Peserta dari Kuantan, Pahang, Khairul Noormaidah Zali atau dikenali sebagai Aida, mengalahkan empat peserta lain apabila dinobatkan juara Gadis Melayu terbitan TV9, malam tadi.

Penampilan diri dan persembahan Aida, 23, yang penuh berkeyakinan menarik perhatian juri, sekali gus meletakkan gadis itu sebagai Ikon dalam membentuk jati diri serta mewarisi dan mengekalkan budaya serta tradisi Melayu.

Aida menerima wang tunai RM10,000, trofi serta barang iringan disampaikan Sultanah Kedah, Tuanku Hamimah Hamidun.

Baginda diiringi Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Peserta lain berjaya ke peringkat akhir ialah Noor Afzan Mohd Afzul Khan, 27 (Kota Kinabalu, Sabah); Siti Nurashikin Mohd Noor, 22, (Sungai Petani, Kedah); Nurul Khusna Uma, 20, (Kuantan, Pahang); dan Nur Aishah Zainal, 27 (Melaka).

Pemenang Gadis Melayu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM67,000, manakala empat peserta akhir menerima hadiah sagu hati bernilai RM44,000.

Barisan juri yang menilai peserta pada malam berkenaan ialah Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood dan pakar motivasi, Dr Fazley Yaacob serta juri jemputan, pelakon teater, Stephen Rahman Hughes.

Keputusan pemarkahan membabitkan 60 peratus juri profesional, manakala 40 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan setiap undian SMS sebanyak 10 sen didermakan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza kelolaan The New Straits Times Press (M) Bhd.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top