membuktikan kepada masyarakat dan pencinta seni tanah air bahawa dia memiliki bakat yang cukup hebat.
Melihat potensi
Bukan sekadar menyanyi, tetapi dia juga mempunyai kelebihan dari aspek penciptaan lagu yang kini meletakkannya antara bakat baru yang mampu bertahan lama dalam industri.
Mengajukan persoalan ini kepada Norman, memang dia tidak menafikan elemen tuah dan rezeki itu turut menyumbang kepada kejayaan seseorang artis itu.
Tetapi, dalam masa yang sama juga, mereka (artis) perlu memiliki kebijaksanaan dalam mencorak muzik dan hala tuju mereka di dalam industri.
"Aizat berjaya kerana dia memiliki bakat sebagai seorang penyanyi dan juga komposer yang memang susah untuk dicari dalam zaman ini dan kehadiran bintang seperti Aizat bukan selalu hadir.
"Kejayaan Aizat juga adalah kerana dia tahu apa yang dia mahukan dalam kariernya dan dia sendiri yang mencorakkan diri dan muziknya mengikut gerak hatinya.
"Itu juga yang saya mahu lihat dalam diri pelajar musim ini kerana mereka semua ada bakat. Malah, saya sendiri sudah melihat potensi beberapa orang daripada mereka memiliki pendirian dan wawasan tersendiri," jelasnya memberikan pandangan peribadinya.
Kerana itu, dia sudah merangka beberapa strategi untuk mempamerkan bakat anak-anak buahnya dalam konsert mingguan khususnya dalam genre muzik yang mereka gemari.
Malah, Tirai AF8 kelak akan menyaksikan pelajar akan mempersembahkan lagu-lagu yang merupakan lagu pilihan mereka sendiri.
Menjadikan American Idol sebagai contoh terbaik dalam mempersembahkan bakat mereka, walau bagaimanapun, kata Norman, semuanya itu hanya akan dapat disaksikan bermula konsert mingguan keenam
"Saya sudah pun berbincang dengan pihak Astro dan ternyata mereka bersetuju dengan idea untuk menggubah susunan muzik mengikut genre masing-masing seperti mana dalam American Idol.
"Apa yang saya harapkan dengan suntikan baru ini dapat menarik perhatian peminat baru serta membuka peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk menilai bakat mereka," katanya yang memohon pengertian semua pihak agar tidak membandingkan dirinya dengan bekas pengetua AF yang lain.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0 ulasan:
Catat Ulasan