Siri kelapan program realiti popular negara, Akademi Fantasia (AF) telah melabuh tirai malam Sabtu lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil. Mengangkat Ahmad Shahir Zawawi (Shahir) sebagai juara terbaru, kemenangannya sudah dapat dijangkakan.


Pemuda berusia 22 tahun dari Ipoh, Perak itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar pertama dinobatkan sebagai juara yang diserap semula ke akademi menerusi undian AF Masuk selepas tersingkir pada minggu ketujuh.

Bagi Shahir, AF Masuk telah membawa tuah kepada dirinya dan dia menyangkal komen yang menyatakan kemasukan semula tidak adil bagi empat finalis lain Siti Adira Suhaimi (Adira), 19, Muhd. Shahril Firdaus (Daus), 22, Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20, dan Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22.

"Pada saya tidak timbul isu adil atau tidak kerana AF Masuk digunakan bukan untuk saya seorang sahaja. Semua pelajar mempunyai peluang sama untuk kembali ke akademi. Jujurnya, saya tidak pernah menyangka diri saya akan menjadi juara. Bagi saya, keempat-empat pelajar lain juga juara," kata Shahir ketika ditemui selepas pertandingan.

Disokong oleh pengetua AF8, Norman Abdul Halim, dia meminta orang ramai untuk menerima hakikat bahawa AF Masuk diwujudkan kerana pihak akademi merasakan ada pelajar yang layak dimasukkan semula. Lagipun, sesiapa sahaja diserap semula itu tidak dijamin akan menjadi juara.

"Objektif kami di fakulti amat besar. Kami bukannya boneka tetapi perlu menilai dan memastikan perkembangan pelajar. Ada beberapa pelajar yang tersingkir mempunyai bakat. Dari situ saya berbincang dengan pihak Astro untuk membawa AF Masuk.

"Ya, sebelum ini memang saya ada menyatakan bahawa tidak akan menggunakan AF Masuk. Tetapi saya ingin membantu pelajar-pelajar yang tersingkir dan bukannya Shahir sahaja. Lagipun itu salah satu daripada format AF. Shahir menang mungkin kerana dia ada kelebihan tersendiri," tegas Norman.

Dirumus sebagai satu penutup yang berjaya, Shahir mendapat undian 43.19 peratus diikuti dengan Adira, 25.13 peratus, Daus, 12.47 peratus, Maulana, 10.28 peratus dan Iwan, 8.93 peratus.

Shahir yang menyampaikan lagu Biar Mata Hitamku (Wings) dan lagu baru ciptaan Edry KRU, Kebahagian Dalam Perpisahan berjaya mengundangkan sorakan di Stadium Putra.

Kemenangan tersebut membolehkan dia membawa pulang sebuah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn. Bhd., pakej percutian ke Hong Kong Disneyland, bekalan Brand's InnerShine selama setahun, tiket pelancongan ke New York tajaan Maybeline New York, set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan Hugo Boss, percutian di D'Paradise Resort, Melaka, telefon mudah alih LG Prada dan trofi juara Akademi Fantasia.

Naib juara, Adira pula menyampaikan lagu Tiru Macam Saya (Sheila Majid) dan lagu baru hasil ciptaan Edry KRU, Ku Ada Kamu. Menjadi peserta kegemaran juri, Adlin Aman Ramlie, Ning Baizura dan Aznil Haji Nawawi, Adira disifatkan sebagai juara kepada mereka.

Namun, tersungkur di tangga kedua, peserta kelahiran Ranau, Sabah itu tidak kecewa. "Saya menganggap kemenangan ini sebagai rezeki. Tiada perasaan kecewa kerana saya sendiri tidak pernah menyangka untuk berada di tempat kedua," katanya.

Tempat ketiga dimenangi oleh Daus yang menyampaikan lagu Doktor Pakar Cinta (Yusry) dan lagu baru Kenapa. Manakala Maulana menghiburkan peminat dengan lagu Susun Silang Kata (Aizat) dan lagu baru RSVP.

Iwan pula menyahut cabaran dengan penyampaian lagu Relaku Pujuk (Spider) dan lagu baru VIP tulisan dan gubahan Edry KRU. Tidak bergelar juara, apa yang akan terjadi kepada mereka selepas pertandingan?

"Astro Entertainment belum lagi pasti akan mengambil berapa ramai pelajar. Tapi kami akan terus memberikan komitmen. Misalnya seperti melancarkan album kompilasi mereka," jelas Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah.

Oleh JESSABELL SOO

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top