Filem: Ninja Assassin
Genre: Drama, Aksi
Pengarah: James McTeigue
Pelakon: Rain, Naomi Harris, Ben Miles, Sho Kosugi, Rick Yune, Sung Kang, Randall Duk Kim
Tayangan: Mulai 26 November.

Ninja Assassin, yang baru saja memasuki panggung 26 November lalu menampilkan bintang tersohor Korea, Rain, sebagai tunjang utama.

Menariknya mengenai filem aksi lakonan penyanyi popular Asia itu, ia dihasilkan apabila produser Andy dan Larry Wachowski kagum melihat aksi pertarungan yang ditunjukkannya dalam filem mereka, Speed Racer, yang ditayangkan kepada peminat tahun lalu. Filem ini diterbitkan dua beradik itu bersama Joel Silver dan Grant Hill.

Sebagaimana tangkasnya Rain beraksi dalam filem perlumbaan kereta yang kuat dibantu teknologi CGI itu, begitulah juga dia mengagumkan peminatnya apabila bertarung sebagai ninja dalam filem arahan sutradara Australia, James McTeigue ini. Sebelum ini, McTeigue pernah menghasilkan V For Vendetta, empat tahun lalu.

Ninja Assassin mengisahkan dilema hidup seorang daripada pembunuh upahan paling berbahaya di dunia, Raizo (Rain). Diambil memasuki puak Ozunu dari jalanan ketika masih kecil, dia dilatih oleh ketua pertubuhan rahsia untuk menjadi pembunuh terlatih.

Namun, Raizo melepaskan diri daripada kumpulan itu apabila dirinya asyik dihantui kenangan silam, bagaimana rakan baiknya dihukum kejam oleh puak berkenaan.

Di Berlin, ejen Europol, Mika Coretti (Naomie Harris) menemui bukti pemindahan wang yang mengaitkan pembunuhan beberapa pemimpin politik dengan sebuah jaringan bawah tanah yang sukar sekali untuk dikesan.

Tidak mengendahkan arahan ketuanya, Ryan Maslow (Ben Miles), Mika mengorek fail sulit agensi dan mula menemui kebenaran di sebalik pembunuhan berkenaan. Namun, penyiasatan itu kini menjadikan dirinya sebagai sasaran seterusnya. Puak Ozunu menghantar sekumpulan pembunuh diketuai si kental, Takeshi (Rick Yune), untuk membuatkan dirinya diam selama-lama.

Raizo menyelamatkan Mila daripada serangan maut itu. Begitupun lelaki itu sedar, puak terbabit tidak akan berhenti memburu mereka sehinggalah kedua-duanya dihapuskan. Sekarang, Raizo dan Mika perlu saling mempercayai dalam usaha untuk terus hidup dan membawa kumpulan pembunuh itu ke titik penamat.

Selain babak pertarungan yang memang mencengkam jiwa serta kelincahan Rain beraksi dengan menunjukkan kemahiran dalam seni pertahanan diri, filem ini mampu membuatkan penonton terlekat di kerusi dek kebijaksanaan suntingan serta kerja kameranya.

Kejadian masa kini diselang-selikan dengan peristiwa masa lalu menerusi imbauan kenangan watak utamanya, membolehkan penonton lebih memahami watak Raizo itu sendiri.

Daripada kecil sehinggalah Raizo dewasa, penonton diajak menjenguk masa lalu lelaki misteri itu menerusi imbasan memori silam Raizo yang nyata penuh dendam di dalam dirinya. Amarah yang wujud dalam jiwa pemuda itu terjawab apabila lapis demi lapis cerita lamanya didedahkan.

Pada akhirnya, penonton akan memahami, mengapa lelaki yang disangka pembunuh buruan pihak berkuasa itu sebenarnya turut memburu puaknya sendiri demi dendam yang membara dalam dada.

Suntingan yang baik turut menjadikan babak pertarungan cukup menarik dengan dibantu kerja kamera yang kreatif, tetapi tidak berlebih-lebih. Sebaliknya, McTiegue lebih suka bermain dengan nada warna yang kelam, bagi menimbulkan mood yang berbeza buat penontonnya. Rasa yang disuntik McTiegue cukup terasa sekali menerusi hasil kerjanya kali ini, walaupun ia sebenarnya masih berada dalam kategori filem aksi.

Rain tidak menghampakan sebagai ninja yang pernah kehilangan jiwa, tetapi mendapatkannya semula apabila bertemu dengan rakan sepelatih yang mengajaknya kembali untuk mempunyai perasaan dalam hati. Wajah yang serius disertakan dengan susuk tubuh sasa, dia tentunya pilihan cukup tepat untuk watak si wira. Apatah lagi, ketika ini namanya antara paling dikenali di serata Asia.

Bukannya filem yang serius mengajak penonton untuk memahami falsafah hidup mahupun mesej kemanusiaan, tetapi Ninja Assassin muncul judul yang kuat serta menghiburkan, dek gabungan elemen komersial dan nilai seni yang hebat. Bagi peminat setia Rain, inilah masa untuk anda berhibur bersama persembahannya yang berbeza - bukan di pentas nyanyian, sebaliknya di filem penuh aksi pertarungan mempesonakan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top