Selepas enam tahun Jimmy Shanley mengemudikan program Trek Selebriti (TS), dia kini bersama konsert mingguan Akademi Fantasia 8 (AF8) bersama Sarimah Ibrahim.

Lalu kekosongan tempatnya dalam TS digantikan bintang AF7, Khairil Azam Pilus atau Aril. Bimbang penyampaiannya dalam program itu masih dibayangi Jimmy, dengan bantuan dan sokongan produser, Nurul Azrin Nasir serta kru mereka, Aril berazam melakukan yang terbaik dengan caranya sendiri.

TS musim baru itu akan mula bersiaran 20 Mac ini (setiap Sabtu), jam 10.30 malam di Astro Ria. Pada sidang media yang diadakan di Alexis, Midvalley, minggu ini, Aril dengan semangat membara berkata, dia sedia menyahut cabaran baru sebagai pengacara selepas mengorak langkah dalam bidang nyanyian dan melebarkan bakatnya dalam seni lakon menerusi drama Kau & Aku. "Sebelum ini saya pernah mengacarakan program Trendy siaran RTM iaitu sebelum saya menyertai AF7. Pengalaman itulah yang akan digunakan dalam mengendalikan TS. Untuk memahami konsep TS, saya diberi berbelas pita rakaman TS yang diacarakan Jimmy. Saya perlu tengok apa yang perlu ditambah atau ditukarkan "Masih mengekalkan konsep asal, TS musim baru itu diolah dengan sentuhan grafik lebih segar. Kelainan pada musim ini, TS menyisipkan elemen kejutan terutama kepada pelajar AF8 yang tersingkir nanti. Namun, peluang itu diberi kepada pelajar AF8 yang terpilih saja. Syaratnya, mereka mestilah mempunyai kenangan dan cerita menarik. "Oleh kerana penonton sudah sebati dengan cara Jimmy, jadi usahlah bandingkan saya dengan dia. Setakat ini saya sudah merakamkan episod pertama dan kedua. Ia memang seronok. "Episod pertama ialah mengenai rakaman Tirai AF8 manakala episod kedua berkongsi cerita dengan Principal Norman. Beberapa bulan sebelum ke lokasi TS, saya menjalani latihan bersama produser dan kru. Saya juga berlatih macam mana hendak bertanyakan soalan," katanya.


Tidak melupakan nyanyian yang membawa dirinya ke gelanggang seni tanah air, Aril akan muncul dengan single ketiga terbarunya, Biar Begitu. Lirik dikarang Aril sendiri. Sebelum ini Aril tampil dengan dua single, Toksid dan Menatap Matamu .

Aril juga menangkis dakwaan dia lebih menonjol daripada juara AF8, Hafiz.

"Baik Akim mahupun Hafiz, mereka ada kerja sendiri yang sudah diatur AESB (Astro Entertainment Sdn Bhd)," katanya. Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi yang hadir pada sidang media itu berkata, mereka memilih Aril untuk menerajui TS kerana usia remajanya dan sikapnya yang periang dan santai sesuai konsep TS. "Kami percaya Aril mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri, sekali gus memikat hati penonton untuk terus melekat di kaca TV," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top