Di sebalik tanggapan bahawa Akademi Fantasi musim ke-8 (AF8) sebagai kurang bermaya berbanding musim lalu, tetapi kemuncak program realiti yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini masih tetap menjadi tumpuan daripada peminat dunia hiburan tanah air.

Sama seperti edisi sebelumnya, pada peringkat final inilah semua calon bakal mempamerkan segala ilmu dan pengalaman yang mereka perolehi sepanjang berada dalam akademi.

Pastinya masih ada yang tertunggu-tunggu siapakah di antara Daus, Iwan, Adira, Shahir dan Maulana yang bakal dimahkotakan oleh Pengetua AF8, Norman Abdul Halil sebagai menjadi juara musim ini.

Bolehkan Adira atau Siti Adira Suhaimi, 19 muncul menjadi pelajar wanita ketiga selepas Mila dan Stacy untuk menjuarai AF8? Atau mungkinkah kejuaraan itu adalah persaingan perebutan antara Daus atau nama penuhnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 22 atau Maulana (Muhd Firdaus Maulana Mohamed, 22), Iwan (Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20) dan Shahir (Ahmad Shahrib Zawawi, 22).

Shahir dianggap sebagai ‘peserta bertuah’ kerana selepas terkeluar pada minggu ketujuh, tetapi berjaya masuk semula pada minggu kelapan. Kemasukan semula Shahir menyebabkan calon pilihan Nadiawaty Ainul Basir, 24 atau Ain tersingkir pada konsert minggu kesembilan.

Itulah yang menjadikan Shahir menjadi calon pilihan utama untuk menjadi juara AF8 lapan. Namun begitu, usah lupa juga dengan pengundi calon lain. Adira juga boleh membuat kejutan sekiranya pengundi berasakan calon tunggal wanita ini layak sebagai pemenang AF8.
Sebenarnya setiap calon mempunyai peluang hampir sama rata. Barangkali ada yang masih lemah dalam aspek suara tetapi mereka boleh mempengaruhi pengundi dengan menampilkan persembahan mantap dan bertenaga.

Pengetua AF8, Norman Abdul Halim berkata, seperti biasa pada peringkat akhir semua pelajar memang akan dibekalkan dengan lagu ciptaan terbaru selain lagu popular sedia ada untuk dinyanyikan pada konsert terakhir program realiti itu nanti.

Sama ada menang atau kalah, semua finalis AF8 dikatakan sudah bergelar artis atau penyanyi sepenuh masa kerana masing-masing sudah mempunyai single sendiri.

“Selain itu, tujuh peserta yang tersingkir sudah siap merakamkan single mereka termasuk video klip yang dirakam melalui nyanyian konsert mingguan mereka. Kami juga berbincang dengan AESB untuk menghasilkan video klip sebenarnya untuk kesemua pelajar ini dan pihak KRU Studio’s bersedia membantu.

“Lagu-lagu mereka kini sudah mula disiarkan di radio seperti lagu nyanyian Anum berjudul Berakhir Sebelum Bermula, Erma (Hati Hati), Bernafas Lagi (Shah), Aku Sudah Merdeka (Nad), Bangun Semula (Alif), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahril) dan Hujung Minggu (Farina),” katanya.

Siaran langsung final AF8 dalam format HD

ACARA final Akademi fantasia musim ke-8 (Af8) akan mencipta sejarah sebagai program tempatan pertama disiarkan dalam format definisi tinggi (HD).

Menurut Ketua Perniagan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh ia hanya boleh dinikmati oleh pelanggan yang menggunakan Astro B.yond menerusi saluran khas AFHD iaitu saluran Astro124 bermula 22 Mei dari jam 12 tengah malam hingga 23 Mei, jam 12 malam.

Menurut Khairul Anwar, sebagai program hiburan tempatan pertama disiarkan dalam format HD, AF8 adalah titik permulaan dan petanda bahawa banyak lagi program tempatan akan disiarkan dalam format HD selepas ini.

“Lebih 60 kru teknikal bekerja pada malam konsert akhir. Ini kerana menghasilkan program dalam format HD memerlukan penelitian yang khusus agar kualiti gambar itu dapat dihasilkan,” katanya.

Sementara itu Nadiawaty Ainul Basir, 24 atau Ain dari Sandakan, Sabah menjadi peserta terakhir yang tersingkir daripada AF8 selepas memperoleh undian terendah daripada penonton sebanyak 12.49 peratus.

“Dapat bertahan sehingga minggu ke sepuluh secara peribadi adalah kejayaan yang amat besar buat diri saya sendiri. Saya bangga kerana dapat mengutip banyak ilmu sepanjang berada di sini,” katanya.

Menurut Norman, penyingkiran Ain bukan disebabkan prestasi menurunnya setiap minggu tetapi kerana faktor popularitinya.

“Saya sangat terkilan apabila Ain tersingkir. Ain peserta berbakat kerana memiliki kemahiran bermain pelbagai alat muzik seperti gitar, keyboard dan drum selain boleh menghasilkan lagu sendiri,” katanya.

Harapan finalis AF8

* Adira
“Saya hanya meletakkan nasib pada takdir.”

* Daus
“Kelebihan saya pada persembahan, itulah yang akan buat dengan sebaik mungkin”

* Iwan
“Saya bimbang melihat penonton yang lebih dari konsert mingguan”.

* Maulana
“Saya sudah puas hati kalau persembahan pada malam final meninggalkan kesan kepada penonton”.

* Shahir
“Saya hanya fikirkan hanya keluarga dan kawan rapat saja yang mengundi”.

Lagu peserta di final AF8

DAUS:
Doktor Pakar Cinta (Yusry KRU) & Kenapa (lagu baru)

IWAN:
Relaku Pujuk (Spider) & VIP (lagu baru)

MAULANA:
Susun Silang Kata (Aizat) RSVP (Lagu baru)

SHAHIR:
Biru Mata Hitamku (Wings) & Kebahagiaan Dalam Perpisahan (lagu baru)

ADIRA:
Tiru Macam Saya (Datuk Sheila Majid) & Ku Ada Kamu (lagu baru)

Oleh Rozdan Mazalan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top