“Kami sekeluarga tidak takut disaman berapa banyak pun. Tuhan memihak pada yang benar dan harap berbalik rezeki (menang dalam saman itu) kepada kami,” kata Daisy Fajarina, 44, ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.
Daisy dihubungi di Indonesia bagi mengulas tindakan saman fitnah berjumlah RM105 juta dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry terhadapnya semalam dan anak kedua Daisy, Manohara Odelia Pinot, 17, yang juga isteri Tengku Temenggong Kelantan.
Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam melalui peguam, Mohd Haaziq Pillay.
Tengku Muhammad Fakhry, 31, sebagai plaintif, menamakan ibu mentuanya, Daisy Fajarina sebagai defendan pertama dan isterinya, Manohara Odelia Pinot defendan kedua.
Sebelum ini, pada 5 Julai lalu, putera ketiga Sultan Kelantan itu memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, bagi menuntut Manohara kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.
Mengenai kemelut kekeluargaan yang terjadi itu, Daisy berkata, naluri ibu dimilikinya tidak berapa tepat apabila menganggap Tengku Muhammad Fakhry boleh menjaga Manohara dengan baik.
“Saya amat percaya kepadanya (Tengku Muhammad Fakhry) ketika kali pertama bertemu dalam satu majlis makan malam pada 2006 yang turut dihadiri Manohara.
“Beliau datang kepada saya dan dengan sopan meminta kebenaran: ‘Boleh tidak saya berkenalan dengan puteri ibu (Manohara)’. Saya membenarkan kerana I really trust him so much (saya sangat percayakannya)...,” katanya.
Selain Manohara, dia memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan iaitu Dewi, 20.
Wartawan cuba mendapatkan ulasan Manohara, tetapi Daisy memberitahu anaknya tiada di rumah kerana berada di lokasi penggambaran filem bertajuk ‘Manohara’.
Menurutnya, Manohara juga sibuk menyiapkan biografi mengenai kisah kehidupan dirinya dan dalam proses mencari penerbit. Manohara bercadang melancarkan buku berkenaan di Amerika Syarikat.
Ditanya persediaannya untuk menghadapi tuntutan saman itu, Daisy memberitahu dia dan anaknya mempunyai peguam bagi menangkis dakwaan Tengku Muhammad Fakhry bahawa dia melakukan fitnah.
“Saya dan anak sudah bersedia ke sana (Malaysia) pada bila-bila masa diperlukan. Dia (Tengku Muhammad Fakhry) harus menanggung segala perbuatan terhadap Manohara.
“Manohara juga sedang dalam perancangan untuk bercerai. Dia tidak akan kembali kepada Tengku Muhammad Fakhry,” katanya.
Tengku Muhammad Fakhry dan Manohara yang memegang gelaran Cik Puan Temenggong Kelantan berkahwin pada 26 Ogos tahun lalu dan menetap di Istana Mahkota, Kubang Kerian.
Selepas sembilan bulan berkahwin, Manohara pulang ke Indonesia dan enggan kembali.
Kisah bekas model itu mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik Indonesia sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif.
Berita mengenai Manohara yang melarikan diri daripada suaminya ketika di Singapura, baru-baru ini, mendapat liputan meluas akhbar di Indonesia.
Manohara yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya turut menjadi bahan berita utama 10 stesen televisyen swasta Indonesia yang menyiarkan sidang media dan wawancara dengannya sekembali ke Jakarta.
>Tengku Muhammad Fakhry fail saman RM105j
KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, semalam memfailkan saman RM105 juta terhadap isterinya yang juga model warga Indonesia, Manohara Odelia Pinot serta ibu mentua, Daisy Fajarina kerana menyebarkan fitnah menerusi sidang akhbar, sejak beberapa bulan lalu.
Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui peguamnya, Mohd Haaziq Pillay.
Menerusi saman itu, Tengku Muhammad Fakhry, 31, selaku plaintif menamakan Daisy sebagai defendan pertama manakala Manohara, 17, sebagai defendan kedua.
Berdasarkan penyata tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa antara April hingga Jun lalu, Daisy secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan perkataan berbaur fitnah yang disiarkan media di dalam dan luar negara.
Manohara pula didakwa secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan perkataan berbaur fitnah mengenai penderaan seks terhadapnya disiarkan dalam media dalam dan luar negara melalui sidang akhbar antara 1 Jun dan 12 Jun lalu.
Semua perkataan fitnah itu antara lain disiarkan dalam The Jakarta Globe, Banjarmasin Post, Detiknews, Kompas.com, Global TV dan beberapa akhbar tempatan.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa semua kata-kata yang dikeluarkan kedua-dua defendan dibuat untuk mengaibkan dirinya di kalangan kerabat diraja Kelantan, kerajaan Malaysia dan rakyat.
Beliau menegaskan, semua tuduhan itu tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat sehingga menyebabkan dirinya mengalami kerosakan serius serta mencemarkan reputasi.
Putera ketiga Sultan Kelantan itu mendakwa kedua-dua defendan mengeluarkan semua fitnah dengan niat jahat serta bermotifkan mahu mendapatkan wang.
Plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan RM105 juta termasuk faedah dan kos.
Tengku Muhammad Fakhry juga memohon perintah injuksi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya.
Pada 5 Julai lalu, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, bagi menuntut Manohara menjelaskan hutangnya hampir RM1 juta.
Plaintif juga memfailkan saman kedua yang meminta Manohara kembali taat kepadanya selepas tempoh diberikan sebelum ini iaitu sehingga 2 Julai lalu tamat, tetapi defendan masih enggan kembali kepadanya.
Berdasarkan pernyataan tuntutan saman di Mahkamah Syariah, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau bernikah dengan defendan pada 2 Ogos 2008 di Istana Mahkota Kubang Kerian, Kelantan, dengan berwali hakim.
Plaintif mendakwa sebelum perkahwinan itu, defendan ada meminjam sejumlah wang daripadanya untuk kegunaan peribadi dan ibunya yang berjumlah RM338,500.
Jumlah itu termasuk pembelian jam tangan berjenama bernilai RM174,000 pada 25 Oktober 2005 dan pengiriman wang melalui sebuah bank membabitkan transaksi bernilai RM164,500 pada 17 Jun tahun lalu.
Sepanjang tempoh perkahwinan itu, plaintif juga memberikan defendan pinjaman wang untuk kegunaan peribadi berjumlah RM634,250 termasuk kiriman wang sebanyak empat kali bermula pada 4 September 2008 dan terakhir pada 22 Januari 2009.
hahahaa.. ibu manohara such a despredo and stupido mother..! kamu pasti tdk takut utk di saman oleh tg temenggung..? belum tentu ada satu sen pun dalam kocek kamu ini berjuta-juta. dasar brengset kamu dua ekor mambang. duh manohara, mengapa bisa di percaya akan omong2 manohara yg udah jelass lagi terang mahu merangkuli semua harta tg temenggung.. ingt bisa kah,,? dasar goblok!
BalasPadam