Bagai tidak percaya apabila Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) sudah pun sampai ke penghujungnya. Mana tidaknya, sejak dari mula ia bersiaran sehinggalah ke pentas akhir yang akan membuka tirainya esok (22 Mei) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, AF8 tidak berupaya meninggalkan impak besar.

Lalu, kehadiran AF8 seperti dibawa angin lalu. Mahu atau tidak, harus diakui, kewujudan musim ini seperti tidak disedari.

Bukan sahaja pihak media tetapi peminat setia rancangan itu juga seolah-olah tidak lagi mempedulikan kehadiran AF8.

Ada atau tidak AF8, ia dilihat tidak mampu mengubah apa-apa dan juga tidak meninggalkan kesan yang mampu berbekas di kalangan peminat setia rancangan itu.

Biarpun apa juga komentar dan kritikan yang dilemparkan kepada AF8, harus diakui rancangan program realiti popular itu masih lagi ada pengikutnya.

Mungkin tidak semeriah tujuh musim sebelum ini, tetapi AF8 tetap berupaya menarik perhatian peminat setianya di samping mengumpul penggemar baru.

Begitu pantas 10 minggu berlalu dan hanya dengan sekelip mata sahaja, pentas akhir AF8 akan menyaksikan lima finalis bakal bertarung untuk dikalungkan dengan gelaran juara.

Musim-musim terdahulu menyaksikan pemilihan juaranya amat mudah untuk diramal bagi merebut gelaran juara AF yang menjadi igauan dan idaman ramai.

Tetapi untuk musim kali ini, lima finalisnya berpotensi besar untuk dinobatkan sebagai juara hasil undian rakyat Malaysia yang menilai bakat mereka selama 10 minggu di akademi.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Hits meneruskan tradisi untuk ‘menghangatkan’ sambutan pentas akhir AF dengan melihat potensi barisan finalis yang layak diangkat sebagai juara.

Pastinya kini, semua sudah sedia maklum siapakah lima peserta bertuah yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Mereka yang dimaksudkan ialah Muhd. Shahril Firdaus Eli atau Daus, Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), Ahmad Shahir Zawawi (Shahir) dan peserta tunggal wanita, Siti Adira Suhaimi (Adira).

Seperti biasa, persembahan mereka pada malam akhir memerlukan kesemua finalis menyampaikan dua buah lagu termasuk sebuah lagu baru.

Kali ini, kesemua lagu baru telah dicipta oleh komposer terkenal yang juga anggota kumpulan KRU iaitu Edry Abdul Halim.

Siapakah di antara mereka yang akan bergelar juara malam esok, semuanya ditentukan oleh peminat yang menjadi juri.

Untuk itu, pastikan anda tidak ketinggalan menonton konsert akhir AF8 yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) bermula pukul 9 malam.

Sejarah juga tercipta apabila buat pertama kalinya pentas akhir AF8 akan disiarkan dalam visual definisi tinggi (HD) yang hanya dapat ditonton oleh pelanggan Astro B.yond menerusi saluran 124.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top