Hakikat itu mungkin dapat digambarkan antaranya melalui program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia yang menentukan kedudukan pesertanya berdasarkan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton. Shah atau Muhammed Shahril Mohs Saleh Aharun, 26, merupakan penyanyi baru yang terpaksa berdepan dengan realiti itu apabila dia yang berbadan gempal menjadi peserta Akademi Fantasia 8 (AF8) pertama yang tersingkir daripada program tersebut.
Pengetua AF8, Norman Abdul Halim tidak menafikan, pakej rupa paras yang menarik masih membelenggu para peserta program realiti TV bagi menarik para penonton mengundi mereka dan sekali gus diangkat sebagai pemenangnya.
"Ini adalah realiti dalam dunia hiburan," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman penyingkiran Shah pada program Debaran AF8 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyingkiran Shah yang berasal dari Klang, Selangor agak memeranjatkan kerana namanya tidak tersenarai dalam tiga pelajar AF8 yang berada di tangga terbawah pilihan peribadi Norman dan para tenaga pengajar program realiti TV itu.
"Kami (tenaga pengajar AF8) mempunyai Top 12 dan tiga terbawah. Iwan merupakan peserta lelaki pilihan kami dan Adira pula peserta wanita pilihan kami. Bagaimanapun, kedudukan sentiasa berubah.
"Mungkin ada di antara mereka yang lupa apa yang para tenaga pengajar telah ajar sewaktu berada di akademi.
"Apapun tiga peserta yang berada di Zon Bahaya (Shah, Alif dan Maulana) pada minggu ini tidak ada dalam senarai kami," ujarnya.
Selain Shah, Alif yang menerima undian SMS 3.85 peratus dan Maulana (3.75 peratus) turut berada dalam Zon Bahaya dengan jumlah SMS terendah.
Pada masa sama, Norman tidak menafikan Shah mempunyai gaya nyanyian dan suara yang tersendiri tetapi mungkin konsep lagu yang dinyanyikan kurang sesuai dengan suara dan persembahannya.
"Ia mungkin ada kaitan dengan lagu yang agak perlahan dan tidak nampak persembahan Shah sewaktu menyanyikan lagu Bengang. Sedangkan vokal Shah tidak ada masalah. Inilah AF apabila kuasa menentukan bintang bergantung pada pengundi SMS," komennya.
Shah yang turut serta pada majlis itu tidak menyembunyikan rasa kecewanya kerana tersingkir lebih awal meninggalkan 11 lagi rakan-rakannya yang akan meneruskan saingan pada minggu kedua di program realiti TV itu.
Kata Shah, dia menyertai AF kerana ia merupakan impiannya sejak dari dulu biarpun pada tahun 2007 pernah terpilih sebagai finalis dalam pertandingan Bintang RTM tetapi nasib masih tidak menyebelahinya.
"Sudah enam tahun saya menyertai uji bakat AF tetapi baru sekarang saya dapat menyertainya. Saya masuk AF sebab mahu mengasah bakat.
"Saya tidak segan menari walaupun badan saya gempal. Cara pembelajaran di AF juga menarik di mana kalau saya belajar di luar kosnya tentu tinggi. Ini adalah jalan pintas saya untuk belajar dan bukannya jalan pintas untuk cari populariti," jelasnya.
Keputusan SMS AF8 menyaksikan Anum mendapat undian paling tinggi sebanyak 25.19 peratus, Ain (12.03 peratus), Shahir (10.94 peratus), Iwan (10.14 peratus), Adira (8.73 peratus), Ema (6.52 peratus), Farina (6.48 peratus), Nad (6.06 peratus) dan Daus (4.66 peratus).
Sementara itu, jelas Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd. Zahir, Debaran AF8 hanya disertai 11 daripada 12 peserta. Ini kerana, seorang pesertanya iaitu Nadiawaty Ainul Basir atau Ain tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan telah dimasukkan ke hospital sebelum program Debaran AF8 berlangsung.
0 ulasan:
Catat Ulasan