Pelakon baru Emma Maembong jadi kontroversi sejak dikatakan tak berdisiplin di ruangan pojok Syed Gebang minggu lalu. Emma Maembong dikenali menerusi drama Kau Yang Terindah itu didakwa sebegitu kerana tidak menghadirkan diri ke sesi fotografi pada 26 September lalu. Alasannya, dia minum ubat batuk sehingga terlena dan terlambat bangun tidur. Sepatutnya, Emma Maembong hadir ke sesi fotografi pukul 11 pagi untuk sesi menata rias oleh juru mekap yang muncul setengah jam awal.

Setelah gagal menghubungi Emma dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) hampir dua jam, Emma akhirnya menghubungi penulis memberitahu keadaan diri.

Emma Maembong gambar

Benar, penulis yang membatalkan sesi fotografi itu kerana terikat dengan kerja-kerja lain yang berturutan setiap minggu. Penulis juga tak mahu ambil masa juru mekap terlalu lama. Perlu diingat bahawa polisi menghasilkan kulit Pancaindera sangat cerewet. Semuanya kena sempurna bermula dari cara mekap, baju dan gaya posing artis. Tak ada istilah tangkap muat dan sekiranya ada kesilapan, pasti akan menjejaskan kerja berpasukan.

Jadi masalah di sini, adakah Emma seorang yang tidak berdisiplin? Dia pantas dinafikannya. Tegasnya, "Saya jenis yang berdisiplin. Saya bukan sengaja cari pasal sebab saya bukan artis yang bermasalah. Saya mengaku memang lewat tapi itu berlaku sebab ada masalah kesihatan. Saya juga sangat alert bab masa.

"Ini kali pertama saya berdepan dengan masalah salah faham dengan pihak wartawan. Tak apalah, saya dah pun minta maaf dan terima pengajaran," luah Emma yang mengakui hatinya terkesan bila dikaitkan dengan masalah disiplin.

Adakah anak kesembilan dari 11 beradik ini kerap memungkiri janji untuk sesi fotografi seperti mana yang didakwa?

Sekali lagi Emma menafikan.

"Sebelum ini saya tak pernah ada masalah disiplin. Kalau call time pukul 9 pagi, pukul 7 pagi saya dah gerak dari rumah. Tapi tak tahulah, kalau ada fotografi yang saya tak datang sebelum jadi artis. Saya tak ingatlah kalau cerita lama.

"Kalau benar saya ada masalah, saya minta maaf. Saya nak betulkan cerita yang mengatakan saya tak muncul. Kalau cerita itu tak betul, mesti malu bukan? Saya terperanjat sebab semua orang terdekat cakap saya okey (tak ada masalah). Tapi berlainan benar dengan apa yang ditulis itu," katanya.

Kalau tak ada angin, tak akan pokok bergoyang. Adakah Emma benar-benar yakin tak pernah mencacatkan nama sendiri dengan masalah disiplin apabila ada pihak lain turut melaporkan perangai buruk Emma itu?

"Sungguh, saya tak tahu kalau ada orang buruk-burukkan nama saya, cakap saya pelakon bermasalah. Tak apalah, biarlah mereka nak cakap apa pun. Saya reda saja.

"Saya tahu dalam industri ini, tak semua orang suka pada kita. Saya reda sebab itu semua asam garam yang kena belajar waktu sekarang ini. Permainan industri kita ini ada macam-macam dan saya berharap masalah salah faham sebegini tak berlaku lagi pada masa depan," kata Emma menutup bicara. ~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top