RTM kali ini mencetuskan kelainan di luar konsep hiburan dengan mengetengahkan program realiti TV Impian 1Malaysia.

Program ini membuka peluang kepada rakyat iaitu penonton untuk merealisasikan impian masing-masing menerusi pengembaraan mendekati masyarakat Malaysia selain memberi pendekatan dan penekanan kepada kepelbagaian suku kaum yang terdapat di negara ini.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, Impian 1Malaysia dilihat menjadi landasan dalam usaha mendekatkan generasi muda mengenali dan memahami asal usul, budaya dan kehidupan kepelbagaian etnik di negara ini selain memberi ruang untuk rakyat menafsir, maksud serta menghayati konsep 1Malaysia mengikut acuan serta panduan yang diberi dengan lebih terperinci.

Menampilkan tagline Sejuta Impian, Sejuta Tafsiran Dalam Impian 1Malaysia program Impian 1Malaysia disiarkan setiap Selasa, bermula 10 Ogos ini, jam 9.30 di TV1.

Rakaman 10 episod rancangan secara realiti telah dijalankan selama dua bulan bermula pada Mei lalu dan setiap pemegang impian berjaya melalui suka duka kembara yang diimpikan. Terjemahan impian dibuat dalam perspektif mereka sendiri dan pihak produksi hanya melengkapkan cerita yang diimpikan.

Gandingan dua pengacara berbakat, Qushairi Razali (Qi) dan Nur Izzati Abul ’As, model iklan dan juga peserta program Penyampai Ikon terbitan RTM menceriakan lagi program ini yang dijalankan secara santai.

Seramai 10 peserta terpilih merealisasikan impian mereka menerusi program ini iaitu Nurzulayla Hamedan dari Melaka) yang mahu menyelami cara hidup etnik Sabah; Farah Lydia Mokhtar (Kuala Lumpur) berminat mempelajari Tarian Mak Yong; Donny Thomas (Sabah) ingin menyelami kehidupan Orang Asli di Semenanjung Malaysia; Azrol Johan (Pahang) mahu menjadi sukarelawan di Rumah Orang Tua dan Teng Swee Kim (Selangor) ingin mempelajari bahasa dan budaya orang Jawa.

Turut dipilih ialah Hassan Suliman (Labuan) mahu melihat KLCC dan cara hidup warga KL; Siti Sarah Lee (Kuala Lumpur) berhasrat mengenali cara hidup di kampung; Nurhafeezha Ali (Sarawak) mahu tinggal bersama keluarga Baba dan Nyonya; Nor Yazmin Nordin (Kedah) ingin mempelajari seni mempertahankan diri kaum Cina dan Yogaraj Vijayakumar (Johor Bahru) mahu tinggal lima hari bersama etnik Penan.

Program ini mengetengahkan tiga segmen bermula dengan Cerita Saya…, Kembara... dan Xpresi….

Penonton boleh memilih tiga impian terbaik yang direalisasikan dengan menghantar Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di mana pemarkahan dibuat berdasarkan 50 peratus dari juri khas dan 50 peratus juri awam yang terdiri daripada penonton RTM.

Pemenang Hadiah Impian Terbaik menerima wang tunai RM15,000.00), kedua RM10,000.00) dan hadiah Ketiga RM5,000.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top