Walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa judul besar dari Hollywood, namun filem tempatan hasil kerjasama Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd dan Primeworks Studios, Skrip 7707, tetap memberikan cabaran memberangsangkan apabila mula membuka tirai tayangan pada 16 Julai lalu.

Kehadiran filem mega seperti Transformers: Revenge of the Fallen, Ice Age: Dawn of the Dinosaurs, Harry Potter and the Half-Blood Prince dan Public Enemies tidak menghalang filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen itu untuk turut mencuri perhatian, seterusnya mencatatkan kutipan yang dikira amat baik.

Menurut Pengurus Besar, Filem dan Drama Primeworks, Skrip 7707 berjaya menarik ramai penggemar filem menonton judul terbaru edaran mereka kerana formula berbeza yang ditampilkan.

"Sambutan baik yang diberikan kepada filem Skrip 7707 kerana ia sebuah judul yang mempunyai kekuatan terutama dalam aspek plot penceritaan, yang mampu menarik perhatian menerusi garapan gabungan sembilan kisah seram serta penampilan kira-kira 40 pelakon di dalamnya.

"Hasil tinjauan kami ke pawagam di seluruh tanah air mendapati, rata-rata penonton bersesak untuk mendapatkan tiket sehingga ramai yang kecewa apabila gagal berbuat demikian. Perkembangan ini tentu sekali memberikan perkhabaran yang menggembirakan buat Primeworks dan Lineclear, apabila filem tempatan masih mendapat sokongan peminat pada ketika filem besar Barat memenuhi pawagam," katanya.

Pada hujung minggu lalu, Skrip 7707 berada pada anak tangga ketiga selepas Harry Potter 6 dan Transformers 2 dalam kedudukan carta filem pecah panggung di negara ini.

Filem Skrip 7707 mencatat kutipan RM1 juta pada tiga hari pertama tayangan dan jumlah itu meningkat kepada RM1.5 sehingga Rabu lalu. Kutipannya dijangka meningkat berdasarkan sambutan baik masih diterima filem berkenaan tatkala memasuki minggu kedua tayangan.

"Dari segi reaksi penonton sendiri, pada umumnya mereka berpuas hati dengan hasil garapan Prof Razak kali ini. Malah komen yang diberikan tidak lagi berbaur ejekan semata-mata, tetapi juga diselitkan dengan unsur galakan sebagai pemberi semangat bagi meningkatkan mutu filem akan datang," katanya.

Filem ini mengisahkan seorang penerbit berdepan masalah menghasilkan skrip filem seram. Dia mengarahkan pembantunya mengiklankan dalam akhbar harian mengenai satu perjumpaan untuk mereka yang boleh berkongsi cerita seram berdasarkan pengalaman atau cerita yang pernah didengar. Cerita yang terpilih akan mendapat imbuhan. Perjumpaan itu pula diadakan di sebuah tempat yang strategik.

Pada malam yang ditetapkan, penerbit terbabit pergi ke lokasi yang dijanjikan. Kedatangannya dinantikan sembilan peserta yang bersedia untuk berkongsi cerita seram. Perjumpaan pada malam itu dirakamkan dalam bentuk video sebagai bahan rujukan.

Penerbit itu sendiri memulakan cerita berdasarkan pengalamannya ketika dia mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading. Setelah selesai, dia berpuas hati dengan koleksi cerita yang telah diperoleh.

Pada keesokannya, sewaktu penerbit itu sedang menyiapkan skrip, pembantu peribadinya memaklumkan mengenai sambutan iklan yang disiarkan dalam akhbar dan ramai yang berminat untuk berkongsi kisah mereka. Pembantunya juga mengingatkan penerbit itu mengenai perjumpaan yang akan diadakan pada malam itu.

Dia berasa hairan kerana perjumpaan itu sudah pun diadakan pada malam sebelumnya. Kerana tidak berpuas hati dengan mesej yang disampaikan pembantunya, dia memainkan semula rakaman yang dirakam. Dia sangat terkejut apabila mendapati hanya audio yang kedengaran, tanpa ada visual pada rakaman dibuatnya.

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top