Presiden India, Pranab Mukherjee akan menyampaikan anugerah berprestij Sangeet Natak Akademi 2011 kepada penari terkemuka Malaysia bertaraf dunia, Ramli Ibrahim dalam kategori tarian atas pembabitannya dalam tarian Odissi.

Ramli menjadi rakyat Malaysian pertama menerima anugerah itu, bersama-sama dengan 35 artis dari pelbagai bidang pada satu majlis khas, Selasa ini.

Anugerah itu diiktiraf sebagai penghargaan tertinggi nasional yang diberikan kepada artis, guru dan cendekiawan bagi seni persembahan dan sebagai satu penghargaan yang amat dinanti-nantikan oleh para artis, kata Kementerian Kebudayaan India dalam satu kenyataan.

Artis-artis terkemuka dalam bidang muzik, tarian dan teater yang menerima anugerah itu akan menerima hadiah wang tunai Rs1 lakh (RM5,894) , 'angavastram' (kain kapas atau selendang sutera yang diletakkan di bahu oleh lelaki) dan 'tamrapatra' (plat tembaga yang berukir).

Odissi, yang berasal dari Orissa, sebuah negeri di timur India, adalah satu daripada bentuk tarian tradisional India. Ia dikatakan bentuk tarian tertua India yang masih ada berdasarkan kepada bukti arkeologi.

Sangeet Natak Akademi, yang diwujudkan oleh kerajaan India pada 31 Mei, 1952, adalah sebuah Akademi Kebangsaan bagi Muzik, Tarian dan Drama.

Ia diwujudkan sebagai sebuah badan tertinggi dalam negara yang bertanggungjawab bagi pemuliharaan dan penggalakkan bagi seni persembahan tradisi India.

Satu daripada kegiatan penting Akademi itu adalah bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada artis-artis yang menetapkan standard bagi seni persembahan dan memulihkan seni dan artis itu di tempat yang sewajarnya di India.- Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top