<div dir="ltr" style="text-align: left;" trbidi="on">
Puteri Wen Cheng The Musical dipentaskan di Istana Budaya (IB) sejak 13 hingga 28 Oktober 2012. Princess Wen Cheng The Musical menampilkan Evelyn Toh sebagai watak utama bergandingan dengan Yang Wei Han sebagai Raja Songsten Gampo.
Pementasan yang dibawakan Asia Musical Productions itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada beberapa syarikat korporat yang besar di negara ini. Dua stesen radio, 988 dan Capital FM menjadi radio rasmi untuk teater berkenaan.
Kali kedua dipentaskan di Kuala Lumpur, nyata dewan IB dipenuhi ramai penonton yang terpukau dengan setiap persembahan dan aksi setiap pelakon yang begitu memberi kesan.
Menariknya, teater muzikal ini bakal dipentaskan buat pertama kalinya di Esplanade Theatre, Singapura pada Januari depan.
Kisah penuh tragik ini memaparkan perkahwinan dan kehidupan di antara Puteri Wen Cheng dengan Raja Tibet yang banyak membawakan penyebaran ajaran Buddha itu boleh dikatakan teater perdana yang berskala besar apabila lebih 200 set pakaian yang indah pada zaman Dinasti Tang dan Tibet dipamerkan di samping reka bentuk set besar bersepadu dengan unsur multimedia yang canggih.
Boleh dikatakan ia adalah salah satu daripada karya yang berjaya apabila mendapat banyak kerjasama daripada mereka yang pernah memenangi beberapa anugerah seperti anugerah penulis (Ho Lin Huay), komposer/muzik pengatur (Imee Ooi) dan koreografer (Chan Soo Leng dan Michell Yong).
Seramai 40 pelakon terbabit dalam pementasan teater kali ini selain Evelyn dan Yang, tidak ketinggalan pelakon teater tempatan yang turut hebat beraksi dalam tarian seperti Lim Cheng Hock, lkt, Jeffrey Chew, Yong Lip Kiong, Lim Wen Suen, Alvin Loh, Tan Beng Yao dan Alana Sim.
Persembahan adegan yang pelbagai daripada Dinasti Tang itu begitu megah ditampilkan melalui sinematografi dan props yang menarik mengenai kehidupan rakyat Tibet.
Lebih indah lagi, teater Puteri Wen Cheng The Musical bukan hanya memaparkan epik sejarah, malah himpunan lagu-lagu yang didendangkan melalui muzik, koreografi tarian yang rumit benar-benar memberi kesan mendalam terhadap penonton seolah-olah terasa seperti berada pada zaman berkenaan.
Princess Wen Cheng The Musical mengisahkan takdir hidup seorang puteri yang terpaksa berkahwin dengan Raja Tibet demi menjaga keamanan negaranya daripada terus berpecah-belah akibat pertelingkahan.
Dengan merentasi hampir 1,000 kilometer perjalanan yang berbahaya meninggalkan keluarga tercinta, pelbagai suka duka terpaksa diharungi dan segala kepahitan ditelan seorang diri.
Namun, sikap bijaksana dan lemah lembutnya menawan hati penduduk Tibet yang akhirnya menyatukan perpaduan di antara China dan Tibet. Istana Potala yang terletak di Lhasa, Tibet adalah salah satu peninggalan yang penuh kenangan daripada Princess Wen Cheng selepas ketiadaannya.
Bagi yang ingin menyaksikan pementasan teater muzikal ini boleh mendapatkan tiket berharga RM53 dan RM333 untuk pertunjukan siang manakala RM63 dan RM383 untuk pertunjukan sebelah malam.
Sebarang maklumat lanjut, log masuk untuk ticketcharge.com.my/asiamusicalproductions.com.
</div>
0 ulasan:
Catat Ulasan