Pelajar AFMASUK, Shahir berjaya membuktikan bahawa kemasukkannya kembali bukan merupakan perkara sia-sia apabila menampilkan persembahan yang menghiburkan dalam konsert minggu ke-9 Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) yang berlangsung dari Dewan Seri Putra, Bukit Jalil sebentar tadi.


Menyampaikan lagu Tak Mungkin Berpaling dendangan asal Juara AF3, Mawi dan Tamaly Maak dari Amr Diab, persembahan Shahir nyata menarik perhatian ketiga-tiga juri dengan gelekan dan tarian ala-ala irama padang pasir. Adlin Aman Ramlie secara berjenaka mengucapkan selamat datang ke final kepada Shahir dan Aznil Hj Nawawi sememangnya menunggu persembahan penampilan sebegini dari Shahir. Pengkritik jemputan, Adibah Noor memuji pakej yang ada pada Shahir dan walaupun persembahan lagu pertamanya kurang menarik, namun semuanya telah ditebus untuk lagu kedua.

Konsert dimulakan dengan persembahan jemputan oleh juara musim lalu, Hafiz dengan lagu Nokhtah Cinta. Adira memulakan persembahan pelajar dengan lagu Mercy (Duffy)/Dua(KRU). Lagu pertamanya Mercy mendapat pujian berdasarakan tone suara dan sebutan yang jelas namun untuk lagu kedua, ianya kedengaran anti-klimaks kata Adlin. Maulana kemudian cuba menghiburkan audiens dengan lagu Better Man (Robbie Williams)/Inilah Cinta (Akim). Nyata Maulana gagal mengembalikan mutu persembahannya pada awal musim kerana momentum baik pada awal lagu tidak berterusan hingga bahagian akhir.

Daus kemudian meneruskan malam konsert dengan lagu Masa (Estranged)/Take A Look Around (Limp Bizkit). Walaupun bertenaga dan kelihatan bersungguh-sungguh, sebutan lirik untuk lagu inggerisnya kurang jelas sehingga menerima teguran dari Adibah. Kemudian suara Ain pada lagu pertamanya Luka Dilukai (Shima) pula gagal diteruskan untuk lagu Falling For You (Colbie Caillat) apabila Aznil mengingatkan Ain bahawa lagu keduanya itu mungkin boleh meletakkan Ain pada kedudukan bahaya.

Persembahan yang sudah biasa dilihat serta suara yang sudah banyak di pasaran adalah kritikan untuk Iwan yang tampil dengan lagu 21 Guns (Greenday)/Berlari (Tomok). Iwan harus melakukan sesuatu untuk tampil unik dan segar sekiranya ingin bersaing dalam industri muzik tempatan ini. Konsert diakhiri dengan persembahan lagu Dari Sini Ke Bintang-Bintang nyanyian asal Farah Asyikin.

Konsert kesembilan AF8 ini dihoskan oleh Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley serta dipancarkan secara langsung di Astro Ria saluran 104.

Teruskan mengundi pelajar kegemaran anda dengan menaip AFUNDI <3/5/10> NAMA SINGKATAN PELAJAR & HANTAR ke 32999 dan nantikan keputusan siapa pelajar bakal tersingkir malam esok dalam Debaran AF jam 9 malam yang dikendalikan Sarimah Ibrahim.

~ Murai

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top