Kathryn Bigelow mencatat sejarah perfileman Hollywood apabila muncul wanita pertama memenangi kategori Pengarah Terbaik pada Anugerah Akademi ke-82 yang diadakan di Kodak Theater, malam tadi.

Lebih manis lagi, filem arahannya The Hurt Locker, yang mengisahkan sekumpulan skuad pemusnah bom di Baghdad itu, turut menguasai anugerah tahunan berprestij tersebut apabila memenangi lima Oscar lagi termasuk dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

"Inilah kenyataannya, tiada perkataan yang dapat menggambarkannya, ini adalah satu detik bersejarah sepanjang hayat.

"Saya tujukan kemenangan ini kepada anggota tentera lelaki dan wanita yang berdepan risiko kehilangan nyawa dalam tugas mereka setiap hari di Iraq, Afghanistan dan seluruh dunia. Semoga mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat," kata Bigelow, yang juga wanita keempat menerima pencalonan bagi kategori tersebut.

Empat kategori lain yang diraih The Hurt Locker adalah Lakon Layar Asli terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi aktor veteran Jeff Bridges menerusi lakonannya sebagai penyanyi country yang ketagih alkohol dalam Crazy Heart, sekali gus menamatkan kemarau penantiannya bagi empat pencalonan Oscar sebelum ini.



Aktres Sandra Bullock, menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui lakonan berkesannya sebagai suri rumah yang sensitif dalam The Blind Side.

"Adakah saya benar-benar layak memenanginya atau saya hanya melemahkan anda?," kata Bullock semasa menerima anugerah tersebut hasil lakonan yang diadaptasi dari cerita benar Leigh Anne Tuohy, yang menjaga seorang remaja kulit hitam sehingga menjadi bintang sukan ragbi terkenal.

Anugerah Oscar tahun ini yang diadakan di Kodak Theater juga menyaksikan pertarungan sengit antara filem bajet rendah Bigelow dengan Avatar, sebuah filem arahan bekas suaminya, James Cameron yang menelan belanja AS$500 juta (RM1.75 bilion).

Blokbuster luar biasa itu yang mencatat kutipan tiket tertinggi lebih AS$2.5 bilion (RM8.75 bilion) dalam sejarah perfileman, terpaksa berpuas hati dengan hanya tiga anugerah Oscar, kebanyakannya dalam kategori teknikal.

Tiga kategori itu adalah Pengarahan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Visual Efek Terbaik.

Sementara itu, anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor Austria Christoph Waltz menerusi penampilannya dalam Inglourious Basterds, manakala aktres Mo'Nique dinamakan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Precious.

Kemenangan Mo'Nique itu menjadikannya aktres kulit hitam kelima menerima Oscar dalam sejarah Hollywood selepas Hattie McDaniel, Whoopi Goldberg, Halle Berry dan Jennifer Hudson.

Pada anugerah berprestij itu, filem Argentina El Secreto de Sus Ojos (Rahsia Di Mata Mereka), dinamakan sebagai Filem Asing Terbaik. - AFP

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top