Anak muda yang mula mencipta nama sejak menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Muhammad Aizad Amdan atau Aizat, 21, baru sahaja tiga tahun bergelumang di persada seni hiburan tempatan.

Namun, apa yang membanggakan bagi anak muda sepertinya satu per satu kejayaan dalam kerjaya seni telah diperolehinya.

Penyandang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu itu bukan sahaja mewarnai lapangan seni suara dengan lagu-lagu nyanyiannya malah, dia turut menyumbang khidmat sebagai komposer dan penulis lirik kepada beberapa artis terkenal tempatan.

Pada usia yang masih muda bakat seninya terutama di bidang muzik begitu menyerlah.

Barangkali kerana minat yang begitu menebal itulah yang membuatkan Aizat begitu bersungguh-sungguh mendalami ilmu muzik itu sendiri.

Atas dasar minat yang mendalam itu jugalah si pelantun lagu Hanya Kau Yang Mampu itu mengambil keputusan untuk ke luar negara melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik tidak lama lagi.

Bertemu Aizat pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim yang diadakannya di Masjid As-Syakirin, KLCC baru-baru ini, jelas Aizat dia sudah lama berhajat untuk melanjutkan pelajaran sejak keluar daripada AF lagi.

Malah, katanya tanggal 27 Ogos ini dia akan bertolak ke United Kingdom (UK) selama 10 hari untuk melihat-lihat dan mencari aliran mana yang dirasakan sesuai buatnya untuk menyambung pengajian.

Jelas Aizat, kemungkinan besar dia bakal memulakan pengajian pada pertengahan tahun depan.

Apa yang bermain difikiran, timbul persoalan mengapakah Aizat memilih untuk ke luar negara. Tidak baguskah pembelajaran muzik yang ditawarkan di negara ini?.

"Bukan tiada yang bagus di negara ini cuma saya rasa nak cari tempat yang betul-betul membolehkan saya mendalami ilmu muzik dengan sebaik mungkin.

"Apa yang saya rancang, mungkin saya akan buat asas dahulu kemudian sijil dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Sasaran saya ialah untuk mendapatkan kertas kerja dalam bidang yang dipelajari," katanya.

Sebelum ini, Aizat pernah merancang untuk menyambung pengajian di ICOM dan Universiti Teknologi Mara.

Tidak terikat dengan mana-mana pihak, jelas Aizat keputusan yang diambil untuk dirinya melanjutkan pelajaran adalah atas kerelaan hatinya sendiri.

Memilih untuk melanjutkan pelajaran di Theme Valley University dalam bidang teknologi bunyi jelas Aizat andai segalanya berjalan lancar kemungkinan besar dia bakal berkelana ke luar negara selama tiga tahun.

Ditebak soalan nakal seorang rakan media yang turut hadir pada majlis tersebut, adakah benar Aizat mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana ingin membawa hati lara akibat putus cinta.

"Tidak sama sekali. Perkara itu tiada langsung dalam fikiran saya. Lagipun saya masih muda dan apa yang saya nak ialah mencari pengalaman dalam bidang seni.

"Apa yang saya buat adalah atas keputusan saya sendiri tiada dorongan atas sebab apa-apa melainkan mencari lebih pengetahuan dalam muzik," kata Aizat.

Aizat baru-baru ini dikatakan telah menokhtahkan hubungan cinta bersama pelakon Liyana Jasmay bagaimanapun, Aizat enggan mengulas lanjut tentang kisah tersebut.


Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top