Buat pertama kalinya, program realiti pencarian bakat pemuzik, Twisties Bingit dibawakan ke kaca televisyen.

Bersiaran di 8TV pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 11 Disember, ini merupakan musim kedua pertandingan itu diadakan.

Kali pertama, pada tahun lalu dan berjaya mengetengahkan bakat pemuzik yang kini bergerak secara indie, Modread. Bagaimanapun, ketika itu pertandingan tersebut tidak disiarkan di kaca televisyen.

Twisties Bingit merupakan sebuah program yang dianjurkan sebagai usaha mencari pemuzik berkaliber di kalangan generasi muda berusia antara 18 hingga 28 tahun. Ini termasuklah pemain gitar, bass, dram dan vokalis.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim ketika ditemui pada sidang media pertandingan itu di Laundry Bar, The Curve, Damansara baru-baru ini memberitahu sambutan hangat daripada penonton musim lalu, mencambah idea buat 8TV untuk menampilkan rancangan tersebut ke kaca televisyen.

"Tahun lalu hanya Hot FM yang terlibat dalam mempromosikan rancangan ini. Untuk musim kali ini, Hot FM mengajak 8TV untuk membuat pendekatan yang lebih besar, dengan menayangkannya ke kaca TV.

"Ini bersesuaian dengan 8TV yang sedari dulu memang amat menyokong perkembangan muzik dan rapat dengan rancangan-rancangan realiti," katanya.

Sembilan kumpulan muzik yang terlibat ialah The Musician, P' Gee, Digital, Rackie Ocean, Avidity, No Misery, Rocket Planet, Mess Symphony dan Floor 88.

Juara pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 termasuk kontrak rakaman bersama syarikat rakaman Monkey Bone.

Naib juara pula bakal membawa pulang hadiah bernilai RM10,000, tempat ketiga menerima hadiah bernilai RM6,000 manakala tempat keempat dan kelima masing-masing membawa pulang saguhati RM2,000.

Bersiaran selama lapan minggu, dengan episod pengenalan selama dua minggu berturut-turut manakala enam minggu lagi adalah minggu persembahan daripada kumpulan-kumpulan yang bertanding. Bagaimanapun episod penyingkiran hanya bermula pada episod ke-3.

Seramai 40 daripada ratusan peserta yang hadir ke uji bakat disenarai pendek dan daripada jumlah tersebut seramai empat orang peserta dipilih dan disenaraikan sebagai ahli untuk setiap sembilan buah kumpulan.

Persembahan gig pertama telahpun berlangsung pada 7 November lalu (Sabtu) bertempat di Laundry Bar, The Curve, Mutiara Damandara bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 6 petang.

Pada setiap persembahan gig, band indie popular, Pesawat yang dianggotai oleh Jipie (vokal), Nizam Camel (gitar), Mann (bass) dan Kudux (dram) bakal muncul membuat persembahan termasuk menyanyikan lagu tema program tersebut, Bingit.

Penerbit rancangan, Sunit Kumar Raghupathy yang ditemui pada majlis yang sama memberitahu, berbanding tahun lalu, cabaran yang dilalui peserta pada musim kali ini lebih besar.

"Tahun ini kami lebih pentingkan muzik. Tahun lalu kami gabungkan kumpulan mengikut negeri asal mereka.

"Bagaimanapun, tahun ini kami gabungkan mereka mengikut muzik yang bersesuaian dengan mereka supaya nampak lebih seragam.

"Kami yakin, juri telah pilih yang terbaik dikalangan ratusan yang datang ke uji bakat.

"Selain muzik, apa yang penting untuk mereka tonjolkan ialah kerjasama berpasukan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top