Adik ipar Yasmin, Datuk Dr Zakaria Zahari, berkata pengarah itu mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.
"Jantungnya disokong oleh ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah... tempoh beberapa jam akan datang amat penting bagi kami, tapi beliau kini dalam keadaan stabil sungguhpun masih belum sedar," katanya.
Sehingga kini hospital pakar itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan terkini pengarah filem "Sepet" yang pernah mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Sementara itu, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang turut berada bersama Yasmin pada pembentangan kertas kerja itu, berkata Yasmin mengadu sakit selepas 15 minit membentangkan kertas kerja berkenaan.
"Beliau membentangkan kertas kerja tersebut pada jam 3 petang dan 15 minit kemudian Yasmin mengadu beliau tidak sedap badan dan dia duduk sambil meletakkan kepala di atas meja.
"Selepas lima saat, kami cuba menyedarkan beliau selepas melihat Yasmin sukar bernafas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital pakar tersebut.
Siti berkata, selepas Yasmin dibaringkan, salah seorang pekerja TV3 kemudian menghubungi doktor panel TV3 yang memberikan rawatan awal kepada Yasmin.
Katanya, Yasmin dikejarkan ke hospital dan tiba pada jam 3.45 petang.
"Apabila tiba di hospital, barulah Yasmin menunjukkan respon," katanya.
Sementara itu, rakan baik Yasmin yang juga Pengarah Urusan syarikat Leo Burnett, Tan Kean Ang, berkata pada pagi tadi, Yasmin berada dalam keadaan sihat dan sempat bergurau dengan rakan-rakan sepejabat.
"Beliau sangat sihat ketika itu... saya terkejut dengan apa yang berlaku," katanya yang sempat membincangkan beberapa projek dengan Yasmin termasuk yang membabitkan Siti dan suaminya. - Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan